Now Reading
Pasport Malaysia Baharu Dengan 94 Ciri Keselamatan Mula Dikeluarkan 1 Jun

Pasport Malaysia Baharu Dengan 94 Ciri Keselamatan Mula Dikeluarkan 1 Jun

Pasport baharu ini dilengkapi 94 ciri keselamatan, namun pasport sedia ada masih boleh digunakan selagi belum tamat tempoh.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Menurut laporan BERNAMA, Pasport Malaysia baharu akan mula dikeluarkan bermula 1 Jun dengan penambahbaikan besar dari segi ciri keselamatan.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, pasport ini mempunyai 94 ciri keselamatan, hampir dua kali ganda berbanding versi sebelum ini yang mempunyai 49 ciri.

Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara supaya ia lebih sukar dipalsukan.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Langkah Perlu Diambil Jika Pasport Rosak Atau Basah Terkena Air

Akan Dikeluarkan Secara Berperingkat Terlebih Dahulu

Pasport Malaysia. (Foto: BusinessToday Malaysia)

Pada fasa awal, pasport ini akan dikeluarkan di empat lokasi terlebih dahulu iaitu Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Pejabat Pasport Kuala Lumpur di Jalan Duta, UTC Wangsa Maju dan Pejabat Imigresen Shah Alam.

Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat sebelum diperluaskan ke seluruh negara menjelang Julai.

Ciri Forensik Khas, Elemen Visual Tersembunyi Dan Macam-Macam Lagi
Datuk Zakaria Shaaban. (Foto: Astro Awani)

Bercakap tentang ciri keselamatan, Zakaria berkata antara ciri keselamatan yang ditambah baik termasuk hologram dipertingkatkan, cetakan ultraviolet atau UV, elemen visual tersembunyi serta beberapa ciri forensik khas.

Malah, benang yang digunakan untuk menjilid buku pasport juga mempunyai elemen keselamatan tersendiri dan setiap halaman turut direka dengan ciri berbeza bagi meningkatkan tahap keselamatan secara menyeluruh.

Adakah Pasport Lama Anda Masih Boleh Digunakan?
Pasport lama masih boleh digunakan selagi belum tamat tempoh. (Foto: Human Resources Online)

Walaupun pasport baharu mula diperkenalkan, orang ramai dipesan tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport sedia ada.

Zakaria menjelaskan bahawa pasport lama masih sah digunakan selagi masih berada dalam tempoh sah laku.

Jika pasport masih mempunyai baki sah laku lebih enam bulan, pemilik tidak perlu memperbaharuinya semata-mata kerana mahu mendapatkan versi baharu.

Sebaliknya, pembaharuan boleh dibuat apabila pasport hampir tamat tempoh.

Jangan Guna Gambar Ai Untuk Permohonan Pasport
Untuk permohonan pasport sila ikut peraturan yang sudah ditetapkan. (Foto: Pexels)

Umum mengetahui permohonan pasport baharu boleh dibuat secara dalam talian, bergantung kepada kapasiti pejabat pasport masing-masing.

Namun, Zakaria mengingatkan orang supaya menggunakan gambar yang tulen dan tidak diubah menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, pihak Imigresen pernah mengesan beberapa kes pemohon menggunakan AI untuk memperbaiki gambar seperti mencerahkan imej atau menambah baik penampilan.

Beliau menegaskan pegawai Imigresen mempunyai kepakaran untuk mengesan gambar yang dijana atau diubah menggunakan AI.

Pasport Malaysia Antara Paling Kuat Di Dunia, Berada Di Nombor 3

Penambahbaikan ini juga hadir ketika pasport negara berada pada kedudukan kukuh di peringkat global.

Berdasarkan Passport Index, pasport Malaysia berada di tangga ketiga dunia dengan akses bebas visa ke 174 negara.

Kedudukan ini meletakkan Malaysia sebaris dengan beberapa negara lain seperti Belgium, Perancis, Jerman, Itali, Switzerland, Korea Selatan dan beberapa negara Eropah lain.

Dalam kata lain, ciri keselamatan ini bukan sahaja penting untuk mengurangkan risiko pemalsuan, tetapi juga bagi memastikan pasport Malaysia kekal dipercayai sebagai dokumen perjalanan antarabangsa.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Kongsi Langkah Yang Perlu Dilakukan Jika Hilang Pasport Di Luar Negara

Baca Artikel Berkaitan: Penumpang Bas Ke Singapura Tak Perlu Pamer Pasport Bermula 16 Disember 2024


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd