Kereta Anda Terperangkap Dalam Banjir? Jangan Cuba Hidupkan Enjin! Sebaliknya Lakukan Perkara Ini
Banjir kilat boleh berlaku bila-bila masa, utamakan keselamatan kita dahulu.
Lapan kenderaan dilaporkan terperangkap dalam kejadian banjir kilat di tiga lokasi berbeza sekitar Kuala Lumpur susulan hujan lebat petang semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.
Kejadian banjir dilaporkan berlaku di Jalan Awan Kecil, Taman OUG, Jalan Kuchai Lama menghala Jalan Klang Lama dan Terowong Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menghala Sri Petaling.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kereta Ditinggalkan Berbulan-bulan Di Kawasan Parkir Awam, Lelaki Minta Tindakan Diambil | TRP
Kereta Boleh ‘Total Loss’ Jika Terperangkap Dalam Banjir, Bahaya Tau!

Umum mengetahui, banjir kilat bukan sahaja menyebabkan perjalanan tergendala.
Malah, kereta kesayangan kita akan rosak apabila air mula masuk ke ruang enjin, sistem elektrik atau bahagian dalaman kereta yang akan menyebabkan kos baik pulih mencecah ribuan ringgit.
Tambahan pula, kereta akan diisytiharkan sebagai total loss sekiranya kos baik pulih melebihi nilai pasaran semasa kereta.
Sebagai contoh, jika nilai pasaran kereta sekitar RM50,000 tetapi kos baik pulih mencecah RM60,000. Syarikat insurans boleh mengisytiharkan kereta tersebut sebagai total loss.
Purata Taburan Hujan Di Malaysia Meningkat Dalam Tempoh Beberapa Dekad

Risiko banjir kilat wajar diberi perhatian kerana negara kita menerima kadar hujan yang tinggi sepanjang tahun.
Menurut laporan Bank Negara Malaysia, purata hujan tahunan negara adalah sekitar 3,085.5 milimeter.
Tambahan pula, negara kita menghadapi dua musim monsun utama, iaitu Monsun Barat Daya antara Mei hingga September dan Monsun Timur Laut antara November hingga Mac.
Dalam laporan ini menunjukkan purata taburan hujan negara meningkat dalam tempoh beberapa dekad, daripada 2,698 mm setahun bagi tempoh 1951 hingga 1980 kepada 2,887 mm bagi tempoh 1991 sehingga 2020.
Jika Kereta Terperangkap Dalam Banjir Kilat, Lakukan Perkara Ini!

Pertama sekali anda perlu mengutamakan keselamatan diri sendiri. Jangan berani cuba redah air walaupun kelihatan tidak dalam.
Tunggu sehingga air surut sebelum memeriksa keadaan kereta anda dan jangan cuba sesekali untuk hidupkan enjin anda.
Ini kerana dikhuatiri air sudah masuk ke dalam enjin atau sistem elektrik. Tindakan menghidupkan enjin boleh menyebabkan kerosakan menjadi lebih teruk.
Lebih teruk, kerosakan ini boleh dianggap berlaku akibat kecuaian pemilik. Seterusnya:
- Ambil gambar dan video kereta daripada pelbagai sudut (depan, belakang, sisi, luar dan dalam). Pastikan nombor plat, ruang dalam, enjin dan kawasan sekeliling dapat dilihat.
- Hubungi syarikat insurans melalui talian kecemasan.
- Maklumkan lokasi kejadian, keadaan kenderaan dan tahap kerosakan yang dapat dilihat.
- Tunggu perkhidmatan tunda untuk bawa kereta ke bengkel panel.
Jangan Lupa Untuk Buat Laporan Polis & Semak Polisi Insurans Anda
Walaupun kerosakan yang berlaku akibat bencan alam, laporan polis masih diperlukan. Anda perlu nyatakan:
- Tarikh
- Masa
- Lokasi
- Kejadian
- Punca kerosakan yang jelas
Elakkan membaiki kereta sebelum pihak insurans membuat penilaian. Sediakan dokumen laporan polis, salinan lesen memandu, kad pengenalan, sijil insurans dan gambar kerosakan.
Baca Artikel Berkaitan: Google Flood Hub Sediakan Ramalan Banjir, 7 Hari Sebelum Bencana Melanda | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Pertama Kali Hadapi Banjir? Ini Tips Yang Anda Perlu Tahu | TRP



