Tak Hamil Selepas 6 Bulan Kahwin? Pakar Saran Buat Saringan Kesuburan
Satu daripada enam pasangan di Malaysia masih berdepan masalah susah hamil.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Masalah kesuburan bukan hanya berlaku dalam kalangan pasangan berusia lewat 30-an atau 40-an.
Menurut pengamal perubatan Klinik Ayra, Dr Nurainie Sayutti, terdapat juga pasangan seawal usia 20-an yang kini mendapatkan rawatan kesuburan.
Dalam sehari, beliau berkata sekitar 10 pesakit ginekologi mendapatkan rawatan, termasuk lima daripadanya yang hadir ke klinik bagi mendapatkan rawatan berkaitan kesuburan.
Baca Artikel Berkaitan: “Pilihan Sendiri, Tak Perlu Persoal” – Trend ‘Child-free’ Sihat Atau Tidak? | TRP
Wanita 35 Tahun Ke Atas Digalakkan Buat Saringan
Menurut Dr Nurainie, wanita yang sudah berusia 35 tahun ke atas dan telah berkahwin lebih enam bulan digalakkan membuat saringan sekiranya masih belum hamil.
Saranan ini terpakai kepada pasangan tidak berada dalam hubungan jarak jauh.
Beliau turut menasihatkan wanita agar tidak menangguhkan rawatan, kerana pemeriksaan awal dapat membantu mengenal pasti punca sebenar masalah kesuburan.
Difahamkan, kos saringan di sesetengah klinik boleh mencecah sekitar RM500, manakala keputusan pemeriksaan hanya sah untuk tempoh setahun.
Faktor Seperti Gaya Hidup Tidak Sihat Boleh Menjejaskan Kesuburan

Umum mengetahui gaya hidup memainkan peranan penting dalam kesuburan wanita.
Pemakanan tidak seimbang dan obesiti boleh menyumbang kepada masalah ketidakseimbangan hormon, menurut Dr Nurainie.
Keadaan ini juga boleh meningkatkan risiko sindrom ovari polisistik atau PCOS, yang boleh menjejaskan proses ovulasi.
Malah, terdapat pesakit yang berjaya hamil selepas menurunkan berat badan tanpa sempat menjalani rawatan kesuburan.
Masih Ramai Tidak Faham Kitaran Haid & Waktu Subur
Dr Nurainie turut menekan kepentingan mengetahui kitaran haid dan ovulasi dalam kalangan wanita.
Jelasnya, kitaran hormon wanita biasanya berlangsung sekitar 28 hari. Waktu subur pula berada pada pertengahan kitaran, iaitu sekitar hari ke-13 hingga ke-15, apabila telur dilepaskan dan bersedia untuk disenyawakan.
Jika kitaran haid tidak stabil, terlalu panjang atau seseorang tidak tahu waktu suburnya, perancangan kehamilan boleh menjadi lebih sukar.
Penyakit Kronik Pun Boleh Memberi Kesan Tau

Penyakit kronik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi juga boleh memberi kesan kepada sistem kesuburan wanita.
Selain itu, rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi dan faktor peningkatan usia turut boleh menjejaskan kesuburan.
Oleh itu, bagi pasangan yang memerlukan bantuan. Dr Nurainie mencadangkan rawatan seperti pemantauan waktu subur, panduan hubungan intim, rawatan Inseminasi Intrauterin (IUI) atau Persenyawaan Dalam Vitro (IVF).
Kadar keberhasilan untuk hamil bagi kaedah IUI sekitar 10% hingga 20%, manakala IVF pula sekitar 40% hingga 50%.
Masalah Kesuburan Bukan Tertumpu Kepada Wanita Sahaja, Lelaki Pun Terjejas Juga
Pegawai Perubatan Pusat Kepakaran Subfertiliti LPPKN, Dr Ahmad Zaki Asraf, berkata masalah kesuburan lelaki menyumbang hampir separuh daripada punca pasangan sukar mendapat zuriat.
Berdasarkan data antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lelaki menyumbang kira-kira 45% kepada masalah kesuburan pasangan.
Bagi lelaki secara umumnya melibatkan dua komponen utama, iaitu aspek seksual dan kualiti sperma.
Lelaki Perlu Periksa Kualiti Sperma

Menurut Dr Ahmad Zaki, analisis sperma yang dijalankan di LPPKN menunjukkan kira-kira 60% sampel sperma lelaki didapati tidak normal.
Ini kerana tiga aspek utama diambil kira iaitu bilangan sperma, pergerakan dan bentuknya.
Dr Ahmad Zaki menjelaskan, bilangan sperma yang sihat sepatutnya melebihi 15 juta bagi setiap mililiter, pergerakan aktif ke hadapan melebihi 32%, dan sekurang-kurangnya 4% mempunyai bentuk normal.
Kegagalan memenuhi mana-mana kriteria itu boleh menjejaskan peluang kehamilan secara semula jadi.
Pemeriksaan Kesuburan Perlu Melibatkan Kedua-dua Suami & Isteri
Menurut laporan Astro Awani, satu daripada enam pasangan di Malaysia masih berdepan masalah kesuburan.
Justeru itu, masalah susah hamil tidak wajar dilihat sebagai isu wanita semata-mata.
Pemeriksaan awal untuk kedua-dua suami isteri dapat membantu mengenal pasti punca sebenar masalah ini. Sama ada berkait dengan ovulasi, hormon, kualiti sperma, masalah seksual atau faktor lain.
Paling penting, sila rujuk dan dapatkan nasihat profesional dan janganlah bergantung nasihat dari media sosial atau kecerdasan buatan (AI) semata-mata.
Ini kerana setiap pasangan adalah berbeza-beza dan pakar profesional dapat bantu memilih rawatan yang lebih sesuai dan selamat.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kenapa Semakin Ramai Sembunyikan Wajah Anak? Ini Penjelasan PU Riz
Baca Artikel Berkaitan: Anak Kecil Buat Salah? Ini Cara Tegur Mereka Dengan Pendekatan Lembut | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



