Now Reading
Nama “Mohd” Dah Lama ‘Hilang’ Dari Sijil Lahir, Tapi Mungkin Rakyat Malaysia Tak Perasan

Nama “Mohd” Dah Lama ‘Hilang’ Dari Sijil Lahir, Tapi Mungkin Rakyat Malaysia Tak Perasan

Singkatan “Mohd” yang hampir eksklusif kepada Malaysia sebenarnya sudah lama tidak digunakan dalam pendaftaran nama bayi, cuma ramai yang baru menyedarinya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Perkara ini kembali menjadi perhatian selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memuat naik satu peringatan di Instagram, mengingatkan ibu bapa bahawa singkatan seperti “Mohd” tidak lagi diterima dalam pendaftaran nama anak.

Sebaliknya, nama tersebut perlu dieja penuh seperti “Mohamad”, “Muhamad” atau “Muhammad”.

Perkara sama turut terpakai untuk “Abd”, yang kini perlu ditulis sebagai “Abdul”.

Sebenarnya Bukan Peraturan Baharu

Apa yang ramai mungkin tak sedar, ini bukan polisi baharu.

Malah, ia sudah pun dilaksanakan sejak beberapa dekad lalu.

Berdasarkan perkongsian orang ramai, seawal 1990-an lagi, bayi yang didaftarkan di kaunter JPN sudah menggunakan ejaan penuh.

Ini bermaksud, peraturan ini sudah wujud lebih 30 tahun, cuma ia tidak begitu disedari kerana hanya melibatkan pendaftaran baharu.

Mereka yang sudah mempunyai nama “Mohd” kekal dengan nama tersebut.

Jadi, apabila JPN buat peringatan, ia lebih kepada ‘reminder’, tapi bagi ramai rakyat Malaysia, ia kedengaran seperti satu ‘pengakhiran’.

View on Threads

Singkatan ‘Rare’ Yang Hanya Wujud di Malaysia

Menariknya, “Mohd” sebenarnya bukan konvensyen dalam dunia Arab atau negara Muslim lain.

Ia tidak digunakan di negara seperti Mesir, Arab Saudi atau Pakistan. Sebaliknya, ia adalah satu bentuk singkatan yang lahir daripada sistem pentadbiran di Malaysia sendiri dan kemudian menjadi kebiasaan.

Selama beberapa generasi, ia digunakan oleh penjawat awam, guru dan ibu bapa sehingga akhirnya menjadi sebahagian daripada identiti tempatan.

Seperti yang dikongsi seorang pengguna media sosial, tanpa disedari, nama “Mohd” itu sendiri mencerminkan identiti Malaysia yang unik iaitu sesuatu yang sukar ditemui di negara lain.

Malah, bagi orang luar, singkatan ini kadangkala mengelirukan. Ada yang menyangka “Mohd” adalah nama sebenar, sedangkan ia hanyalah singkatan kepada “Mohamad” atau “Muhammad”.

Dari Nama Biasa ke ‘Khazanah Negara’?

Dalam satu interaksi di media sosial, seorang pengguna bergurau bahawa individu yang lahir pada era 1980-an dengan nama “Mohd” kini semakin ‘rare’.

Akaun rasmi JPN sendiri membalas secara santai dengan mengatakan ia mungkin bakal menjadi “khazanah negara”.

Walaupun berbentuk gurauan, ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa satu amalan penamaan yang pernah digunakan secara meluas kini sebenarnya sudah lama ‘bersara’, cuma ramai yang baru sedar.

Trend Nama Pun Dah Berubah

Dalam masa sama, pengguna turut menyedari bahawa nama-nama tradisional seperti “Mahmud” juga semakin jarang digunakan dalam pendaftaran baharu.

Sebaliknya, ibu bapa kini cenderung memilih nama yang lebih panjang dan moden seperti “Mohamad Mikhael” atau “Mohamad Maleeq” — gabungan antara ketepatan ejaan dan trend semasa.

JPN Ada Garis Panduan, Tapi Ada Hadnya

Selain isu singkatan, JPN juga mempunyai garis panduan lain dalam pendaftaran nama.

Antaranya, nama tidak boleh melebihi 80 aksara, tidak boleh mengandungi nombor, unsur haiwan atau perkara yang dianggap tidak sesuai.

Namun, persoalan tentang sejauh mana kuasa ini boleh digunakan pernah dibangkitkan sebelum ini.

Menurut pandangan pakar perlembagaan Nizam Bashir, di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, kerajaan sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menentukan nama atau nama keluarga seseorang kanak-kanak.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd