Anak Susah Tidur Nyenyak? Ibu Ayah Boleh Cuba Tukar Lampu Untuk Bilik Tidur Kepada Warm Light
Menurut Sleep Foundation, anak-anak lebih sensitif terhadap cahaya berbanding orang dewasa kerana saiz anak mata lebih besar.
- Cahaya biru daripada lampu dan peranti elektronik menyekat penghasilan melatonin, menyukarkan anak untuk tidur lena pada waktu malam.
- Kanak-kanak lebih sensitif terhadap cahaya berbanding orang dewasa, dengan tahap melatonin boleh menurun sehingga 88% apabila terdedah kepada cahaya terang.
- Gunakan lampu warm white (2700K hingga 3000K) selepas waktu Maghrib untuk membantu anak tidur lebih mudah dan selesa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ramai ibu ayah hari ini berdepan cabaran yang sama iaitu anak-anak mereka sukar untuk melelapkan mata pada waktu malam.
Tanpa disedari punca sebenar masalah ini datang daripada jenis lampu yang anda guna untuk menerangi bilik tidur mereka.
Ini kerana, cahaya lampu yang terlalu terang dan mengeluarkan warna biru boleh mengganggu kualiti tidur mereka.
Bila mengubahnya kepada lampu lebih malap akan membantu anak tidur lena sekali gus lebih bertenaga pada keesokan hari!
Cahaya Lampu Mempengaruhi Penghasilan Hormon Melatonin

Menurut Healthline, kualiti tidur seseorang individu banyak dikawal oleh hormon bernama melatonin dan ia bertanggungjawab untuk mengawal kitaran sirkadian secara semula jadi.
Menerusi sel photoreceptors di mata, otak akan menerima maklumat tentang cahaya sekeliling dan menyesuaikan penghasilan melatonin.
Sel ini sangat sensitif terhadap cahaya sekitar 450 hingga 480 nanometer, iaitu lampu yang kelihatan berwarna biru.
Dalam masa sama, cahaya biru bukan sahaja menyekat penghasilan melatonin, malah membuatkan otak kita berfungsi seperti hari masih siang, sekali gus mengganggu kitaran tidur.
Pakar perubatan, Dr. Pranshu Adavadkar, berkata pemilihan warna lampu pada waktu malam memainkan peranan sangat penting.
“Untuk mendapatkan kualiti tidur yang baik, pastikan bilik anda gelap. Jika anda memerlukan cahaya, pilihlah warna panas seperti merah atau amber.
“Elakkan cahaya biru daripada telefon pintar dan sebagainya kerana ia boleh menipu otak anda untuk menyangka hari masih siang dan mengganggu kitaran tidur anda,” katanya.
Kanak-Kanak Lebih Sensitif Terhadap Cahaya Berbanding Orang Dewasa
Kesan cahaya terhadap tidur memberi kesan kepada orang dewasa dan kanak-kanak, tetapi lebih ketara pada anak kecil kita.
Menurut Sleep Foundation, kanak-kanak lebih sensitif terhadap cahaya berbanding orang dewasa kerana saiz anak mata mereka yang lebih besar.
Jika terdedah kepada cahaya pada waktu malam akan menyekat penghasilan melatonin dua kali ganda lebih banyak berbanding orang dewasa.
Contohnya, kajian daripada Universiti Colorado, mendapati tahap melatonin kanak-kanak prasekolah menurun sehingga 88% selepas terdedah kepada cahaya terang selama satu jam.
Lebih membimbangkan, tahap melatonin kekal rendah sekurang-kurangnya 50 minit selepas lampu dipadamkan untuk tidur.
Perkara ini sangat penting kerana kanak-kanak memerlukan tidur yang cukup supaya otak mereka yang sedang membesar dapat memproses kemahiran baharu, mengukuhkan ingatan serta meningkatkan perkembangan motor, tingkatkan kata-kata, menajamkan tumpuan dan mood.
Lampu Warm White Dapat Membantu Anak Tidur Lebih Mudah Serta Selesa

Di sinilah peranan lampu malap seperti warm white sangat penting terutama selepas waktu Maghrib.
Menurut Kreon, warm white ialah cahaya lembut berwarna kuning yang biasanya berada antara 2700K hingga 3000K di skala suhu warna.
Cahaya ini akan mengurangkan silau dan lebih lembut pada mata kita, sekali gus membantu proses untuk tidur pada waktu malam secara ansuran.
Di samping itu, warna lampu panas seperti merah dan amber tidak akan menjejaskan kitaran tidur kita malah berpotensi meningkatkan penghasilan melatonin jauh lebih tinggi berbanding cahaya biru.
Untuk kesan paling efektif, pastikan bilik anak gelap tetapi tidak terlalu gelap supaya mereka terasa selamat dan menganggap suasana itu selesa. Selain itu, elakkan penggunaan peranti elektronik yang memancarkan cahaya biru sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu tidur.
Jangan lupa juga untuk meletakkan warna lampu panas supaya anak akan lebih selesa untuk tidur.
Lampu Cool White Lebih Sesuai Untuk Ruang Belajar Dan Tugasan

Tetapi tidak semestinya lampu biru cool white adalah buruk dan tidak boleh digunakkan dalam rumah anda.
Memetik Kreon semula, lampu putih cool white merupakan cahaya terang serta tajam seperti waktu siang biasanya di antara 4000K hingga 6500K.
Cahaya jenis ini digunakan untuk meningkatkan tumpuan dan sangat sesuai untuk ruang belajar, dapur, ofis dan kawasan yang memerlukan fokus.
Oleh itu, ibu ayah boleh gunakan lampu cool white di meja belajar anak pada waktu siang dan beralih kepada warm light pada waktu malam.
Gabungan ini akan memastikan anak dapat fokus ketika belajar dan mendapat tidur yang secukupnya ketika waktu malam.
Tambahan pula, perlu diingatkan lampu biru banyak dipancarkan oleh skrin peranti elektronik seperti telefon pintar, komputer dan televisyen.
Disebabkan itu, ramai mengingatkan untuk mengelakkan penggunaan peranti ini sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu tidur.
Unit Kelvin Digunakan Untuk Mengukur Suhu Warna Lampu
Untuk pengetahuan am, setiap cahaya lampu mempunyai suhu warna tersendiri yang diukur dalam unit darjah Kelvin (K).
Cahaya dalam rumah biasanya berada dalam julat 2000K hingga 6500K, dan semakin tinggi nilai K tersebut, lampu akan menjadi lebih sejuk.
Selain itu, cahaya malap berada di sekitar 1200K hingga 2700K memberi warna merah atau kuning seperti lilin.
Pada tahap 5600K, cahaya lampu dianggap sejuk memberikan warna putih atau biru menyerupai hari siang.
Warna lampu malap serta panas akan mewujudkan suasana selesa dan tenang, manakala lampu terang akan membuatkan seseorang lebih bertenaga serta cergas.
Untuk menghasilkan rumah selesa dan produktif, anda boleh menggabungkan kedua-dua jenis warna lampu ini untuk mewujudkan suasana serta fungsi khas setiap ruang di dalam rumah.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Mengapa Semakin Ramai Ibu Bapa Dedahkan Anak Kepada Bahasa Asing Seawal Usia 3 Tahun? | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Bukan Cuma Wang Ringgit, Ini 5 Kos ‘Tersembunyi’ Bila Dah Jadi Ibu Ayah | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.