Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari Kes Jaslinda? Ini Kepentingan Perlindungan Ke Atas Komuniti Orang Asli
Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, yang sesat di Gunung Batu Putih telah diselamatkan oleh dua Orang Asli sebelum dibawa pulang ke Kampung Lubuk Gaharu dan dijaga buat sementara waktu.
- Komuniti Orang Asli memiliki pengetahuan mendalam tentang hutan, terbukti apabila mereka menyelamatkan Jaslinda dan mengenal pasti cendawan beracun dalam beg beliau.
- Perlindungan hak tanah adat Orang Asli bukan sahaja melindungi hak mereka, malah turut memelihara khazanah hutan negara untuk generasi akan datang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kes pendaki wanita, Jaslinda Saludin, yang tersesat di dalam hutan di Gunung Batu Putih di Tapah, Perak berakhir dengan kegembiraan apabila dia berjaya ditemui.
Selepas 14 hari tersesat di dalam hutan belantara, dia akhirnya diselamatkan oleh dua Orang Asli, Nazri a/l Bah Eng dan Bah Roslan Bah Sulpok, di kawasan lata air terjun Sungai Woh.
Difahamkan kedua-dua Orang Asli tersebut sedang memancing di kawasan air terjun berkenaan sebelum melihat Jaslinda yang kelihatan agak bingung.
Mereka kemudiannya membawa wanita itu pulang ke Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, di mana dia dijaga buat sementara waktu oleh komuniti Orang Asli di sana sementara menunggu pihak berkuasa.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Jaslinda Sesat: Doktor Kongsi Komplikasi Boleh Dialami Oleh Tubuh Badan Tanpa Nutrisi Yang Cukup
Situasi ini menarik perhatian ramai apatah lagi apabila kedua-dua Orang Asli yang membantu Jaslinda bukanlah sebahagian daripada pasukan SAR yang menjalankan operasi.
Malah, terdapat pengajaran yang boleh diambil daripada kes ini, iaitu berkenaan kepentingan perlindungan terhadap perkampungan Orang Asli yang turut memainkan peranan tidak langsung dalam melindungi khazanah negara.
Menerusi perlindungan yang diperkukuhkan, Orang Asli juga sekali gus dapat menjadi ‘penjaga hutan’ dan membantu pihak berkuasa dalam operasi SAR jika berlakunya kehilangan individu pada masa akan datang.
Orang Asli Mempunyai Ilmu Hutan Lebih Tinggi Berbanding Golongan Masyarakat Lain
Tidak dapat dinafikan bahawa komuniti Orang Asli mempunyai pengetahuan tradisional yang mendalam berkaitan kepelbagaian biodiversiti di dalam hutan.
Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Persidangan Orang Asli Ke-12 pada 2023 berkata, pengetahuan ini membuatkan masyarakat Orang Asli lebih cakna terhadap ekosistem hutan dan mengamalkan cara hidup yang sebati dengan alam sekitar.
Perkara ini secara tidak langsung meletakkan ilmu pengetahuan komuniti Orang Asli mengenai flora dan fauna semula jadi pada tahap yang lebih tinggi berbanding rata-rata masyarakat yang tinggal jauh dari hutan.
Seperti dalam kes Jaslinda, Nazri segera tahu bahawa cendawan yang ditemui dalam beg wanita itu adalah beracun dan tidak boleh dimakan.
“Cendawan itu beracun, tetapi dia tidak makan. Dalam beg juga ada daun yang kami panggil ‘asam batu’ yang boleh dimakan. Nasib baik dia tidak makan cendawan itu,” katanya.
View on Threads
Penempatan Orang Asli Secara Tak Langsung Melindungi Kawasan Hutan Berhampiran
Kewujudan komuniti Orang Asli juga khususnya di penempatan berhampiran hutan, sudah tentu akan membuatkan kawasan berkenaan lebih terjaga.
Menurut Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd Asmadi Abdullah, penduduk di kampungnya bergantung kepada laluan hutan bagi aktiviti harian.
Malah, jambatan kayu di mana Jaslinda ditemui telah dibina sendiri oleh mereka yang menjadi laluan utama untuk mencari hasil hutan.
Menyelusuri semula kes Jaslinda, jika Nazri dan Bah Roslan tidak ke lata terbabit untuk menangkap ikan, yang menjadi sumber makanan buat komuniti Orang Asli, mungkin wanita itu masih tidak akan ditemui.
Oleh yang demikian, melindungi hak tanah adat Orang Asli juga merupakan satu perkara yang perlu diambil serius oleh masyarakat, khususnya pihak kerajaan.
Menerusi usaha ini, bukan sahaja hak Orang Asli dapat dilindungi, tetapi juga dapat mengelak daripada berlakunya pencerobohan tanah dan eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
View on Threads
Tanah Orang Asli Mempunyai Undang-Undang Yang Tersendiri
Berdasarkan Seksyen 6 Akta Orang Asli 1954, tanah yang diisytiharkan sebagai kawasan Orang Asli juga tidak boleh diberi hak milik kepada individu selain Orang Asli yang bermastautin di kawasan tersebut, mahupun perusahaan komersial tanpa rundingan dengan Ketua Pengarah.
Undang-undang ini sekali gus dapat melindungi tanah Orang Asli daripada dibangunkan selain daripada kawasan penempatannya.
Malah, individu lain juga tidak boleh mendapatkan lesen pemungutan hasil hutan
di kawasan Orang Asli, seterusnya melindungi khazanah flora dan fauna di kawasan berkenaan.
Penting agar khazanah alam ini dilindungi supaya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Sifat Orang Asli yang menghormati alam sekitar juga wajar menjadi pedoman kepada masyarakat umum.
Beberapa Akta Diwujudkan Bagi Melindungi Hak Serta Pengetahuan Orang Asli
Untuk info, Akta Orang Asli 1954 telah diwujudkan yang menjadi perundangan utama bagi perlindungan kesejahteraan dan kemajuan masyarakat Orang Asli khususnya di Semenanjung Malaysia.
Selain itu, Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (Akta 795) yang dikuatkuasakan pada Disember 2020 pula penting dalam melindungi kelestarian sumber asli negara serta pengetahuan tradisi masyarakat Orang Asli.
“Akta ini turut melindungi kepentingan dan hak masyarakat Orang Asli terhadap pengetahuan tradisi yang mereka miliki sejak turun temurun dan memastikan agar mereka memperoleh faedah yang adil dan saksama hasil daripada penggunaan sumber biologi yang diakses berdasarkan pengetahuan tradisi mereka,” ujar Nik Nazmi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.