Kenapa Telinga Anda Berisiko Untuk Rosak Jika Naik LRT?
Sebahagian laluan boleh cecah bunyi setinggi 100 dB yang boleh menjejaskan gegendang telinga dalam jangka masa panjang.
- Bunyi LRT Laluan Kelana Jaya boleh mencecah 96 hingga 99 dB, yang berpotensi merosakkan pendengaran pengguna.
- Bunyi kuat berpunca daripada teknologi lama, geseran roda, dan landasan keluli terutama ketika tren membelok.
- WHO mengesyorkan pendedahan maksimum 15 minit seminggu pada 100 dB sebelum risiko kehilangan pendengaran meningkat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak kebelakangan ini, semakin ramai pengguna meluahkan rasa kecewa terhadap laluan LRT Kelana Jaya yang sering menghadapi pelbagai masalah dan isu.
Baru-baru ini seorang pengguna di Threads (@pinkmilkiss__) meluahkan kebimbangan menaiki tren laluan Kelana Jaya dalam tempoh panjang boleh merosakkan gegendang telinga kerana terlalu bising.
Menariknya, pengguna (@mixboy2105) berkongsi salah seorang pakar audio telah mencatat bacaan purata bunyi mencecah 96 desibel (dB) dengan bacaan paling tinggi mencecah 99 dB.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Individu Hampir ‘Adopt’ Kucing Di LRT Wangsa Maju, Namun Ada Pihak Yang Halang Bikin Ramai Berang | TRP
Bukan Perkara Baru, Rupa-Rupanya Ramai Pengguna Menyuarakan Perkara Ini

Menerusi r/malaysia, seorang pengguna menyatakan laluan dari Dato’ Keramat ke KLCC antara yang paling bising berkemungkinan kerana berada di bawah tanah.
Namun begitu, pengguna bernama (@earth_wanderer123) berkata bunyi kuat berpunca daripada geseran antara roda dan landasan keluli. Selain itu, laluan Kelana Jaya yang dibina pada tahun 1990-an menggunakan teknologi lama berbanding laluan MRT yang jauh lebih senyap kerana kemajuan mengawal bunyi bising.
Faktor lain termasuk seperti klip yang mengikat landasan, bahan peredam pada viaduk boleh menyebabkan bunyi sangat kuat terutama ketika tren membelok.
Satu Kajian Telah Menunjukkan Bunyi Boleh Cecah 90 dB Tanpa Penghadang Bunyi
Tambahan pula, satu kajian telah dijalankan menerusi video yang dikongsi di Threads mendapati penggunaan penghadang bunyi boleh menurunkan tahap bunyi kepada 60 dB.
Manakala, untuk laluan yang tiada penghadang, bunyi boleh cecah lebih 90 dB.
Sementara itu, terdapat satu kajian oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah merekodkan bunyi maksimum ketika kereta api lalu melebih 85 dB.
Bunyi tersebut lebih tinggi berbanding bunyi lori berat yang berada sekitar 77 dB.
Walau bagaimanapun, isu ini bukan perkara yang baru kerana pada tahun 2019, penduduk di Seksyen 5, Petaling Jaya telah membuat aduan rasmi bahawa LRT masih terlalu bising dan meminta tahap bunyi dikurangkan.
“Bacaan berbeza di kawasan berlainan di sepanjang landasan. Bukan semua kereta api sama, ada yang baru dan ada yang memerlukan penyelenggaraan,” kata seorang penduduk bernama Ruban Chelliah dan turut merasakan tahap bunyi semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Kenapa Bahaya Telinga Terdedah Kepada Bunyi Kuat?

Untuk pengetahuan umum, skala desibel digunakan untuk mengukur kekuatan bunyi yang boleh didengar telinga manusia, bermula 0 dB, iaitu lebih perlahan daripada daun gugur, sehingga 120-140 dB seperti bunyi letupan yang boleh merosakkan pendengaran serta-merta.
Pada tahap 100 dB, bunyi sudah dianggap berbahaya dan boleh menyebabkan kerosakan atau kehilangan pendengaran jika pendedahan melebihi 15 minit.
Had pendedahan yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah seperti berikut:
- 85 dB: 8 jam
- 70 dB: 24 jam
Manakala jika anda terdedah kepada bunyi lebih daripada 85 dB, anda dinasihatkan untuk memakai pelindung pendengaran.
Tambahan pula, WHO turut menyatakan bahawa pada 100 dB telinga hanya mampu menahan pendedahan selama maksimum 15 hingga 20 minit seminggu. Melepasi tahap itu, risiko trauma akustik, kehilangan pendengaran akan meningkat dengan ketara.
Bagaimana Dengan Tren Lain Di Dunia? Adakah Ia Bising Juga?

Memetik laporan dari National Library Of Medicine, di negara Jepun persekitaran bunyi dalam kereta api biasanya kekal di bawah 85 dB.
Peraturan alam sekitar di negara itu yang ketat turut mewajibkan bunyi kereta api laju Shinkansen kekal pada 70 dB atau lebih rendah apabila melalui kawasan kediaman.
Manakala di New York, tahap bunyi sistem kereta api bawah tanah biasanya di antara 75 hingga 85 dB dengan bacaan paling tinggi turut mencecah melebihi 100 dB.
Selain itu, di London pula, kereta api biasanya mempunyai bacaan antara 80 hingga 90 dB tetapi di laluan tertentu seperti laluan Central dan Victoria boleh mencecah 105 hingga 115 dB.
Bahagian paling bising ialah terowong dalam selekoh di Victoria, Central, Northern dan Jubilee berikutan geseran roda keluli pada landasan kereta api.
Menariknya, laluan lebih baharu seperti Elizabeth Line berjaya mencatat purata sekitar 74.3 dB termasuklah laluan District dan Metropolitan, jauh lebih senyap kerana landasan dan infrastruktur lebih moden.
Baca Artikel Berkaitan: LRT Laluan Kelana Jaya Brek Mengejut, 5 Penumpang Cedera Akibat Panel Kaca Pecah | TRP
Baca Artikel Berkaitan: LRT KL Sentral Diberi Nama Baharu Kepada ‘KL Sentral redONE’ | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.