Now Reading
Pokemon Center Pop-Up Store Pertama Di Malaysia Dibuka Di KLCC September Ini

Pokemon Center Pop-Up Store Pertama Di Malaysia Dibuka Di KLCC September Ini

Pokemon bakal meraikan ulang tahun ke-30 di Kuala Lumpur menerusi pertunjukan drone pertama di Malaysia, Pokemon RUN 30 serta Pokemon Center Pop-Up Store pertama negara yang akan berlangsung di KLCC bermula September 2026.

In Brief
  • Pokemon Center Pop-Up Store pertama di Malaysia akan dibuka di Ombak KLCC bermula 12 September hingga penghujung Disember 2026.
  • Acara PokeXciting! akan berlangsung di Taman KLCC pada 12 dan 13 September 2026, termasuk pertunjukan drone pertama di Malaysia.
  • The Pokemon Company tidak menolak kemungkinan membuka Pokemon Center kekal di Malaysia bergantung kepada sambutan peminat tempatan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dengan hanya tiga bulan lagi sebelum berlangsung, The Pokemon Company akhirnya mendedahkan perincian sambutan ulang tahun ke-30 Pokemon yang dinanti-nantikan di Kuala Lumpur.

Menurut Pegawai Korporat The Pokemon Company, Susumu Fukunaga, pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama jelajah sambutan ini mempunyai makna tersendiri buat syarikat itu, dan mereka tidak sabar untuk menyaksikan peminat menikmati pelbagai aktiviti yang telah dirancang.

PokeXciting! Kuala Lumpur

Peminat Pokemon boleh menantikan pertunjukan drone Pokemon pertama di Malaysia menerusi acara PokeXciting! yang akan berlangsung di Taman KLCC pada 12 dan 13 September 2026.

Acara percuma yang mesra keluarga ini menjanjikan pelbagai aktiviti hiburan selama dua hari, termasuk kemunculan istimewa PokeXciting! Pikachu serta pertunjukan drone yang bakal menerangi langit Kuala Lumpur.

Menariknya, PokeXciting! Pikachu bukan sekadar maskot biasa. Setiap bandar penganjur akan menerima Pikachu dengan kostum berwarna eksklusif tersendiri.

Untuk Kuala Lumpur, Pikachu akan tampil dengan aksesori kepala berwarna turkois.

Selain itu, acara khas berkaitan PokeXciting! turut akan diadakan dalam Pokemon GO, termasuk kemunculan PokeXciting! Pikachu dalam permainan tersebut.

Fukunaga berkata, mereka mahu PokeXciting! menjadi lebih daripada sekadar acara hiburan. Sebaliknya, ia merupakan tanda penghargaan kepada peminat di seluruh Asia yang telah menyokong Pokemon selama tiga dekad, selain memberi peluang kepada komuniti Pokemon serantau untuk meraikan detik istimewa ini bersama-sama.

Pokemon RUN 30: Malaysia Edition

Pokemon RUN 30: Malaysia Edition pula akan berlangsung pada 21 dan 22 November 2026.

Acara larian interaktif ini menggabungkan pengalaman fun run dengan pengembaraan bertemakan Pokemon. Peserta akan memulakan perjalanan dengan memilih Pokemon pertama mereka sebelum berdepan pelbagai cabaran bertemakan dunia Pokemon.

Antara aktiviti yang menanti peserta termasuk Gym Battles, pertemuan dengan Pokemon liar, melengkapkan Pokedex Search Sheet serta peluang untuk mengembangkan Pokemon pasangan mereka.

Setiap peserta juga akan menerima Pokemon RUN 30 Runner’s Kit eksklusif yang merangkumi baju-T tajaan Uniqlo.

Turut disediakan ialah Festival Zone yang dibuka secara percuma kepada orang ramai, termasuk mereka yang tidak menyertai larian tersebut.

Antara tarikan utama di Festival Zone ialah Time Tunnel, sebuah ruang interaktif yang membawa pengunjung menelusuri sejarah Pokemon sepanjang 30 tahun lalu, selain memaparkan kandungan dan perkembangan terkini francais tersebut.

Peminat juga boleh mendapatkan pelbagai barangan eksklusif di Pokemon Pop-Up Store yang akan beroperasi di Festival Zone.

Maklumat lanjut mengenai lokasi dan waktu acara akan diumumkan kemudian.

Nintendo Pop-Up Store & Pokemon Center Pop-Up Store Pertama Di Malaysia

Dalam perkembangan sama, KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH) telah menjalin kerjasama rasmi dengan Pokemon bagi menjayakan sambutan PokeXciting! di Malaysia.

Menerusi kerjasama itu, pusat beli-belah baharu Ombak KLCC akan menjadi lokasi kepada Nintendo Pop-Up Store dan Pokemon Center Pop-Up Store pertama di Malaysia, bermula 12 September sehingga penghujung Disember 2026.

Nintendo Pop-Up Store akan menawarkan pelbagai barangan rasmi daripada francais popular Nintendo.

Untuk Kuala Lumpur, pengunjung boleh mendapatkan koleksi eksklusif yang menampilkan Mario dan Luigi dengan rekaan khas yang diinspirasikan daripada Menara Berkembar Petronas.

Sementara itu, Pokemon Center Pop-Up Store bakal menawarkan pelbagai produk termasuk barangan eksklusif Pokemon Center Original, kad dagangan, patung plush, produk keluaran terkini serta koleksi khas sempena ulang tahun ke-30 Pokemon.

Pengunjung juga boleh mencuba pengalaman permainan video menerusi ruang khas yang dibangunkan bersama Nintendo.

Bagi menambah kemeriahan, Ombak KLCC turut akan dihiasi dekorasi bertemakan Pokemon yang berubah mengikut jadual berikut:

  • 1 Oktober – 23 Oktober: Tema Pikachu
  • 24 Oktober – 15 November: Tema Api (Fire)
  • 16 November – 8 Disember: Tema Rumput (Grass)
  • 9 Disember – 31 Disember: Tema Air (Water)

Adakah Pokemon Center Kekal Akan Dibuka Di Malaysia?

Menjawab persoalan yang sering ditanya peminat tempatan, Fukunaga tidak menolak kemungkinan Malaysia menerima Pokemon Center kekal pada masa hadapan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pihak syarikat akan terlebih dahulu melihat sambutan dan penglibatan peminat tempatan terhadap pelbagai aktiviti yang bakal dianjurkan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd