Now Reading
Galeri Muara Arts Bakal Dibuka, Beri Tumpuan Pada Karya Seni Moden & Kontemporari Asia Tenggara

Galeri Muara Arts Bakal Dibuka, Beri Tumpuan Pada Karya Seni Moden & Kontemporari Asia Tenggara

Galeri Muara Arts yang terletak di Medan Pasar, Kuala Lumpur bakal dibuka kepada umum pada 1 November 2026.

In Brief
  • Galeri Muara Arts bakal dibuka pada 1 November, memberi fokus kepada seni moden dan kontemporari Malaysia serta Asia Tenggara.
  • Galeri seluas 1,858 meter persegi ini dibina di sederet rumah kedai Art Deco bersejarah di Medan Pasar, Kuala Lumpur.
  • Lydia Yee dilantik sebagai pengarah artistik, membawa pengalaman tiga dekad dari galeri terkemuka di London dan New York.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Industri seni moden dan kontemporari di dalam negara semakin berkembang susulan sokongan padu yang diterima daripada orang awam, kerajaan serta institusi swasta.

Sederet enam rumah kedai Art Deco di Medan Pasar, Kuala Lumpur kini sedang dalam proses pengubahsuaian dan akan menjadi destinasi seni dan budaya terbaharu di ibu negara.

Muara Arts mengumumkan bakal membuka galeri baharu pada 1 November ini, yang memberi fokus kepada seni moden dan kontemporari Malaysia serta Asia Tenggara.

Rumah Kedai Di Medan Pasar Diubahsuai Bagi Tujuan Pembinaan Galeri Muara Arts

Terletak di antara tempat tertua di tengah Kuala Lumpur, galeri ini dilihat akan mengukuhkan kebangkitan semula budaya di satu-satunya dataran awam di ibu negara.

Bagi tujuan pembinaan galeri Muara Arts dengan keluasan sekitar 1,858 meter persegi, sederet rumah kedai abad ke-20 di Medan Pasar sedang diubahsuai semula.

Dengan reka bentuk oleh Dr Tan LM Architect dan Sean Carpenter Linear Vista, galeri itu akan mengekalkan karakter bersejarah bangunan tersebut di samping menggabungkan kemudahan standard sebuah muzium.

Foto: Muara Arts

Sebagai info, Muara Arts merupakan inisiatif bukan keuntungan oleh Creador Foundation dengan pengasas bersama Shanthi Kandiah dan Brahmal Vasudevan.

“Kami menghidupkan semula bangunan-bangunan ini di mana Kuala Lumpur bermula, dataran yang dahulunya dipenuhi bank dan institusi kewangan. Ini adalah transformasi yang bersesuaian apabila ruang yang dahulunya mengutamakan kewangan bandar kini diubah menjadi modal budaya,” kata Shanthi dan Brahmal.

Dalam masa sama, Muara Arts Theatre juga dijadualkan dibuka pada tahun 2029 yang merangkumi auditoriam proscenium dengan 345 tempat duduk, black box dengan kapasiti 190 penonton, ruang latihan dan galeri seni.

Galeri Muara Arts Dibuka Dengan Pameran Berkumpulan Seni Asia Tenggara Kontemporari

Muara Arts akan memaparkan program secara bergilir yang memberi fokus kepada seni Asia Tenggara termasuk pameran solo, pameran berkumpulan dan komisyen baharu.

Pada November ini, galeri Muara Arts akan dibuka kepada orang ramai dengan pameran berkumpulan ‘A-Z Of South-East Asian Art: A Critical Dictionary‘ yang memberi tumpuan terhadap seni Asia Tenggara kontemporari yang pelbagai.

Pameran ini diinspirasikan daripada ‘The Critical Dictionary Of Southeast Asia‘ yang berlangsung dari 2017 sehingga kini oleh artis Singapura, Ho Tzu Nyen.

Ia akan mengumpulkan karya seni dari lebih 40 artis merangkumi lukisan, arca, tekstil, installation, video dan karya di atas kertas, dengan setiap satunya merupakan respons kepada istilah yang berkait dengan budaya, ekologi, geografi, sejarah dan politik rantau ini.

Karya Our Islands oleh artis Filipina, Martha Atienza juga akan dipamerkan galeri Muara Arts. (Foto: Martha Atienza)

Lydia Yee Dilantik Pengarah Artistik Muara Arts

Pasukan kurator di galeri Muara Arts merangkumi bakat tempatan dan antarabangsa dengan perspektif global dan akan bergerak di bawah pimpinan pengarah artistik Lydia Yee, yang membawa bersama pengalaman selama tiga dekad.

Yee sebelum ini pernah bertugas di muzium dan galeri awam di London serta New York, termasuk Whitechapel Gallery, sekali gus membawa visi yang lebih meluas dalam mewujudkan sebuah koloni kebudayaan yang merangkumi galeri, teater, acara luar, kedai dan pelbagai lagi.

“Ini merupakan momen yang luar biasa buat seni di Asia Tenggara dan Muara Arts telah dirancang untuk menjadi sebahagian daripadanya.

“Seperti muara sungai yang memberi namanya, galeri ini menjadi titik pertemuan artis dari seluruh rantau termasuk golongan diaspora di negara luar untuk pulang, bertukar ilmu dan menghasilkan kolaborasi baharu,” kata Yee, dipetik The Star.

Sebelum pembukaan galeri Muara Arts, siri ceramah umum ‘Bersuara di Muara’ akan diteruskan setelah dirasmikan pada April lalu.

Dua acara satelit akan dijalankan di Menara Pacific Place iaitu:

  • 10 Oktober – Pelancaran buku ‘Medan Pasar: The Old Market Square Of Kuala Lumpur‘ oleh Robert Powell.
  • 1 November – Diskusi bersama kurator dan penulis Vietnam, Ace Le dan Brahmal.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Muara Arts [DI SINI].


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd