Ketahui Sejarah Litar Antarabangsa Sepang, Litar F1 Paling Ikonik & Kebanggaan Malaysia
Litar Antarabangsa Sepang siap dibina hanya dalam masa 14 bulan dan sering dianggap sebagai antara hasil tangan terbaik Hermann Tilke.
- Litar Antarabangsa Sepang, direka Hermann Tilke, dibina dalam 14 bulan pada kos RM286 juta dan dirasmikan pada 1999.
- Litar selebar 16 hingga 20 meter ini mampu menempatkan 130,000 penonton dan direka untuk memudahkan aksi memotong yang mendebarkan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui semalam Litar Antarabangsa Sepang telah diumumkan bakal menjadi tuan rumah untuk perlumbaan Formula 1 (F1) Bahrain Grand Prix pada 2 hingga 4 Oktober ini.
Selain daripada perlumbaan F1 dari tahun 1999 sehingga 2017, Sepang juga pernah menganjurkan Malaysian Motorcycle Grand Prix (MotoGP), Malaysia Merdeka Endurance Race (MMER) dan pelbagai acara sukan permotoran yang lain.
Sepang turut mencatat sejarah sebagai litar pertama yang direka oleh pereka litar terkenal dunia, Hermann Tilke yang tersenarai dalam kalendar F1.
Litar Sepang Merupakan Masterpiece Dari Hermann Tilke

Memetik laporan F1 Mavericks, pihak kerajaan Malaysia ketika itu telah memilih jurutera dari Jerman, Hermann Tilke, untuk mencipta mereka bentuk litar ini.
Tilke merupakan nama besar dalam sukan pemotoran kerana turut menghasilkan litar antarabangsa lain seperti Shanghai, Bahrain, Istanbul, Marina Bay dan Yas Marina selepas Sepang.
Malah, ramai menganggap Sepang sebagai antara hasil terbaiknya kerana reka bentuknya menggalakkan aksi memotong dapat menghasilkan perlumbaan lebih menarik.
Litar Sepang mula dibina pada Disember 1996 dan hanya mengambil masa 14 bulan untuk disiapkan, sekali gus menjadi antara projek infrastruktur besar era 1990-an di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
laporan sama turut menyebut keseluruhan kos membina litar itu telah mencecah RM286 juta dan turut berdepan pelbagai cabaran ketika proses pembinaan antaranya seperti lokasi tapak yang dipilih mempunyai tanah lembut seperti kawasan paya atau bakau.
Justeru, bagi membina litar berkelajuan tinggi di atas tanah sebegitu, kerja mengukuhkan struktur terpaksa dilakukan untuk mengelakkan sebarang kegagalan pada masa hadapan.
Litar Sepang Direka Luas Untuk Menghasilkan Perlumbaan Yang Mendebarkan

SICmempunyai jarak sejauh 5.543 kilometer dengan 15 selekoh yang mencabar dengan lapan bahagian lurus.
Berbeza dengan sesetengah litar moden yang lebih sempit, SIC dibina sangat lebar, iaitu antara 16 hingga 20 meter di bahagian tertentu.
Kelebaran ini penting kerana ia membolehkan pelumba memilih pelbagai laluan ketika membelok, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk aksi memotong yang menyeronokkan.
Malah, litar ini memang direka untuk memudahkan aksi memotong, terutamanya pada era sebelum sistem Drag Reduction System (DRS) diperkenalkan dalam sukan F1.
Reka bentuknya menampilkan dua bahagian lurus yang panjang, dipisahkan oleh satu selekoh tajam yang menjadi lokasi paling kritikal buat para pelumba.
Selain itu, Selekoh 1, 4 dan 9 turut dikenali sebagai tempat terbaik untuk melihat aksi memotong antara dua pemandu sekali gus menghasilkan identiti litar ini.
Litar Sepang Mampu Tempatkan Kira-Kira 130,000 Penonton Dalam Satu Masa
Bercakap tentang nilai estetik, Sepang sangat mudah dikenali menerusi bentuk dan strukturnya.
Litar ini mampu menempatkan kira-kira 130,000 penonton dalam satu masa, dengan tarikan utamanya ialah twin main grandstand yang unik.
Menariknya, grandstand itu menampilkan reka bentuk umbrella shade bertujuan melindungi penonton daripada panas terik matahari ataupun hujan lebat yang datang dengan tiba-tiba.
Litar Sepang Dirasmikan Tun Dr Mahathir Mohamad Pada 1999
Litar Antarabangsa Sepang telah dirasmikan secara rasmi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 7 Mac 1999, jam 8.30 malam.
Selepas itu, beliau turut merasmikan perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia yang pertama pada 20 April 1999.
Beberapa bulan kemudian, litar ini menjadi tuan rumah kepada perlumbaan Formula 1 Petronas Malaysian Grand Prix yang pertama pada 17 Oktober 1999.
Eddie Irvine Muncul Juara Perlumbaan F1 Sulung Di Sepang

Perlumbaan Grand Prix Malaysia 1999, atau nama rasminya Petronas Malaysian Grand Prix, merupakan perlumbaan F1 yang diadakan pada 17 Oktober 1999 di Litar Antarabangsa Sepang yang ketika itu baru sahaja siap dibina.
Ia merupakan perlumbaan ke-15 dalam Kejohanan Dunia Formula 1 1999.
Perlumbaan sejauh 56 pusingan itu dimenangi Eddie Irvine yang membawa kereta Ferrari F399, selepas bermula dari kedudukan kedua.
Menariknya, rakan sepasukannya Michael Schumacher yang baru pulih daripada kecederaan patah kaki di Grand Prix British 1999, mengakhiri perlumbaan di tempat kedua setelah membenarkan Irvine memotongnya, walaupun bermula dari kedudukan pertama.
Sementara itu, Mika Häkkinen yang sedang mendahului kejuaraan tahun itu mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga menerusi kereta McLaren-Mercedes.
Namun, apa yang lebih menarik apabila kemenangan kedua-dua kereta Ferrari pada mulanya dibatalkan sebelum kemenangan dikembalikan semula selepas rayuan Ferrari diterima.
Walaupun begitu, kemenangan di Sepang itu menjadi kemenangan keempat sekali gus yang terakhir dalam kerjaya Formula 1 Eddie Irvine.
Baca Artikel Berkaitan: Berapa Kali Anda Perlu Basuh Seluar Jeans Sebenarnya? Ini Panduan Daripada Pakar Denim | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Kenapa Baju-T Boxy Menjadi Kegilaan Ramai Lelaki Bergaya Tahun Ini? | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.