Now Reading
Lelaki Ini Tukar Jam Rolex RM236,000 Kepada Kad Pokémon, Kini Miliki Koleksi Hampir RM800,000!

Lelaki Ini Tukar Jam Rolex RM236,000 Kepada Kad Pokémon, Kini Miliki Koleksi Hampir RM800,000!

Bagi Winston Robertson, kad Pokémon mempunyai nilai emosi serta nostalgia dan bukan sekadar aset pelaburan semata-mata.

In Brief
  • Winston Robertson menukar jam Rolex bernilai RM236,000 kepada kad Pokémon, dengan koleksinya kini mencecah hampir RM800,000.
  • Minat Winston terhadap kad Pokémon bukan sekadar pelaburan, tetapi turut membawa unsur nostalgia dan hubungan emosi sejak kecil.
  • Winston menasihati pengumpul baharu untuk membuat kajian, memahami nilai pasaran, dan hanya guna wang yang sanggup dirugi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bagi sesetengah individu, mempunyai seutas jam tangan mewah mungkin dianggap sebagai simbol kejayaan atau barangan mewah wajar disimpan untuk jangka masa panjang.

Namun bagi Winston Robertson, sebuah jam tangan Rolex bernilai RM236,000 menjadi batu loncatan pertama kepada sesuatu yang lebih bernilai iaitu kad Pokémon.

Menurut Winston, dia baru sahaja bermula mengumpul kad baru-baru dan keseluruhan koleksinya dianggarkan telah mencecah hampir RM800,000.

Seutas Jam Tangan Menjadi Kunci Menyelami Dunia Mengumpul Kad Permainan

Seutas jam tangan sama nilai dengan koleksi kad.
(Foto: Time+Tide Watch / Guinness World Records)

Menurut Winston, jam tangan yang dimiliki sebelum ini dibeli di Singapura sebelum disimpan selama tiga hingga empat tahun yang lalu.

Selepas sekian lama tidak dipakai, dia mula memikirkan semula nilai jam tersebut dalam kehidupannya dan merasakan menjualnya semula untuk mendapatkan wang tunai bukan sesuatu yang begitu menarik.

Pada masa yang sama, dia mula mendalami dunia mengumpul kad Pokémon.

“Saya merasakan lebih menarik jika kita menukar jam tangan ini dengan beberapa kad Pokémon bernilai yang setara,” katanya.

Apabila ditanya sama ada dia menyesal melepaskan jam tangan tersebut, Winston berkata dia tidak menyesal kerana jam itu tidak pernah dipakai.

“Sebenarnya, tidak, kerana ia hanya seutas jam tangan dan saya tidak pernah memakainya dan saya boleh bermain dengan kad Pokémon yang lebih menyeronokkan,” tambahnya.

Pada Awalnya Menyangka Hobi Ini Sesuatu Yang Tidak Masuk Akal

Minatnya terhadap kad Pokémon bermula ketika sambutan Tahun Baru Cina selepas seorang rakan rapat menunjukkan koleksi kad miliknya.

Reaksi pertamanya ketika itu adalah menganggap rakannya tidak masuk akal.

Tetapi Winson mula membuat kajian, menghadiri beberapa event berkaitan, menyifatkannya sebagai “pasar malam tetapi untuk pengumpul kad”, sebelum menyedari bahawa hobi ini sebenarnya cukup menyeronokkan.

Katanya, komuniti pengumpul kad sangat terbuka, selain mempunyai peminat yang benar-benar menghargai karya seni pada setiap kad.

Ada Unsur Nostalgia Dalam Koleksi Pokémon

Siri animasi Pokémon sudah bermula sejak tahun 1996. (Foto: LinkedIn)

Di sebalik setiap kad, minat Winston terhadap koleksinya turut mempunyai sisi peribadi.

Ketika kecil, dia tidak mampu memiliki kad Pokémon sendiri dan pernah meminjam Game Boy milik sepupunya untuk bermain permainan video Pokémon manakala untuk permainan kad pula, dia banyak meminjam koleksi lain dan mencampurkan dengan kad dimiliki ketika itu.

Bagi Winston, mengumpul semula kad Pokémon sebagai orang dewasa memberi pengalaman yang berbeza.

Ia bukan sekadar nostalgia, tetapi seperti mendapatkan semula sesuatu yang tidak pernah dimiliki sepenuhnya sewaktu kecil.

Bukan Sekadar Sekeping Kad, Tetapi Karya Seni Yang Boleh Dirasai

Sekeping kad boleh dinilai sebagai karya seni mewah. (Foto: Dicebreaker)

Winston turut melihat kad Pokémon daripada sudut pelaburan, namun dengan nilai yang berbeza berbanding aset lain.

Menurutnya, dia turut melabur dalam pelbagai aset lain seperti hartanah, restoran, saham dan lain-lain.

Namun, kebanyakan pelaburan itu dianggap tidak kuat dari segi emosi kerana ia sekadar nombor di skrin, dokumen atau aset yang jarang disentuh secara fizikal.

Berbeza pula dengan kad permainan seperti Pokémon atau One Piece, ia boleh dipegang, disentuh, dihargai dari segi seni dan mempunyai hubungan emosi berkait rapat dengan zaman kanak-kanak.

“Anda tidak dapat menikmati sesuatu seperti saham, contohnya,” katanya.

Baginya, kad Pokémon berada di persimpangan antara emosi, komuniti dan pelaburan.

Kenapa Sesetengah Kad Pokémon Boleh Cecah Nilai Tinggi?

Logan Paul memakai rantai kad Pokémon yang dijual dengan nilai tinggi. (Foto: Fox Business)

Nilai sekeping kad tidak semestinya ditentukan oleh usia semata-mata, walaupun ramai percaya kad vintaj lebih bernilai. Winston berpendapat permintaan dan daya tarikan sesuatu kad memainkan peranan yang lebih besar untuk menentukan nilainya.

Baginya, kad yang mempunyai tarikan merentas generasi dan pasaran lebih berpotensi untuk mengekalkan nilai,

Contohnya, menurut Winston yang banyak mengumpul kad watak Charizard, antara kad kegemarannya ialah Mega Charizard X EX kerana memaparkan evolusi watak tersebut.

Menariknya tentang kad ini, versi Inggeris dan Jepun mempunyai nilai tersendiri kerana dalam versi Inggeris, wajahnya sedikit terlindung, manakala versi Jepun pula wajahnya dapat dilihat dengan lebih jelas.

Bagi orang biasa, ia mungkin hanya perbezaan kecil namun bagi pengumpul, butiran kecil ini mempunyai nilai dari segi emosi dan seni.

Winston sendiri memiliki sembilan salinan kad berkenaan dan menyatakan pendapatnya bahawa mengumpul kad bukan lagi hanya membina sebuah koleksi, ia seakan memiliki karya seni dalam bentuk kecil.

Setiap Kad Mempunyai Nilai Yang Sukar Untuk Dilepaskan

Walaupun kad Pokémon boleh dilihat sebagai pelaburan, Winston berkata tidak semua kad dalam koleksinya akan dijual kerana terdapat unsur emosi peribadi.

Apabila unsur tersebut sudah terlibat, sesuatu kad itu tidak lagi dinilai semata-mata daripada sudut pelaburan.

Dalam masa yang sama, Winston turut menasihatkan mereka yang mahu mula mengumpul kad Pokémon untuk membuat kajian terlebih dahulu.

Katanya, penting untuk memahami nilai pasaran, mengetahui cara mengenal pasti kad palsu dan hanya menggunakan wang yang anda sanggup untuk rugi.

Siapa Winston Robertson Ini Sebenarnya?

“Sebelum membina syarikat media sendiri, saya datang daripada keluarga kelas pertengahan. Namun apabila perniagaan ayah saya gagal, kehidupan kami jatuh ke kelompok B40 dan disebabkan itu, saya tidak dapat menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang,” katanya.

Menurutnya, pengalaman tersebut memberi kesan yang sangat mendalam dalam hidupnya kerana walaupun mempunyai keputusan akademik yang baik, dia terpaksa melihat rakan-rakan lain menamatkan pengajian, melancong dan menikmati kehidupan universiti, sedangkan dirinya pula perlu bermula semula tanpa ijazah dan tanpa banyak sokongan.

“Tiada siapa benar-benar mahu mengambil saya bekerja, jadi saya terpaksa mencipta laluan sendiri.

“Saya bermula dalam bidang jualan dengan meyakinkan peniaga untuk menyertai pembelian berkumpulan bagi menjimatkan kos, dan pada masa lapang saya membina komuniti Facebook sekadar untuk suka-suka.

“Dari situlah saya mula memasuki dunia media,” ujarnya.

Tambahnya lagi, antara pengajaran terbesar yang dipelajari ialah “orang yang tiada payung perlu berlari lebih laju”.

“Ketiadaan ijazah memaksa saya untuk lebih merendah diri kerana kita cepat sedar bahawa masih banyak perkara yang kita tidak tahu.

“Jadi saya perlu belajar sendiri, lebih banyak memerhati dan belajar dengan lebih pantas. Saat berada di titik paling bawah mengajar saya bahawa saya hanya boleh bergantung pada diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, apabila seseorang sudah berada di bawah, rasa takut untuk gagal juga berubah kerana walaupun gagal, mereka hanya akan kembali ke tempat asal.

“Jadi satu-satunya arah yang tinggal hanyalah untuk naik semula,” katanya.

Rock Bottom

Dalam pada itu, beliau turut mengakui antara fasa paling sukar dalam perjalanan membina perniagaannya ialah apabila dibelenggu hutang yang besar sehingga terpaksa menjual perniagaan yang sedang menjana keuntungan hanya untuk terus bertahan.

“Dari luar, orang melihatnya sebagai satu kejayaan atau ‘exit’, tetapi hakikatnya ia hanyalah demi kelangsungan hidup. Sebahagian besar wang tersebut terus digunakan untuk melangsaikan hutang,” katanya.

Tambahnya, ketika itu dia turut berdepan pelbagai cabaran yang sering menjadi ketakutan terbesar para usahawan seperti isu perundangan, LHDN dan mahkamah buruh.

“Rasanya seperti jatuh ke titik paling bawah sekali lagi. Apa yang saya pelajari daripada pengalaman itu ialah ketahanan bukan sekadar soal mentaliti, tetapi juga disiplin aliran tunai, kebolehan membuat keputusan ketika tertekan dan kemampuan untuk terus bergerak walaupun keadaan masih kabur,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi satu petikan daripada Albert Camus yang memberi kesan besar dalam hidupnya.

“Di saat musim sejuk paling gelap, saya akhirnya menyedari bahawa dalam diri saya masih wujud musim panas yang tidak dapat dikalahkan.”

Katanya, selepas melalui fasa tersebut, dia tidak lagi takut akan kegagalan kerana sudah melihat sendiri kemungkinan paling buruk yang boleh berlaku.

“Saya percaya ramai orang menjalani hidup secara ‘autopilot’ tanpa benar-benar mengetahui kemampuan sebenar diri mereka.

“Apabila kita diuji, barulah kita sedar bahawa had kemampuan kita sebenarnya jauh lebih besar daripada yang kita sangkakan,” kata Winston lagi.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd