Nak Kurangkan Bayaran Cukai? Ini Cara Dapatkan Tax Relief Melalui Sumbangan
Orang ramai boleh mendapatkan potongan cukai menerusi pemberian derma atau hadiah, namun terhad kepada 10% daripada pendapatan agregat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap tahun, individu yang mempunyai pendapatan yang layak dikenakan cukai, wajib membuat pemfailan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagi mengurangkan jumlah cukai yang dikenakan, mereka boleh melakukan pelbagai perbelanjaan yang dibenarkan oleh LHDN.
Namun kadangkala bingung juga apa lagi yang mahu dibelanjakan. Sudah macam-macam barang yang dibeli dan bayaran dibuat, tetapi masih tinggi jumlah cukai yang dikenakan.
Baca Artikel Berkaitan: Masih Ada Yang Keliru, Ini Jumlah Gaji Bulanan Yang Layak Dikenakan Cukai Pendapatan
Baca Artikel Berkaitan: Dah Potong PCB Tapi Tak Fail Cukai Pendapatan? Anda Mungkin Berdepan Potongan CP38 [Video]
Boleh Dapatkan Potongan Cukai Dengan Lakukan Sumbangan Kepada Fasiliti Kesihatan
Sebenarnya ada pelbagai perbelanjaan yang layak mendapat pengecualian cukai. Seperti baru-baru ini, seorang pengguna Threads (@oli301198) telah berkongsi bagaimana orang ramai boleh mendapatkan potongan cukai dengan membuat sumbangan.
Katanya, dia membayar jumlah cukai yang tinggi memandangkan pendapatannya telah memasuki kadar cukai 25%.
Keadaan ini membuatkan dia mempelajari cara untuk mendapatkan tuntutan semula cukai lebih tinggi walaupun mustahil untuk mendapatkan 100% pulangan, iaitu dengan melakukan sumbangan.
Sumbangan yang dilakukan olehnya adalah dalam bentuk wang atau peralatan perubatan kepada mana-mana fasiliti kesihatan yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, antara peralatan yang boleh dibeli ialah kerusi roda dan katil pesakit untuk disumbangkan kepada hospital atau Klinik Kesihatan (KK).
“Tahun lepas saya beli kerusi roda dan hantar ke Hospital Putrajaya. Sambil nak kejar pahala boleh la juga kurangkan (bayaran) cukai kita,” katanya.
Dalam masa sama, dia turut berkongsi surat rasmi yang diterima dari pihak hospital bagi mengesahkan pemberian peralatan.
Sumbangan Kebajikan Juga Diterima, Tetapi Pastikan Berdaftar Dengan LHDN
Selain pemberian wang atau peralatan kepada institusi kesihatan, anda juga boleh membuat sumbangan bagi kebajikan, termasuk pembinaan masjid atau rumah kebajikan.
Namun dia meningatkan orang ramai agar memastikan segala projek tersebut berdaftar dengan LHDN akan resit yang diterima sah untuk diaudit.
Tambahnya lagi, di bawah kategori sumbangan, seseorang hanya boleh mendapatkan tuntutan cukai hanya sehingga 10% daripada pendapatan agregat.
View on Threads
Sumbangan Ke Sekolah Juga Layak Mendapat Potongan Cukai
Di ruangan komen, orang ramai turut berkongsi sumbangan lain yang boleh dilakukan bagi mendapatkan pengecualian cukai.
Menurut seorang individu, dia melakukan sumbangan dalam bentuk barangan kepada sekolah anaknya.
“Water dispenser, penyaman udara, kerusi. Apa-apa yang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) nak. Semua tu buat tuntutan cukai,” katanya.
Namun dia mengingatkan sumbangan yang dibuat bagi tujuan potongan cukai tidaklah termasuk bayaran PIBG tahunan.
Seorang wanita pula berkata dia membuat bayaran wakaf menerusi laman web Wakaf Wilayah Persekutuan yang layak mendapat potongan cukai.
Ada juga yang berkongsi perbelanjaan selain sumbangan yang boleh dilakukan bagi meningkatkan potongan cukai, iaitu menerusi perbelanjaan pemasangan tempat cas kenderaan elektrik.
Katanya, potongan cukai bagi tahun ini juga boleh dibuat bagi pemasangan mesin kompos sisa makanan dan kamera litar tertutup (CCTV).



Lain-Lain Sumbangan Yang Dibenarkan Bagi Potongan Cukai
Selain yang dikongsikan di atas, sebenarnya terdapat banyak lagi jenis sumbangan yang boleh dilakukan bagi tujuan potongan cukai.
Berdasarkan laman web LHDN, berikut merupakan jenis-jenis derma atau hadiah yang dibenarkan.
- Derma/ hadiah wang kepada Kerajaan/Kerajaan Tempatan.
- Derma/ hadiah wang kepada institusi/organisasi yang diluluskan, dengan amaun terhad kepada 10% daripada pendapatan agregat.
- Derma/ hadiah wang atau kos sumbangan manfaat kepada aktiviti sukan atau Badan Sukan yang diluluskan, dengan amaun terhad kepada 10% daripada pendapatan agregat.
- Derma/ hadiah wang atau kos sumbangan manfaat kepada projek berkepentingan Negara yang diluluskan, dengan amaun terhad kepada 10% daripada pendapatan agregat.
- Hadiah artifak, manuskrip atau lukisan.
- Derma/ hadiah wang untuk kemudahan perpustakaan atau kepada perpustakaan.
- Derma/ hadiah wang atau sumbangan manfaat bagi menyediakan kemudahan di tempat awam untuk orang yang kurang upaya.
- Derma/ hadiah wang atau kos peralatan perubatan kepada mana-mana badan rawatan kesihatan.
- Hadiah lukisan kepada Balai Seni Lukis Negara atau Balai Seni Lukis Negeri.
Baca Artikel Berkaitan: Guru Kongsi Cara Mohon Potongan Cukai LHDN Bagi Sumbangan Kepada Sekolah
Baca Artikel Berkaitan: Ini 4 Sebab Kenapa Anda Akan Dihubungi LHDNM Walaupun Dah Buat e-Filing
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



