Now Reading
GSC Bawa Infinity Vision Ke Malaysia, Ini Perbezaannya Berbanding Pawagam Biasa

GSC Bawa Infinity Vision Ke Malaysia, Ini Perbezaannya Berbanding Pawagam Biasa

Golden Screen Cinemas (GSC) kini menawarkan format premium baharu Disney, Infinity Vision.

In Brief
  • Infinity Vision ialah pensijilan PLF oleh Walt Disney Studios, bukan teknologi baharu, diberikan kepada pawagam memenuhi standard premium Disney.
  • Pawagam mesti memenuhi tiga syarat utama iaitu skrin sekurang-kurangnya 45 kaki, sistem bunyi premium dan kecerahan projeksi minimum.
  • GSC Big dilihat sebagai calon terbaik untuk sijil Infinity Vision, dengan skrin melebihi 20 meter dan sistem Dolby Atmos 32 saluran.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Golden Screen Cinemas (GSC), telah menambah Infinity Vision ke dalam senarai Cinema Experiences di laman web rasminya.

Menerusi satu hantaran Facebook tentang filem Avengers: Doomsday, GSC turut menyebut filem itu akan ditayangkan di Infinity Vision Hall at GSC.

Diperkenalkan oleh Walt Disney Studios, pemegang Marvel Studios telah memperkenalkan Infinity Vision sebagai satu format untuk menonton filem di pawagam.

Walau bagaimanapun, pihak GSC masih belum memberitahu panggung mana yang akan menerima sijil Infinity Vision ini.

Infinity Vision Adalah Satu Sijil Yang Diwujudkan Oleh Walt Disney Studios

Infinity Vision. (Foto: GSC)

Bagi peminat filem yang keliru dengan pelbagai jenama panggung khususnya di Malaysia, jawapannya sebenarnya mudah sahaja.

Ramai mungkin menyangka Infinity Vision ialah teknologi baharu seperti IMAX, namun hakikatnya tidak. Infinity Vision ialah pensijilan Premium Large Format (PLF) oleh Walt Disney Studios yang diberikan kepada pawagam yang menawarkan pengalaman menonton mengikut standard premium Disney.

Menurut laman web Infinity Vision, panggung wayang perlu memohon sijil ini terlebih dahulu sebelum dinilai berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan.

Menerusi proses itu, panggung wayang yang lulus akan menerima sijil Infinity Vision sebagai tanda pengesahan bahawa kemudahannya menetapi tahap ditetapkan oleh Walt Disney Studio.

Infinity Vision juga menjelaskan bahawa sijil ini tidak akan menggantikan mana-mana jenama PLF yang sedia ada.

Ia hanya berfungsi sebagai pengiktirafan tambahan di atas jenama yang sudah dikenali oleh penonton.

Disney Turut Menyenaraikan Syarat-Syarat Untuk Mendapat Pengiktirafan Infinity Vision

Memetik semula laman web Infinity Vision, mereka telah menyenaraikan syarat-syarat yang diperlukan untuk menerima pengiktirafan ini.

Infinity Vision menetapkan tiga standard utama yang perlu dipenuhi oleh sesebuah pawagam, iaitu saiz skrin, sistem bunyi dan kualiti projeksi. Antaranya:

  • Skrin selebar sekurang-kurangnya 45 kaki (13.7 meter).
  • Sistem bunyi premium seperti Dolby Atmos atau 7.1 surround sound.
  • Tahap kecerahan projeksi minimum 14 foot-lamberts untuk tayangan 2D dan 6 foot-lamberts untuk tayangan 3D.

Infinity Vision turut menegaskan bahawa harga tiket bagi tayangan di skrin ini akan ditetapkan oleh pengendali pawagam masing-masing. Mereka tidak bertanggungjawab untuk mengenakan sebarang kadar tambahan kepada penonton.

Panggung Wayang GSC Big Menepati Syarat Yang Ditetapkan Oleh Infinity Vision

GSC Big. (Foto: GSC)

Menurut MalayMail, GSC Big dilihat sebagai calon paling hampir untuk menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh Infinity Vision.

Ini kerana panggung GSC Big dilengkapi dengan kelebaran skrin melebihi 20 meter, sistem Dolby Atmos 32 saluran serta projektor laser 4K, melepasi syarat minimum 13.7 meter yang telah ditetapkan.

Selain itu, GSC Big hanya boleh didapati di lokasi seperti:

  • 1 Utama
  • Lalaport BBCC
  • MyTown Cheras
  • Aeon Bandar Dato Onn
  • Kuantan City Mall
  • Starling Mall PJ
  • Spring Bintulu

Avengers: Endgame Encore & Avengers: Doomsday Bakal Menjadi Tayangan Pertama Untuk Infinity Vision

Robert Downey Jr. sebagai Dr Doom. (Foto: Marvel Cinematic Universe (MCU) / The Hollywood Reporter)

Menurut Marvel, filem Avengers: Endgame Encore dan Avengers: Doomsday merupakan tayangan pertama yang akan menggunakan Infinity Vision bagi menjamin pengalaman menonton filem yang luar biasa bagi penonton.

Pada 25 Julai lalu, treler rasmi Avengers: Doomsday telah dilancarkan dan telah mencuri tumpuan ramai peminat di seluruh dunia.

Menerusi treler ini, penonton bakal menyaksikan watak ikonik MCU daripada siri Avengers, Thunderbolts*, The Fantastic Four dan X-Men.

Filem ini diarahkan oleh Anthony dan Joe Russo, dua beradik yang sebelum ini mengarah Avengers: Infinity War dan Endgame.

Menurut Business Insider, kedua-dua filem tersebut telah berjaya mencapai kutipan melebihi RM16 bilion di pawagam seluruh dunia.

Pada asalnya, Doomsday dijadualkan untuk tayangan pada musim bunga 2026 sebelum ditangguhkan berikutan keputusan Disney untuk merombak jadual tayangannya.

Kini, Avengers: Doomsday bakal menemui peminatnya pada 17 Disember 2026 di Malaysia.

Selain itu, filem baharu ini akan melihat kepulangan Robert Downey Jr. ke MCU, memegang watak baharu iaitu Doctor Doom.

Watak baharu ini merupakan seorang pemerintah kepada sebuah negara fiksyen bernama Latveria.

Victor von Doom dilahirkan di sebuah perkampungan sebagai anak kepada seorang ahli sihir bernama Cynthia yang kemudiannya, meninggal dunia selepas membuat perjanjian dengan Mephisto.

Menyimpan dendam sejak kecil, Victor telah menghabiskan hidupnya dengan mengasah kemahiran dalam dua bidang berbeza iaitu sains serta sihir.

Di samping itu, Doom juga merupakan kawan rapat kepada ketua Fantastic Four, Reed Richards dan nasibnya berubah apabila dia cedera parah ketika cuba menghubungi roh ibunya menggunakan sebuah mesin.

Selepas peristiwa itu, Victor telah mendapatkan pertolongan sekumpulan sami Tibet untuk menghasilkan sebuah sut perisai dengan topeng menutup wajahnya. Lalu, muncul watak bernama Doctor Doom.

Baca Artikel Berkaitan: ‘Abang Adik’ Cipta Sejarah, Jadi Filem Berbahasa Cina Pertama Diiktiraf ASEAN Records | TRP

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ini Senarai Filem Pendek Raya 2025 Yang Anda Kena Tonton, Memang Syok! | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd