Now Reading
Kenapa Ada Ayat Doa Qunut Yang Imam Baca Perlahan? Ini Penjelasannya

Kenapa Ada Ayat Doa Qunut Yang Imam Baca Perlahan? Ini Penjelasannya

Doa qunut mengandungi ayat-ayat yang berbentuk permohonan kepada Allah SWT serta pujian terhadap kebesaranNya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Membaca doa qunut ketika solat Subuh merupakan suatu sunat muakkad mengikut mazhab Syafie.

Doa qunut turut dibacakan ketika rakaat terakhir solat sunat Witir, yang selalu dilakukan di masjid sebagai penutup kepada solat sunat Terawih.

Pasti ada yang perasan, terdapat bacaan pada ayat-ayat tertentu doa qunut yang diucapkan secara perlahan oleh imam walaupun ketika berjemaah. Namun apa maksudnya?

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Situasi Jika Makmum Tersujud Ketika Imam Baca Doa Qunut Sering Terjadi, Ini Cara Untuk Anda Perbaiki

Doa Qunut Merangkumi Permohonan & Pujian Kepada Allah SWT

Sebenarnya, sebab utama terdapat bahagian doa qunut yang dibaca perlahan adalah kerana perbezaan struktur ayat.

Menurut sumber, doa qunut boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

  • Permohonan atau permintaan kepada Allah SWT
  • Pujian dan pengakuan terhadap keagungan Allah SWT

Bahagian Doa Qunut Dibaca Kuat

Bahagian permohonan yang dikenali sebagai tadharru’ akan dibaca dengan kuat oleh imam agar para makmum dapat mendengar dan sama-sama mengaminkannya. Sama seperti apabila imam membacakan doa-doa lain.

Bahagian doa qunut ini merangkumi ayat pertama hingga kelima seperti di bawah.

اللهمَّ اهدِنا فيمَن هدَيت
Maksudnya: “Ya Allah tunjukkanlah kami sebagaimana orang yang Engkau berikan petunjuk

وعافِنا فيمَن عافيت
Maksudnya: “Dan sejahterakanlah kami sebagaimana orang yang Engkau sejahterakan

وتولَّنا فيمَن تولَّيت
Maksudnya: “Pimpinlah kami sebagaimana orang yang telah Engkau pimpin

وباركْ لنا فيما أعطيت
Maksudnya: “Dan berkatilah hendaknya untuk kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku

وقِنا شرَّ ما قضيت
Maksudnya: “Jauhkanlah dari kami sebarang kejahatan/ takdir buruk yang Engkau tentukan (untuk hari ini)

Bahagian Doa Qunut Dibaca Perlahan

Bahagian pujian dan pengakuan terhadap Allah SWT pula dikenali sebagai Thana’ yang merangkumi ayat keenam hingga 10.

Ayat-ayat di bawah merupakan satu kenyataan kebenaran dan bukanlah permintaan kepada Allah SWT untuk dikabulkan.

ﻓﺈنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ
Maksudnya: “Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan dan tidak sesiapa pun yang berkausa menetapkan sesuatu selain dariapda Engkau

وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu

وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ
Maksudnya: “Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi

تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ
Maksudnya: “Telah memberi berkat Engkau, oh Tuhan

فَلَكَ الْحَمْدٌ عَلى ما قَضَيتَ
Maksudnya: “Dan Maha Tinggi Engkau, Maka bagi Engkaulah segala pujian terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan

Penghujung Doa Qunut Dibaca Kuat Semula

Selepas lima ayat di atas dibaca dengan perlahan, imam akan menghabiskan doa qunut dengan membacanya secara kuat.

Kebiasaannya imam akan membaca dua ayat di bawah sebagai penutup doa qunut. Ayat-ayat ini akan diaminkan oleh para jemaah kerana merupakan doa dan permintaan.

وَأَسْتَغْفِرُكَ وَأََتُوبُ إِلَيْكَ
Maksudnya: “Aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau

وَصلَّى اللهُ عَلىَ سَيًّدًنَا مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الأُمِّيِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya: “Dan semoga Allah mencurahkan rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarganya dan sahabat-sahabatnya

Imam Disunatkan Baca Keseluruhan Doa Qunut Dengan Kuat

Walaupun terdapat imam yang membacakan lima ayat di atas dengan perlahan, namun pendapat yang kuat dalam mazhab Syafie adalah membaca keseluruhan doa qunut dengan suara kuat.

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam penulisannya, hal ini seperti disebut oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’.

Menurut Imam al-Nawawi, pendapat yang sahih adalah disunatkan (mustahab) doa qunut dibaca dengan kuat.

“Sesunggungnya imam menguatkan bacaan pada doa qunut dan Makmum pula mengaminkan doa tersebut, dan begitu juga dengan membaca pujian (dibaca dengan kuat). Jika makmum tidak mendengar bacaan imam, barulah makmum membaca qunut,” katanya.

Namun tiada masalah sekiranya terdapat imam yang ingin menguatkan bacaannya pada sebahagian doa qunut, dan memperlahankan suaranya pada bahagian pujian, memandangkan ia masih merupakan pendapat minoriti mengikut mazhab Syafie.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd