[EKSKLUSIF] Dari Ipoh Ke Pentas Antarabangsa, MikoNaiko Mahu Hapuskan Stereotaip Terhadap Muzik DJ
Juga merupakan seorang penganjur acara muzik, Miko berkata dia cuba untuk menganjurkan lebih banyak gig DJ dalam memperkembangkan industri itu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Industri muzik elektronik dan penggunaan deck DJ sering kali berdepan stereotaip dari segolongan besar masyarakat tempatan.
Dari tempat persembahan hinggalah ke gaya hidup, artis DJ muzik elektronik sering dikaitkan dengan konotasi-konotasi negatif termasuk kelab malam, dadah dan arak.
Namun buat seorang wanita Muslim, tanggapan buruk terhadap industri itu tidak menjadi penghalang untuk dia terus mengembangkan minat dan karier dalam sebagai seorang DJ.
Minat Sejak Usia 15 Tahun, DJ Miko Mula Hasilkan Muzik Di Deck Pada 2018
Merupakan anak kelahiran Ipoh, Perak, DJ MikoNaiko mula mendapat perhatian ramai setelah mewakili Malaysia ke festival Pestapora Jakarta 2025 tahun lepas.
Sebelum itu, Miko sudah cukup dikenali dalam kalangan scene underground bukan sahaja kerana karyanya yang unik, tetapi juga penampilannya sebagai seorang wanita berhijab.
Pada mulanya hanya meneroka muzik elektronik menerusi set festival DJ antarabangsa seperti seperti Ultra Music Festival (UMF), Tomorrowland dan Time Warp, Miko kini telah menghasilkan sebanyak 41 mixtape sejak berusia 15 tahun.
Bercakap kepada TRP, Miko berkata antara sumber inspirasi awalnya termasuk artis muzik elektronik antarabangsa seperti Calvin Harris, Carl Cox dan Galantis.
Cintanya terhadap muzik DJ terus berkembang apabila dia membeli controller deck DJ pertamanya pada 2018.
DJ Miko Mahu Hapuskan Stereotype Terhadap Muzik Elektronik Agar Didengari Ramai
Dari situlah munculnya idea untuk mengembangkan minat itu menjadi satu kerjaya. Miko berkata tidak mudah untuk melihat persembahan DJ di tempat awam ketika itu, sebaliknya ia hanya terkenal di ruangan yang dikaitkan dengan ‘nightlife‘ seperti bar dan kelab malam.
Itulah ‘jurang’ yang mahu diisi oleh Miko, untuk membawa muzik DJ ke tempat awam yang lebih bersesuaian dengan segolongan besar rakyat Malaysia.
“Saya cuba untuk break the stereotype dan jadikan muzik DJ terbuka untuk orang ramai,” katanya.
Dalam membawa muzik elektronik kepada audiens, Miko memberi fokus yang lebih terhadap muzik experimental, industrial dan acid techno.

Miko Seorang DJ ‘Self Taught’, Banyak Belajar Dari Video Tutorial Online
Tanpa sebarang pendidikan formal dalam bidang muzik, Miko berkata segala kebolehan yang ada telah dipelajari sendiri menerusi video tutorial yang mengajar cara menggunakan deck DJ.
Walaupun tidak datang dengan mudah, namun kenalan penganjur acara dan gig banyak memberi platform bagi Miko untuk mempersembahkan set DJnya.
Karier dalam industri itu bermula apabila Miko membuatkan kemunculan pertamanya sebagai DJ di acara Garage Sale KOLEK x PBUY di tempat kelahirannya.
“Ketika itu, saya masih tidak yakin untuk membuat persembahan kerana masih mencari jenis muzik yang betul-betul kena dengan jiwa, tetapi kenalan sekeliling yang banyak beri sokongan buatkan saya berani,” jelasnya.
Miko kini banyak melakukan persembahan di acara-acara awam, kafe, pop-up store dan festival tempatan.

Terima Sokongan Rakan-Rakan & Keluarga Untuk Kerjaya Sebagai DJ
Dari persembahan pertamanya, Miko mempelajari kepentingan mengenali pelbagai genre muzik yang diterbitkan dari dahulu hinggalah sekarang.
Tambahnya lagi, pemilihan lagu yang bersesuaian dengan audiens adalah penting agar dapat memberi impak persembahan yang bagus.
Walaupun dahulunya tidak menjadi sebahagian komuniti DJ atau muzik elektronik, namun Miko mendapat sokongan daripada rakan-rakan muzik underground lain sepert Hardcore, Punk dan Rock di Ipoh.
Dia menjelaskan bahawa kebanyakan komuniti DJ tempatan berada di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang setakat ini.
Tidak dilupakan juga sokongan yang diterima dalam kalangan ahli keluarganya sendiri yang sudah cukup mengenali dunia muzik underground tempatan.

DJ Miko Teruskan Berkarya Walau Pernah Hadapi Kecaman
Apabila ditanya mengenai salah tanggapan yang berlegar di sebalik industri DJ, Miko berkata ramai yang gemar mengaitkan set DJ dengan nightlife, walaupun memutarkan lagu-lagu klasik.
Inilah stereotaip yang cuba dihapuskan olehnya, iaitu muzik DJ masih merupakan muzik seperti persembahan lain.
“Muzik elektronik tak berbeza dengan muzik band, cuma menggunakan instrumen berlainanan sahaja,” katanya.
Mengulas tentang dirinya sebagai seorang wanita berhijab, dia berkata sudah beberapa kali juga video persembahannya tular sehingga mendapat pelbagai reaksi negatif dan keterlaluan.
Namun Miko menjelaskan dia tidak terkejut apabila membaca komen yang ditinggalkan oleh mereka yang tidak biasa dengan industri muzik, khususnya scene underground, dan mempunyai tanggapan buruk terhadap karier DJ.
Malah dia sendiri pernah mempersoalkan sama ada komuniti DJ itu sendiri dapat menerima identitinya kerana merupakan sesuatu yang di luar norma.

Wanita Makin Mendapat Tempat Dalam Scene Muzik Elektronik
Walau di luar negara sekalipun, sosok seorang wanita menjadi DJ muzik elektronik adalah sesuatu yang agak ‘luar biasa’.
Jadi buat Miko, dia benar-benar berasa teruja apabila melihat pemuzik wanita lain yang memainkan sebarang instrumen muzik sekalipun.
Katanya, mungkin ada pihak yang berasa tercabar apabila scene muzik elektronik semakin ‘dipelopori’ golongan wanita, namun masih terdapat ramai para lelaki yang memberi sokongan terhadap mereka yang mahu mengembangkan sayap dalam industri itu.
“Kena cuba cari komuniti atau kenalan yang tepat supaya dapat membantu memberi semangat untuk meneruskan karya,” antara nasihat yang dikongsikan olehnya.
Persembahan Antarabangsa Pertama Di Singapura, Turut Hasilkan Mix Bagi Hong Kong Community Radio
Mengulas mengenai pengalamannya membuat persembahan di luar negara, Miko berkata kali pertama menerima jemputan adalah bagi gig underground ‘Resistance to Zero’ di Lithe House, Singapura pada Disember 2019.
Dia ketika itu mengikuti tour bersama kenalan-kenalan artis experimental dan noise dari Indonesia dan Australia iaitu Coffee Faith, Mahamboro, Dissonant dan Anquan.
Sewaktu ke Jakarta bagi festival Pestapora 2025, Miko berkesempatan berkenalan dengan beberapa penganjur dan komuniti DJ Indonesia dan turut diberi peluang untuk mengadakan persembahan di luar lokasi festival.
Menjelaskan perbezaan di tanah air dengan luar negara, dia berkata komuniti muzik di luar lebih meraikan muzik elektronik, sekali gus memberinya keyakinan untuk membawa runut bunyi yang lebih ‘keras dan gelap’.
Pada tahun 2024, Miko turut menerima jemputan daripada penerbit dan artis rEmPiT g0dDe$$ sebagai tetamu jemputan bagi menghasilkan muzik mix bersama Bussy Temple yang diterbitkan oleh Hong Kong Community Radio.

Miko Cuba Anjur Lebih Banyak Gig Untuk Kembangkan Industri DJ Muzik Elektronik
Juga merupakan seorang penganjur acara muzik underground, Miko berkongsi usahanya dalam menganjurkan lebih banyak gig DJ di Ipoh agar industri itu dapat diperkembangkan lagi.
Seperti pada April lalu, dia telah menganjurkan gig Noise Collision I: Hardcore Rave yang menggabungkan beberapa band Hardcore/Punk serta artis DJ Techno, Schranz dan Jersey Club.
“Tujuan gig tersebut adalah untuk menunjukkan bahawa DJ juga boleh menjadi persembahan utama dalam gig yang disekalikan dengan muzik lain. Sesetengah penganjur lokal lebih cenderung untuk meletakkan set DJ sebagai opening, afterparty, atau menjadi side performer di festival,” jelas Miko.
Harapannya agar usaha sedemikian dapat membantu mendedahkan orang ramai kepada artis DJ dan genre muzik elektronik.
Persembahan besar yang seterusnya oleh Miko bakal diadakan di SoundCircus Festival, Art of Speed (AOS) 2026 pada 1 Ogos.
Apabila ditanya tentang persediaannya, Miko berkata dia kini lebih berani untuk membawa muzik yang agak ‘kasar dan dark‘ di festival tempatan selepas pengalamannya di Pestapora tahun lalu.
“Saya akan perbanyakkan elemen-elemen yang mungkin boleh memberi rasa ‘haunting and goosebumps‘. Genre muzik saya kali ini akan lebih fokus ke Industrial & Acid Techno,” katanya.
Pencapaian DJ MikoNaiko
Pada tahun lalu, Miko telah dinobatkan sebagai ‘Best DJ’ bagi JUICE Malaysia Best of 2025 Awards menerusi jumlah undian terbanyak.
Berikut merupakan antara pencapaian utama Miko sepanjang kariernya sebagai DJ muzik elektronik:
Festival Performance
- 2026 : SoundCircus Festival, Kuala Lumpur
- 2025 : Pestapora Festival, Jakarta
- 2024 : Atas Angin Festival, Kuala Lumpur
Supporting Act
- 2025 : Zamaera – The Epiphany Tour
- 2024 : Bittersweet – Homecoming Party
- 2019 : Seven Collar T-Shirt – Murder Ipoh Tour
Muzik elektronik yang dihasilkan oleh DJ MikoNaiko boleh didengari menerusi YouTube dan SoundCloud.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.