Automechanika KL 2026 Buka Peluang Baharu Industri Automotif & EV Malaysia
Berteraskan konsep Sourcing, Entertainment dan Training, AMKL 2026 turut memperlihatkan perubahan daripada sekadar pameran transaksi kepada platform kerjasama strategik rentas sempadan dan industri.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ketika elektrifikasi terus mengubah landskap automotif serantau, Malaysia kini semakin menonjol sebagai pusat pertemuan utama bagi fasa pertumbuhan mobiliti baharu ASEAN menerusi penganjuran Automechanika Kuala Lumpur (AMKL) 2026.
Pameran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menghimpunkan lebih 317 pempamer dari 16 negara dan rantau merentasi enam dewan pameran.
Seiring perubahan rantaian bekalan global, pertumbuhan kenderaan elektrik (EV) serta industri aftermarket yang semakin kompleks, edisi ke-15 Automechanika Kuala Lumpur bukan sekadar acara perdagangan, malah menjadi platform strategik yang membentuk hala tuju mobiliti Asia Tenggara.
Kerajaan Percepat Agenda EV Negara
Acara tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Hasbi Habibollah dengan tema “mewujudkan sinergi perniagaan apabila penyelesaian mobiliti automotif bertemu OEM dan aftermarket”.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempercepat pembangunan infrastruktur EV dan agenda pengangkutan masa depan negara.
Berteraskan konsep Sourcing, Entertainment dan Training, AMKL 2026 turut memperlihatkan perubahan daripada sekadar pameran transaksi kepada platform kerjasama strategik rentas sempadan dan industri.
Malaysia juga dilihat berada pada titik perubahan penting apabila berjaya mengatasi Indonesia sebagai pasaran kereta terbesar ASEAN bagi separuh pertama tahun 2025, dengan Perodua dan Proton menyumbang 63% daripada jumlah jualan keseluruhan.
Malaysia Kini Semakin Diberi Perhatian Global
Pengurus Besar Messe Frankfurt (HK) Ltd, Fiona Chiew berkata, Malaysia kini bukan lagi sekadar peserta dalam pertumbuhan industri automotif ASEAN, malah semakin memainkan peranan penting dalam membentuk masa depannya.
“Automechanika Kuala Lumpur telah berubah daripada pameran perdagangan biasa kepada platform strategik yang menghubungkan kerjasama rentas industri dan sempadan.
“Malaysia kini menjadi titik pertemuan penting bagi perbincangan ini hasil dasar yang dirancang, pertumbuhan pasaran serta kesiapsiagaan industri tempatan untuk memimpin,” katanya.
Antara syarikat yang mengambil bahagian termasuk Brembo, Kovax, Schmaco, Vanli, Launch, TUHU Car Care, TecAlliance dan Leoch Battery.
Fokus Kepada EV, AI dan Mobiliti Pintar

Di ruang pameran, Zon Penyelesaian Mobiliti Automotif menjadi tumpuan dengan fokus terhadap elektrifikasi, pelaburan mobiliti hijau, pembuatan pintar serta rantaian bekalan digital.
Ia mencerminkan hakikat bahawa gelombang EV dan pendigitalan bukan lagi sekadar ramalan masa depan, tetapi sudah mula mengubah cara kenderaan dihasilkan, diselenggara dan dijual di rantau ini.
Penyertaan lebih meluas dalam kategori alat ganti dan komponen, elektrik dan elektronik, diagnostik dan pembaikan, serta body and paint di Dewan 1 hingga 6 turut mengukuhkan perkembangan tersebut.
Selain itu, Persidangan Automotive Mobility Solutions menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar dan pakar teknologi untuk membincangkan perubahan besar yang sedang membentuk sektor automotif.
Antara topik utama termasuk peralihan kepada EV dan kenderaan autonomi, rantaian bekalan digital, pembuatan lestari dan pematuhan ESG.
Persidangan itu juga menjadi platform praktikal bagi syarikat mempelajari penggunaan teknologi seperti AI dan IoT dalam operasi masing-masing selain membina jaringan kerjasama melibatkan sektor peraturan, kewangan, logistik dan penyelidikan.
Industri Aftermarket Turut Berubah
Dalam masa sama, Automotive Service Marketplace pula mengetengahkan transformasi sektor aftermarket menerusi penyertaan pakar detailing, bengkel body and paint, bengkel rangkaian dan penyedia servis e-dagang di bawah satu bumbung.
Ia memperlihatkan bagaimana bengkel bebas kini semakin profesional selain peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja mahir dalam penyelenggaraan EV dan hibrid.
Bagi menangani jurang kemahiran tersebut, Collision Repair Training Workshop turut diadakan dengan demonstrasi secara langsung, sekali gus menekankan kepentingan pembangunan bakat seiring inovasi produk.
autoFEST@KL Meriahkan Budaya Automotif
Di luar ruang perdagangan, autoFEST@KL menambah kemeriahan acara menerusi gabungan budaya automotif dan hiburan seperti Music Party, pameran kereta klasik dan JDM, pertandingan motorsport dan e-sukan, pertandingan audio serta modifikasi kereta EMMA Malaysia, selain zon outdoor, perkhemahan dan karavan.
Menurut Fiona lagi, selepas 15 edisi dianjurkan, Automechanika Kuala Lumpur kini bukan lagi sekadar mencerminkan kedudukan semasa industri automotif, tetapi memberi gambaran hala tuju masa depannya.
“Perbincangan yang berlaku di sini antara pengeluar global, pemain tempatan, pembuat dasar dan penyedia teknologi baharu bakal menentukan landskap mobiliti ASEAN untuk dekad akan datang,” katanya.
Seiring ASEAN mempercepat peralihan ke arah elektrifikasi dan mobiliti pintar, Malaysia kini semakin dilihat bukan sekadar sebagai peserta industri, tetapi pusat utama pertumbuhan automotif serantau.
[Automechanika Kuala Lumpur]Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.