Carian Perjalanan Bertemakan Anime Di Malaysia Meningkat 121 Peratus!
Daripada cosplay ke destinasi anime, trend “Anime Tourism” kini dilihat semakin berkembang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Daripada penginapan bertemakan anime hingga ke konvensyen antarabangsa, semakin ramai peminat kini tertarik dengan fenomena dikenali sebagai “anime tourism” atau seichi junrei.
Trend tersebut dilihat mendorong peningkatan permintaan terhadap pelancongan dan perjalanan berkaitan anime di seluruh Asia, termasuk Malaysia.
Data terkini daripada Trip.com menunjukkan carian berkaitan pengalaman perjalanan bertemakan anime dan komik oleh rakyat Malaysia meningkat sebanyak 121 peratus tahun ke tahun.

Perkembangan itu memperlihatkan bagaimana budaya anime kini semakin mempengaruhi corak perjalanan serta pilihan destinasi pelancongan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia Antara Penyumbang Utama Festival Anime Antarabangsa
Peningkatan minat tersebut jelas dilihat menerusi penyertaan rakyat Malaysia dalam beberapa acara anime terbesar di rantau ini.
Berdasarkan data jualan tiket, Malaysia tersenarai dalam 10 pasaran teratas yang menyumbang kepada jualan tiket bagi AnimeJapan 2026 dan edisi pertama Comic Con Hong Kong 2026.
Di peringkat global pula, jualan tiket antarabangsa AnimeJapan 2026 mencatat lonjakan sebanyak 697 peratus tahun ke tahun menerusi kerjasama eksklusif Trip.com sebagai rakan jualan tiket luar negara.
Festival anime yang dianggap antara terbesar di dunia itu berjaya menarik pengunjung dari 82 negara dan wilayah.
Golongan Generasi Z dan Milenial dilihat mendominasi pembelian tiket, dengan majoriti pembeli berusia antara 25 hingga 34 tahun.
Sementara itu, Comic Con Hong Kong 2026 turut menerima sambutan memberangsangkan daripada peminat antarabangsa, khususnya dari China dan Asia Tenggara.
Menariknya, lebih 80 peratus pembeli tiket acara tersebut terdiri daripada wanita, sekali gus menunjukkan peningkatan pengaruh budaya anime dalam kalangan peminat wanita.
Anime Fest+ 2026 Tarik Peminat Tempatan Dan Antarabangsa
Di Malaysia, acara anime tempatan juga terus berkembang dan mendapat perhatian ramai.
Anime Fest+ 2026 yang berlangsung baru-baru ini menampilkan gabungan persembahan antarabangsa dan tempatan termasuk kehadiran cosplayer popular dari China, VTuber dari Indonesia serta penggiat industri dari Jepun.
Festival tersebut berlangsung di Sunway Pyramid Convention Centre.
Menurut data Trip.com, tempahan hotel dalam radius tiga kilometer dari lokasi acara meningkat sebanyak 36 peratus sepanjang hujung minggu festival berlangsung berbanding tahun sebelumnya.

Tempahan antarabangsa pula banyak dibuat oleh pengunjung dari China, Singapura, Hong Kong dan Indonesia.
Malaysia turut tersenarai dalam lima pasaran utama bagi tempahan penginapan sepanjang acara tersebut.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa peminat anime kini sanggup melakukan perjalanan merentasi negara demi menghadiri festival dan konvensyen berkaitan budaya pop Jepun.
Pengalaman Anime Kini Jadi Sebahagian Daripada Pelancongan
Pengaruh budaya anime kini bukan lagi sekadar tertumpu kepada acara atau konvensyen semata-mata.
Sebaliknya, peminat kini mencari pengalaman lebih imersif yang merangkumi penginapan, aktiviti serta lokasi bertemakan anime.
Antara contoh menarik ialah penginapan glamping bertema di The Farm yang menawarkan pengalaman diinspirasikan daripada siri anime popular Frieren: Beyond Journey’s End.
Kawasan tersebut lengkap dengan ruang bergambar dan monumen yang menghidupkan semula babak ikonik daripada siri berkenaan.
Selain itu, Universal Studios Japan turut memperluaskan pengalaman anime menerusi kerjasama bersama beberapa francais popular termasuk Frieren dan Detective Conan.
Trip.com juga menawarkan pakej lawatan khas untuk peminat meneroka lokasi anime terkenal seperti lawatan ke lokasi Slam Dunk dan bandar Kamakura.
Budaya Anime Kini Jadi Gerakan Global

Walaupun hiburan terus menjadi faktor utama dalam menentukan destinasi pelancongan, budaya anime kini berkembang menjadi satu gerakan global yang melangkaui konsep pelancongan biasa.
Ia bukan sahaja membentuk trend perjalanan, malah mewujudkan komuniti peminat antarabangsa yang berkongsi minat sama tanpa mengira sempadan negara.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.