Now Reading
Ini Senarai Ibadah Sunat Sepanjang 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah

Ini Senarai Ibadah Sunat Sepanjang 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah

Salah satu ibadah yang amat disunatkan ketika bulan Zulhijjah adalah mula bertakbir pada malam Hari Raya Korban sehinggalah solat sunat hari raya ditunaikan pada keesokan harinya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umat Islam kini sudah tiba di bulan Zulhijjah dan bakal menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Merupakan salah satu bulan haram, Maktabah Al-Bakri menjelaskan bahawa pahala dalam bulan Zulhijjah akan digandakan dari segi kuantiti, manakala doa juga turut digandakan.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama meningkatkan amalan soleh dan meninggalkan laranganNya di sepanjang bulan ini.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Dosa Dilipatgandakan Jika Buat Di Bulan Haram? Ini Pencerahannya

Checklist Ibadah Di 10 Hari Pertama Bulan Zulhijjah

10 hari pertama bulan Zulhijjah sememangnya amat istimewa. Ini adalah seperti sabda Rasulullah SAW dalam hadis daripada Ibnu Abbas R.A:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini (iaitu 10 hari terawal bulan Zulhijjah).

Riwayat al-Bukhari (969)

Umat Islam boleh mengambil peluang di sepanjang bulan Zulhijjah bagi menunaikan pelbagai ibadah yang disunatkan.

Memperbanyakkan Ibadah Pada 1-9 Zulhijjah

Menjadi salah satu ibadah yang amat dititikberatkan terutamanya pada sembilan hari pertama Zulhijjah, umat Islam digalakkan agar berpuasa sunat.

Buat tahun ini, umat Islam sunat berpuasa dari 18 hingga 26 Mei, iaitu sehari sebelum Hari Raya Korban.

Dalam masa sama, perbanyakkan amal soleh termasuk berzikir, bersedekah, solat sunat dan membaca al-Quran.

Foto: Pexels
Puasa Sunat & Berdoa Pada Hari Arafah

Menurut penceramah Ustaz Wadi Annuar, mereka yang berpuasa pada Hari Arafah, iaitu 9 Zulhijjah (26 Mei) akan diampunkan dosa-dosa kecil bagi setahun lalu dan setahun akan datang.

Selain itu, perbanyakkan juga berdoa pada hari ini kerana pintu langit sedang dibuka seluas-luasnya dan insha-Allah doa tersebut akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Tidak Memotong Kuku & Bulu Bagi Yang Ingin Berkorban

Setibanya di bulan Zulhijjah, mereka yang memasang niat untuk menjalankan ibadah korban dimakruhkan memotong kuku dan bulu.

Larangan ini berterusan sehinggalah mereka menunaikan ibadah korban sama ada pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.

Namun larangan ini tidak dikenakan kepada mereka yang tidak merancang untuk berkorban pada tahun ini.

Solat Sunat Hari Raya Aidiladha

Hanya terdapat dua kali solat sunat hari raya dalam setahun, oleh itu jangan lepaskan peluang untuk menunaikan solat sunat bagi Hari Raya Haji kali ini.

Pada hari ini juga ibadah korban akan bermula bagi mereka yang menunaikannya sehinggalah sebelum terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.

Diingatkan juga bahawa umat Islam diharamkan berpuasa pada 10 Zulhijjah (Hari Raya Haji) dan 11-13 Zulhijjah (Hari Tasyrik).

Sumber: Ustaz Wadi Annuar

Baca Artikel Berkaitan: Berniat Untuk Lakukan Ibadah Korban? Ini Antara Perkara Sunat Yang Dianjurkan Dalam Islam

Bertakbir Selepas Solat Fardu Pada 9-13 Zulhijjah

Bertakbir merupakan antara ibadah yang amat sinonim dengan Hari Raya Aidiladha.

Umat Islam disunatkan bertakbir (Takbir Mursal) sepanjang masa selepas tenggelamnya matahari pada malam sebelum Hari Raya sehinggalah takbiratul ihram solat sunat hari raya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, tetapi umat Islam yang tidak menunaikan haji juga disunatkan melakukan Takbir Muqayyad, iaitu takbir yang dilaksanakan setiap kali selepas solat fardu dari subuh 9 Zulhijjah hingga asar 13 Zulhijjah.

Amalkan 3 Doa Ini Sepanjang Bulan Zulhijjah

Memandangkan bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang penuh keistimewaan, umat Islam digalakkan agar memperbanyakkan doa.

Seperti yang dikongsikan seorang individu menerusi hantaran di Threads (@jazlanharithjulainai), berikut antara doa yang boleh diamalkan.

1) Doa Memohon Husnul Khatimah (Pengakhiran yang Baik)

Husnul khatimah bermakna pengakhiran yang baik. Buat umat Islam, pengakhiran yang baik adalah amat penting kerana boleh menjadi penentu di akhirat kelak.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُسْنَ الْخَاتِمَةِ

Allahumma inni as’aluka husnal khatimah

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu pengakhiran hidup yang baik.”

2) Doa Diberi Keteguhan Agama

Katanya, ini merupakan doa yang paling kerap dibaca oleh Rasulullah SAW, iaitu agar hati teguh dengan agama Islam

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Ya Muqallibal qulub, thabbit qalbi ‘ala dinik

Maksudnya: “Wahai Yang Membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

3) Doa Memohon ‘Afiyah

Doa ini bertujuan untuk meminta keampunan atas segala kesalahan yang pernah dilakukan dan kesejahteraan, termasuk keselamatan dan perlindungan.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Allahumma inni as’aluka al-‘afwa wal-‘afiyah fid-dunya wal-akhirah

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon keampunan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.”

View on Threads

Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Niat Akikah Anak Digabung Dengan Ibadah Korban?

Baca Artikel Berkaitan: Lebih Afdal Korbankan Seekor Kambing Atau Satu Bahagian Lembu? Ini Penjelasannya

Baca Artikel Berkaitan: 3 Perkara Yang Tidak Boleh Dilakukan Semasa Ibadah Qurban


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd