Wang Negara Indonesia Rupiah Catat Penurunan Paling Teruk Dalam Sejarah
100,000 ribu Rupiah kini bersamaan RM22.36.
- Rupiah Indonesia mencatat paras paling lemah dalam sejarah, terjejas oleh kenaikan harga minyak global dan lebihan dagangan yang merudum.
- Keyakinan pelabur merundum akibat defisit belanjawan yang melebar dan program besar kerajaan Prabowo bernilai AS$20 bilion.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Nilai mata wang sesebuah negara bukan sekadar angka yang terpapar di kaunter pertukaran wang semata-mata.
Ia adalah cerminan terhadap status ekonomi sesebuah negara menunjukkan adakah ia sedang naik atau turun.
Itulah yang terjadi pada mata wang Rupiah Indonesia baru-baru ini telah mencatat paras paling lemah dalam sejarahnya berbanding dolar Amerika Syarikat berdasarkan laporan dari Harian Metro.
Harga Minyak Melonjak Pencetus Awal Kejatuhan Nilai Mata Wang Indonesia

Disebabkan perang di Timur Tengah ia telah menjadi salah satu pencetus awal kejatuhan rupiah kerana lonjakan mendadak harga minyak global.
Tambahan pula, Indonesia merupakan sebuah negara yang mengimport minyak bersih dan kenaikan harga minyak bermakna mereka terpaksa membelanjakan lebih banyak dolar AS bagi memenuhi keperluan tenagannya.
Pada masa sama, lebihan dagangan negara itu merudum secara mengejut daripada AS$3.3 bilion kepada AS$89 juta dalam tempoh sebulan bermaksud stok dolar AS dalam pasaran Indonesia semakin berkurangan.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Permata Bank, Josua Pardede berkata, “Bekalan dolar AS daripada perdagangan barangan semakin berkurangan, sedangkan keperluannya kekal tinggi,”
Kesannya dapat dilihat rupiah menyusut lebih tujuh peratus dalam masa beberapa bulan menjadikannya antara prestasi yang terburuk di Asia.
Ketidakstabilan Negara Turut Memberi Kesan Kepada Prestasi Mata Wang

Belum cukup kelemahan dalam negara, tekanan dari luar menambah beban yang mengeruhkan lagi keadaan.
Memetik laporan Reuters, defisit belanjawan Indonesia bagi tahun 2025 dicatatkan pada 2.9% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merupakan paras paling lebar sejak dua dekad lalu kecuali semasa pandemik COVID-19.
Angka itu mungkin kelihatan kecil namun undang-undang Indonesia telah menetapkan had maksimum pada tiga peratus KDNK sahaja menyebabkan keyakinan pelabur merundum.
Situasi bertambah tegang apabila Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah melancarkan pelbagai program besar seperti makanan percuma bernilai kira-kira AS$20 bilion menyebabkan pelabur asing bertindak balas dengan menjual bersih hampir AS$6.4 bilion bon kerajaan Indonesia, dengan penjualan terbesar pada bulan September tahun lalu.
Sebahagian besar tindakan ini kerana pertukaran mengejut Menteri Kewangan, Mulyani Indrawati, digantikan dengan pakar ekonomi, Purbaya Yudhi Sadewa.
Anak Saudara Presiden Dicalonkan Ke Lembaga Bank Pusat Dipersoalkan
Selain itu, pelantikan anak saudara Presiden Prabowo sebagai calon ahli lembaga Bank Indonesia telah mencetuskan persoalan seperti sejauh mana bank pusat bebas daripada pengaruh politik.
Menurut laporan dari Reuters, Bank Pusat sebelum ini bersetuju membantu membiayai sebahagian program kerajaan dilihat ramai sebagai langkah mengaburkan sempadan antara dasar fiskal dan monetari.
Sementara itu, Parlimen pula sedang membahaskan undang-undang bagi memperluaskan peranan bank pusat dalam menyokong pertumbuhan ekonomi walaupun pihak berkuasa berulang kali memberi jaminan bank pusat akan kekal bebas.
Bank Indonesia Perketat Pembelian Dolar Dan Naikkan Kadar Faedah

Dengan keadaan nilai semakin merudum, Bank Indonesia telah melakukan beberapa langkah untuk membantu meredakan situasi secara langsung dengan memperketat peraturan pembelian dolar.
Sejak bulan Mei lalu, pembeli yang ingin membeli melebihi AS$25,000 sebulan kini wajib mengemukakan dokumen sokongan.
Selain itu, kadar faedah turut diselaraskan mengikut keperluan iaitu salah satu langkah yang pernah dilakukan pada satu ketika untuk menstabilkan rupiah kemudian dipotong bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.
Rizab pertukaran asing yang hampir mencecah AS$156.5 bilion menjadi benteng pertahanan sangat penting walaupun ramai mempersoalkan sama ada ia mencukupi selagi keyakinan pasaran belum pulih.
Apa Yang Bakal Berlaku Kepada Rakyat Indonesia?
Buat masa ini, harga barangan keperluan harian belum melonjak dan inflasi masih terkawal.
Namun jika rupiah terus melemah, sektor yang bergantung kepada import bahan mentah akan rasa tertekan dan akhirnya pengguna seperti rakyat Indonesia akan menanggung kesannya.
Prestasi Mata Wang Lemah Dikenali Sebagai Inflasi, Jika Tidak Dibendung Boleh Jadi Hiperinflasi Seperti 5 Mata Wang Negara Ini

#1. Greece – Oktober 1944
Semasa di bawah jajahan tentera Jerman, mata wang Greece berganda setiap 4.3 hari dan mencecah kadar inflasi bulanan 13,800 peratus sebelum stabil semula pada awal 1947.
Untuk mudah faham kadar inflasi ini, sepinggan nasi ayam berharga RM10 boleh cecah RM1,390
#2. Yugoslavia – Oktober 1994
Dalam tempoh krisis yang memuncak, mata wang di Yugoslavia berganda setiap 34 jam menyebabkan rakyatnya terpaksa menyeludup barangan keperluan asas seperti makanan dan pakaian semata-mata untuk hidup.
Akhirnya, negara itu terpaksa meninggalkan mata wangnya sendiri dan beralih kepada mata wang Jerman.
#3. Jerman – Oktober 1923
Ketika kemuncak Perang Dunia Pertama, kerajaan Jerman telah mencetak wang tanpa kawalan bagi membiayai peperangan menyebabkan harganya melonjak sehingga sebakul wang kertas tidak cukup untuk membeli senaskah surat khabar.
Krisis itu hanya berakhir apabila mata wang baru, Rentenmark diperkenalkan.
#4. Zimbabwe – November 2008
Akibat salah urus ekonomi yang berlarutan menyebabkan inflasi bulanan mata wang Zimbabwe mencecah 2,600% atau 231% juta dalam tempoh setahun.
Sekeping roti boleh mencecah harga sama seperti 12 buah kereta.
#5. Hungary – 1946
Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Hungary telah mencatat antara hiperinflasi paling teruk dalam sejarah menyebabkan harga barang berganda setiap 15.6 jam.
Untuk beri perspektif mudah, wang kertas telah cecah nilai sehingga 1,000,000,000,000,000,000 forint yang tidak mempunyai sebarang nilai.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Warga Indonesia Mohon Maaf Selepas ‘Claim’ Upin & Ipin Berasal Dari Republik Itu | TRP
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Bangga Dengan Pembangunan Malaysia, Warga Indonesia Seru Rakyat Senegara Cuba Majukan Diri | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.