Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO Tidak Lagi Mandatori Bagi Pekerja Malaysia, Ini Cara ‘Opt Out’
Caruman skim LINDUNG 24 Jam PERKESO tidak lagi diwajibkan kepada semua pekerja warga Malaysia dan penyertaan adalah secara sukarela.
- Skim LINDUNG 24 Jam tidak lagi wajib bagi pekerja Malaysia; penyertaan kini adalah secara sukarela sahaja.
- Pekerja yang ingin opt out mesti berbuat demikian antara 13 Julai hingga 31 Ogos 2026 melalui portal rasmi.
- Pekerja yang menarik diri tidak layak menerima sebarang manfaat skim, tetapi boleh menyertai semula pada bila-bila masa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum ini diwajibkan ke atas setiap golongan pekerja swasta di dalam negara.
Skim tersebut akan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja formal, termasuk bagi kemalangan dan bukan bencana kerja yang berlaku di luar waktu bekerja.
Pun begitu, Jemaah Menteri pada 8 Julai memutuskan bahawa caruman skim LINDUNG 24 Jam tidak lagi diwajibkan kepada semua pekerja warga Malaysia dan penyertaan adalah secara sukarela.
Baca Artikel Berkaitan: Caruman Skim LINDUNG 24 Jam Kepada Pekerja Tidak Lagi Wajib
Ini Cara-Cara Opt Out Dari Skim LINDUNG 24 Jam
Bagi mereka yang tidak mahu mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam, mereka perlu membuat penarikan diri (opt out) secara sendiri dengan mengisi borang perakuan pelepasan liabiliti secara dalam talian yang disediakan.
Pun begitu, tempoh membuat pilihan untuk tidak menyertai Skim LINDUNG 24 Jam hanya dibuka dari 13 Julai hingga 31 Ogos 2026.
Jika tiada notis untuk tidak menyertai skim ini sehingga tarikh akhir, penyertaan anda akan diaktifkan secara automatik.
Berikut merupakan cara-caranya:
#1. Daftar Di Portal LINDUNG 24 Jam
Layari portal LINDUNG 24 Jam [DI SINI] dan daftar akaun anda menggunakan nama penuh serta kad pengenalan.
#2. Tandakan Perakuan Pada Notis Pelepasan Liabiliti Skim LINDUNG 24 Jam
Selepas selesai mendaftar akaun, log masuk semula ke portal Lindung 24 Jam. Anda akan dibawa ke ‘Notis Pelepasan Liabiliti Skim Lindung 24 Jam’.
Tatal ke bawah, dan tanda pada ‘SAYA MEMILIH UNTUK TIDAK MENYERTAI Skim LINDUNG 24 Jam’ pada bahagian perakuan pekerja.
Diingatkan agar anda membaca dahulu makluman yang diberi sebelum membuat keputusan untuk menarik diri dari skim tersebut.
“Saya memahami bahawa saya tidak akan layak menerima manfaat yang disediakan di bawah Skim ini dan tidak akan mempertanggungjawabkan majikan atau PERKESO terhadap sebarang akibat yang timbul daripada keputusan saya tersebut,” tertera pada bahagian perakuan tersebut.
Jika setuju, klik pada butang ‘HANTAR’ pada bahagian bawah sebelah kanan.

#3. Sahkan Anda Tidak Mahu Menyertai Skim LINDUNG 24 Jam
Akhir sekali, anda akan diminta untuk mengesahkan penarikan diri dari Skim LINDUNG 24 Jam.
Klik pada butang ‘Sahkan, Saya Tidak Mahu Menyertai’ jika keputusan anda sudah muktamad.

#4. Maklumkan Keputusan Kepada Majikan
Jangan lupa untuk maklumkan keputusan anda opt-out dari Skim LINDUNG 24 Jam kepada majikan atau bahagian sumber manusia (HR) tempat kerja anda.
Ini kerana pembayaran caruman dibuat oleh majikan melalui pemotongan gaji.
Anda juga boleh memuat turun borang [DI SINI] untuk mengisi perakuan secara manual.
Tak Layak Nikmati Faedah Skim LINDUNG 24 Jam Jika Telah Tarik Diri
Diingatkan bahawa Skim LINDUNG 24 Jam menyediakan perlindungan bagi kemalangan yang layak dan tidak berkaitan dengan pekerjaan tertakluk kepada terma dan syarat PERKESO.
Antara manfaat-manfaat yang terdapat di bawah skim ini ialah:
- Faedah Perubatan
- Faedah Hilang Upaya Sementara
- Faedah Hilang Upaya Kekal
- Faedah Orang Tanggungan
- Faedah Pengurusan Jenazah
- Pemulihan Fizikal dan Vokasional
- Elaun Layanan Sentiasa (jika berkenaan)
- Faedah Pendidikan
Apabila anda memilih untuk tidak menyertai skim ini, anda tidak akan layak menikmati faedah-faedah yang ditawarkan.
Pekerja Boleh Sertai Semula Skim LINDUNG 24 Jam Kemudian
Walaupun pencarum kini boleh menarik diri dari Skim LINDUNG 24 Jam, namun caruman yang telah dibayar bagi bulan Jun tidak akan dipulangkan semula.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pekerja yang memilih keluar masih boleh menyertai semula skim tersebut pada bila-bila masa sekiranya berubah fikiran.
Mohammed Azman turut menggalakkan pekerja tempatan agar terus mencarum pada kadar 0.75% kerana skim itu menyediakan perlindungan menyeluruh di luar waktu bekerja.
Baca Artikel Berkaitan: 10 Juta Pekerja Bakal Nikmati Perlindungan 24 Jam Sehari & Tidak Kira Tempat Kemalangan – KESUMA
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Perlindungan PERKESO Yang Mungkin Ramai Tak Tahu
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.