Ini Empat Buku Karya Sultan Nazrin Shah Yang Mengupas Sejarah Ekonomi Dan Sosial Malaysia
Daripada ekonomi Malaya hingga perkembangan Perak, karya Baginda menampilkan sisi Sultan Perak sebagai seorang sarjana dan penulis.
- Sultan Nazrin Shah has authored four books available at Kinokuniya, covering Malaysia's economic and social history.
- Baginda, an Oxford and Harvard graduate, owns a personal library of around 30,000 books in Petaling Jaya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kedai buku sering menyimpan pelbagai rahsia dan harta karun untuk diterokai melalui penulisan.
Baru-baru ini, satu perkongsian di Threads tular apabila memaparkan empat buku tulisan Sultan Nazrin Shah yang dijual di kedai buku Kinokuniya.
Menariknya, keempat-empat buku itu turut memperlihatkan sisi Baginda sebagai seorang ilmuwan dan pakar ekonomi.
Netizen Kongsi Bertemu Baginda Di Kedai Buku

Menariknya, satu lagi perkongsian daripada netizen turut menarik perhatian ramai apabila mereka terserempak dengan Baginda di kedai buku yang sama.
Menurut perkongsian itu, dia sedang memilih buku di bahagian ekonomi sebelum mendongak dan mendapati Baginda berada hanya beberapa langkah daripadanya.
Malah, Baginda dilihat begitu tenang dan selesa dikelilingi buku, tanpa sebarang iringan besar mahupun istiadat rasmi.
Sultan Nazrin Shah Terkenal Sebagai Ulat Buku

Sebenarnya, Baginda bukan sahaja dikenali sebagai seorang pemimpin, malah turut disegani sebagai seorang ilmuwan.
Ucapan Baginda sering sarat dengan sejarah serta ekonomi dan sering dilihat memahami setiap perkara yang disampaikan, bukan sekadar membacanya daripada teks.
Tambahan pula, Baginda dilaporkan memiliki sebuah perpustakaan peribadi di Petaling Jaya dengan koleksi kira-kira 30,000 buah buku.
Koleksi sebanyak itu dibina kerana cinta Baginda terhadap ilmu pengetahuan.
Baginda Memiliki Kelayakan Akademik Dari Oxford Dan Harvard
Untuk pengetahuan am, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dilahirkan pada 27 November 1956 di George Town, Pulau Pinang dan merupakan putera sulung kepada Sultan Azland Shah serta Raja Permaisuri Tuanku Bainun.
Dari segi pendidikan, Baginda memiliki beberapa kelayakan akademik dari universiti terkemuka dunia, iaitu:
- Ijazah Sarjana Muda dalam Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Worcester College, Oxford
- Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari John F. Kennedy School of Government, Universiti Harvard
- Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam ekonomi politik dan kerajaan, turut dari Universiti Harvard
Sultan Nazrin Shah Menaiki Takhta Sultan Perak Pada 2014

Sultan Nazrin Shah menaiki takhta sebagai Sultan Perak ke-35 pada 29 Mei 2014, susulan kemangkatan ayahandanya, Sultan Azlan Shah.
Peristiwa itu menandakan pewarisan takhta daripada ayah kepada anak buat pertama kali di Perak dalam tempoh hampir seabad.
Bukan itu sahaja, Baginda juga merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak tahun 2016 apabila dipilih dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang ke-243 pada 14 Oktober 2016.
Ini Empat Buku Tulisan Sultan Nazrin Shah Yang Boleh Didapati Di Kinokuniya
Berikut adalah empat buah buku tulisan Sultan Nazrin Shah yang dijual di Kinokuniya:
#1. Charting the Economy: Early 20th Century Malaya and Contemporary Malaysian Contrasts
Buku ini menilai perjalanan ekonomi Malaya yang bergantung kepada komoditi sepanjang 40 tahun pertama abad ke-20 di bawah pemerintahan British.
Baginda menggunakan pelbagai sumber sejarah dan dokumen arkib untuk mengkaji perkembangan ekonomi Malaya, termasuk peranan industri getah dan bijih timah sebagai pemacu utama ekonomi ketika itu.
Menariknya, buku itu turut memperlihatkan bagaimana sistem ekonomi kolonial lebih menguntungkan syarikat agensi, sekali gus menyebabkan pembangunan yang tidak seimbang.
#2. Striving for Inclusive Development: From Pangkor to a Modern Malaysia State
Buku kedua ini merupakan kajian komprehensif yang meneliti transformasi ekonomi dan sosial Malaysia sejak era Perjanjian Pangkor 1874 hingga pembentukan Malaysia moden.
Ia menyusuri perjalanan negara bermula daripada Perjanjian Pangkor 1874, era pemerintahan British, sehinggalah kepada pembentukan Malaysia pada 1963.
Baginda turut membincangkan Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada 1971, sebelum diakhiri dengan visinya untuk masa depan yang lebih inklusif.
#3. Globalization: Perak’s Rise, Relative Decline, and Regeneration
Buku ketiga pula menceritakan bagaimana Perak pernah menjadi kuasa utama ketika era globalisasi bermula pada abad ke-19.
Menjelang akhir abad ke-19, Perak muncul sebagai salah satu kawasan pengeluar bijih timah utama dunia, sekali gus menjadikannya pusat perdagangan penting di rantau ini.
Namun, buku itu turut merungkai punca keruntuhan industri timah dan getah di Perak, sebelum menceritakan iktibar serta visi untuk menjana semula kegemilangan negeri itu.
#4. Chronicling Themes in the Economic and Social History of Malaysia
Menerusi buku keempat ini, Baginda menghimpunkan sekumpulan penyelidik terkemuka bagi meneliti sejarah ekonomi, pentadbiran serta sosial Malaysia moden.
Antara isu yang dibincangkan ialah cabaran masyarakat serta cara kerajaan menangani masalah ketidaksamaan ekonomi.
Malah, buku ini turut menceritakan isu-isu seperti era penjajahan Jepun serta peranan bandar kecil dalam proses urbanisasi negara.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Dua Lipa Buka ‘Manifesto Library’, Koleksi 100 Buku Dengan Tajuk Yang Diharamkan | TRP
Baca Artikel Berkaitan: KDN Larang 6 Judul Buku Ini Dijual Di Pasaran Malaysia, Didakwa Langgar Etika Moral | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.