Now Reading
‘Ratu Soprano’ Datuk Syafinaz Selamat Dilantik Profesor Adjung UPSI Buat Kali Kedua

‘Ratu Soprano’ Datuk Syafinaz Selamat Dilantik Profesor Adjung UPSI Buat Kali Kedua

Lantikan sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkuatkuasa dari 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028.

In Brief
  • Datuk Syafinaz Selamat dilantik buat kali kedua sebagai Profesor Adjung Tersohor di FMSP, UPSI, bagi tempoh 2026 hingga 2028.
  • Syafinaz berkomitmen menyumbang kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi serta pembangunan modal insan melalui kerjasama berterusan bersama UPSI.
  • Dikenali sebagai 'Ratu Soprano' negara, Syafinaz memulakan kerjaya profesionalnya sejak usia 9 tahun dan terus melakar legasi bermakna.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Datuk Syafinaz Selamat merupakan nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik tempatan dengan pengalaman luas sebagai penyanyi, pengarah muzik, jurulatih vokal dan pendidik.

Pengalaman sejak kecil selama puluhan tahun kini menjadi asas dalam mengembangkan bakat seni dalam industri nyanyian di tahanh air.

Terbaharu, beliau meneruskan legasinya apabila sekali lagi dilantik sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Merupakan satu penghormatan besar buat Syafinaz, pelantikan itu dibuat bagi penggal kedua dari 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028, sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara institusi pendidikan dan industri muzik tanah air.

Ini merupakan pelantikan kali keduanya setelah menggalas tanggungjawab sama bagi tempoh setahun dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026.

Lantikan Beri Peluang Untuk Syafinaz Sumbang Kepada Kecermelangan Akademik

Syafinaz dalam maklum balas terhadap hantaran di Instagram (@music.fmsp) merakamkan penghargaan buat UPSI, khususnya FMSP, kerana meneruskan kepercayaan terhadapnya.

“Pelantikan ini merupakan suatu penghormatan yang amat besar serta amanah yang akan saya laksanakan dengan penuh komitmen, profesionalisme dan integriti.

“Insya-Allah, saya akan terus berusaha menyumbang kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi serta pembangunan modal insan melalui jalinan kerjasama yang berterusan,” ujar beliau.

Beliau turut berkongsi harapan agar jalinan kerjasama itu dapat membawa manfaat kepada pembangunan akademik, penyelidikan, industri kreatif serta melahirkan lebih ramai bakat yang cemerlang.

Mahu Hasilkan Legasi Bermakna Buat Generasi Baharu Industri Muzik

Mengulas lanjut, Syafinaz berharap agar kerjasama antara dunia akademik dan industri muzik dapat terus diperkukuh demi memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat dan negara.

Beliau melihat peluang mendidik bukan sekadar satu tanggungjawab, tetapi amanah untuk meninggalkan legasi yang lebih bermakna dalam industri muzik negara.

Memetik Sinar Plus, beliau yang turut menjadi mentor kepada bakat muda itu turut berharap dapat terus menjadi sebahagian daripada perjalanan generasi baharu yang bakal mencorakkan masa depan seni muzik Malaysia.

Ini Perjalanan Karier Syafinaz Selamat, Mula Menyanyi Secara Profesional Sejak Usia 9 Tahun

Dengan keunikan vokal tersendiri, khususnya dalam genre klasikal Barat, Syafinaz turut dikenali sebagai ‘Ratu Soprano’ negara.

Syafinaz yang merupakan anak bongsu daripada 11 beradik memulakan karier sebagai penyanyi kanak-kanak dalam rancangan Kelab Kanak-kanak Angkasapuri terbitan RTM pada usia 9 tahun bersama rakan duet, Eliza.

Perjalanan seninya kemudian diteruskan sebagai seorang penyanyi solo pada usia 15 tahun dengan album pertama berjudul ‘Syafinaz’ diterbitkan pada 1989.

Di kemuncak awal kariernya, Syafinaz telah memenangi World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles pada tahun 1999 dalam kategori R&B/Pop/Rock/Contemporary.

Penyanyi berusia 53 tahun itu turut tercalon sebagai Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1999, meletakkan beliau sebaris dengan penyanyi hebat negara termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan Noraniza Idris.

Ketiaka Hari Wilayah Persekutuan 2018, beliaiu dianugerahkan pingat Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.

Selain dilantik sebagai Profesor Adjung Tersohor di UPSI, beliau turut menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ASWARA berkuatkuasa mulai 1 April 2026 hingga 31 Mac 2028.

Pada November 2025, Syafinaz membawa pulang anugerah ASEAN Generational Music Icon di Top Asia Corporate Ball 2025, yang mengukuhkan lagi tahap kecemerlangan beliau di peringkat rantau Asia Tenggara.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd