Now Reading
Gelisah Jadi Ayah Kali Pertama? Ini 7 Tips Buat Bakal Ayah Untuk Menjaga Isteri & Bayi

Gelisah Jadi Ayah Kali Pertama? Ini 7 Tips Buat Bakal Ayah Untuk Menjaga Isteri & Bayi

Bukan setakat menjaga sahaja, suami perlu peka dengan emosi dan fizikal isteri.

In Brief
  • Be prepared to handle post-birth realities like lochia and cleaning your wife without hesitation, as she needs your full support.
  • Protect your wife's emotional wellbeing by being present at home, listening to her, and never comparing your tiredness to hers.
  • Learn basic cooking, household chores, and baby care skills so you can actively help without waiting to be asked.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Menjadi ayah buat pertama kali pastinya merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat mana-mana lelaki.

Dalam keseronokan menyambut kelahiran cahaya mata, jangan lupa si isteri juga sedang melalui fasa pemulihan selepas bersalin yang kita sedia maklum bukannya mudah.

Oleh itu, menerusi Threads, seorang pengguna (@mohd.shapit) berkongsi beberapa pesanan untuk lelaki yang bakal bergelar ayah buat kali pertama supaya lebih bersedia untuk membantu isteri ketika tempoh berpantang dan menjaga anak.

View on Threads

Baca Artikel Berkaitan: Nak Anak Berhenti Main Gajet? Ini Kaedah ‘Cold Turkey’ Untuk Ibu Ayah

#1. Jangan Geli Dengan Proses Menguruskan Uri, Darah Nifas

Antara perkara utama buat para lelaki ialah bersedia berdepan dengan realiti selepas bersalin yang dianggap ‘geli’ seperti menguruskan uri, membantu membersihkan isteri dan memahami darah nifas itu ialah sebahagian proses selepas bersalin.

Sebagai lelaki, kita tidak sepatutnya rasa geli kerana isteri tersayang sedang melalui keadaan dengan tubuh sangat lemah.

Sebaliknya kita perlu membantu isteri dalam menguruskan urusan harian seperti memandikan, membersihkan atau mengurut badan isteri jika keadaan mengizinkan.

Nampak seperti perkara kecil, tetapi boleh memberi kelegaan besar kepada isteri yang sedang sakit, pent serta masih mencuba menyesuaikan diri selepas bersalin.

#2. Emosi Isteri Semasa Berpantang Perlu Dijaga
Emosi isteri perlu dijaga. (Foto: Unsplash)

Selain fizikal, emosi isteri juga perlu diberi perhatian kerana ibu yang sedang berpantang kelihatan lebih sensitif kerana penat, kurang tidur dan sedang menyesuaikan diri dengan rutin baru sebagai seorang ibu.

Dalam keadaan ini, suami diingatkan agar menjaga kata-kata dan jangan sesekali membandingkan penat anda dengan penat isteri.

Ayat seperti, “awak ingat saya tak penat?” jangan dikeluarkan tau! Kita sendiri tidak dapat bayangkan rasa penat menanggung kesakitan itu macam mana dan isteri bukan mahu dimanjakan sepanjang masa, mereka mahu rasa difahami dan tidak dibiarkan melalui fasa itu seorang diri.

#3. Kurangkan Aktiviti Di Luar, Banyakkan Masa Di Rumah
Buat masa ini kurangkan aktiviti di luar. (Foto: Unsplash)

Buat masa ini, kurangkanlah aktiviti di luar seperti melepak, bersukan atau berjumpa rakan terlalu lama.

Bukannya langsung tidak boleh ada masa sendiri, tetapi tempoh berpantang adalah masa penting untuk isteri mendapatkan sokongan.

Selepas melahirkan anak, isteri bukan sahaja perlu menjaga bayi, tetapi juga sedang memulihkan tubuhnya semula.

Jadi kehadiran kita di rumah sangat penting terutama bila bayi kerap menangis atau memerlukan perhatian dan anda perlu rajin bertanya keadaan dirinya, mendengar luahan serta membantu apa yang patut tanpa perlu disuruh.

#4. Rajinkan Diri Untuk Belajar Memasak Serta Menjaga Rumah
Belajar masak menu mudah seperti ini. (Foto: theAsianParent)

Selain menjaga bayi, anda juga perlu menyediakan menu berpantang untuk isteri tersayang tau tetapi tidaklah perlu terus jadi pakar memasak.

Cukup sekadar tahu beberapa menu mudah yang sesuai untuk isteri makan.

Dalam fasa ini, perkara kecil seperti menyediakan air, makanan, mencuci botol susu, mengemas rumah atau memastikan isteri makan pada waktunya sudah cukup membantu.

Terutama bila isteri sedang menyusu badan, mereka mungkin lebih cepat lapar dan dahaga.

#5. Kadang-Kala Bayi Menangis Bukan Sebab Nak Susu

Selain itu, si suami dinasihatkan jangan cepat menyerahkan bayi kepada isteri setiap kali dia menangis kerana ramai ayah beranggapan bayi menangis tandanya mahu menyusu.

Hakikatnya, tidak semua tangisan itu bermaksud lapar kerana ada masanya bayi hanya mahu didukung, ditenangkan, ditukar lampin atau bantu untuk tidur semula.

Contohnya bila bayi terjaga pada waktu malam pula, suami boleh pujuk dan tidurkan semula supaya isteri boleh berehat sepenuhnya.

#6. Elakkan Bagi Orang Datang Melawat Buat Masa Ini

Dalam perkongsian itu juga, suami dinasihatkan agar tidak terlalu cepat menerima tetamu ketika isteri masih dalam proses pemulihan.

Memanglah ramai teruja mahu melihat bayi baru lahir, tetapi keadaan si ibu perlu diutamakan.

Jika isteri masih lemah, penat atau belum bersedia, suami perlu jadi orang tengah untuk menjelaskan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.

Lagipun, bayi perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu juga.

#7. Ayah Juga Perlu Ambil Masa Untuk Belajar Faham Bayi
Si ayah perlu luangkan masa dengan anak. (Foto: Unsplash)

Selain daripada pesanan yang dikongsikan di Threads, si ayah juga perlu faham bahawa menjaga bayi adalah kemahiran yang dipelajari dari masa ke masa.

Lama-kelamaan, anda akan mula mengenal beza tangisan bayi seperti menangis kerana lapar, mengantuk, tidak selesa, lampin penuh atau mahu didukung.

Sebab itu, ayah perlu kerap terlibat dalam penjagaan bayi dan tidak terus menyerahkan anak kepada isteri setiap kali si kecil menangis.

Pada awalnya, anda mungkin akan terasa kekok, tidak mengapa bukan bermakna anda tidak boleh belajar.

Contohnya, bila bayi dalam keadaan baik, anda perlu menjaga bayi sekurang-kurangnya 20 ke 30 minit untuk membina keyakinan serta memahami cahaya mata anda sendiri.

Hubungan Ayah & Anak Terbina Melalui Perkara Kecil
Penting untuk anak dan ayah bina hubungan. (Foto: Pa&Ma)

Dalam proses menjaga bayi, kesilapan mungkin berlaku cara dukung, bedung tidak kemas, lampin senget atau bayi tidak sedawa dengan cukup.

Namun, jangan terlalu cepat putus asa kerana isteri sedang belajar menjadi ibu dan ingin memastikan semuanya berjalan dengan baik.

Dalam masa sama, anda perlu bina hubungan dengan bayi melalui rutin harian seperti menukar lampin, mendukung, memandikan bayi, menidurkan atau duduk bersama.

Tambahan pula, jangan hanya ambil bayi bila dia sedang menangis atau ketika isteri sudah penat kerana anda perlu luangkan masa dengan bayi untuk menambah keyakinan dalam menjaga anak.

Menjadi ayah kali pertama memang bukan perkara mudah, banyak perlu dipelajari dalam masa singkat tetapi usaha untuk sentiasa menjaga isteri dan bayi sangat penting untuk membentuk anda sebagai ayah.

Baca Artikel Berkaitan: Risau Anak Tak Bercakap Sangat? Ini 7 Tips Buat Ibu Bapa Rangsang Si Manja Untuk Bercakap

Baca Artikel Berkaitan: Si Kecil Tantrum Tanpa Sebab? Ini Pantang Larang Ketika Anak Meragam Ibu Ayah Perlu Take Note


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd