Hari Wesak Jatuh Pada Ahad, Tapi Isnin Pula Hari Keputeraan YDPA. Boleh Dapat Cuti Extra Ke?
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata kerajaan telah menggazetkan tarikh cuti umum bagi kedua-dua sambutan tersebut.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada tahun ini, Hari Wesak akan jatuh pada 31 Mei, manakala Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pula disambut pada 1 Jun.
Memandangkan 31 Mei jatuh pada hari Ahad, ini bermakna cuti umum bagi Hari Wesak akan dibawa ke hari kerja yang seterusnya.
Namun, Isnin pula adalah sambutan Hari Keputeraan YDPA dan akan wujudnya cuti bertindih jika cuti Hari Wesak dibawa pada hari sama.
Oleh itu ramai yang tertanya-tanya, sama ada ini bermakna cuti umum bagi Hari Wesak akan dibawa ke hari Selasa sebagai hari kerja yang seterusnya.
Baca Artikel Berkaitan: Maulidur Rasul & Hari Malaysia 2024 Jatuh Pada 16 Sept, Boleh Tak ‘Claim’ 2 Hari Cuti Umum?
Cuti Hari Keputeraan YDPA Tak Boleh Dibawa Ke Hari Lain
Menurut Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), kerajaan telah menggazetkan tarikh cuti umum bagi kedua-dua sambutan tersebut.
Katanya, Hari Keputeraan YDPA merupakan salah satu daripada lima (5) cuti wajib berbayar bagi pekerja sektor swasta yang tidak boleh diganti ke hari lain seperti yang dinyatakan di bawah subperenggan 60D(1)(a)(ii) Akta Kerja 1955.
Sebaliknya, cuti Hari Wesak pula merupakan hari kelepasan am berbayar yang boleh dipilih oleh majikan di bawah perenggan sama.
Jika hari kelepasan am yang dipilih ini jatuh pada hari rehat atau cuti kelepasan lain yang ditetapkan, ia perlu dibawa ke hari kerja berikutnya sebagai hari kelepasan am gantian berbayar.
Cuti Hari Selasa Jika Majikan Ambil Hari Wesak Sebagai Cuti Am & Ahad Pula Hari Rehat
KESUMA berkata, majikan yang menetapkan hari Ahad sebagai hari rehat mingguan dan turut memilih Hari Wesak sebagai hari cuti perlu menggantikannya pada hari Selasa.
Ini kerana hari Isnin bukan lagi merupakan hari bekerja memandangkan jatuhnya Hari Keputeraan YDPA yang tidak boleh diganti ke hari lain.
Layak Dapat Bayaran Pampasan Jika Bekerja Pada Hari Cuti Am
Bagaimana jika masih ada pekerja yang diarahkan bekerja oleh majikan pada hari kelepasan am ini?
KESUMA berkata pekerja yang bergaji RM4,000 ke bawah sebulan dan mereka yang dinyatakan dalam perenggan 2 Jadual Pertama Akta Kerja 1955, layak menerima bayaran mengikut kadar gaji hari kelepasan am jika diarahkan bekerja pada hari tersebut.
Jadi jika anda perlu bekerja pada hari bercuti, pastikan anda menerima bayaran pampasan mengikut undang-undang, iaitu sekurang-kurangnya dua kali ganda dari gaji harian yang ditetapkan atau double pay.
Namun diingatkan bahawa bayaran pampasan ini juga tertakluk kepada jenis cuti yang terlibat dan ketetapan syarikat.
Majikan Perlu Bagi Sekurangnya 11 Cuti Umum Untuk Pekerja, 5 Daripadanya Wajib
Sebagai info, setiap pekerja swasta layak mendapat sekurang-kurangnya 11 hari cuti umum berbayar dalam setahun dengan lima daripadanya merupakan kelepasan am wajib iaitu:
- Hari Kebangsaan (31 Ogos)
- Hari Keputeraan YDPA (Biasanya Isnin pertama Jun – Tertakluk pengisytiharan rasmi tahunan)
- Hari Keputeraan Raja / Yang di-Pertua Negeri (Ikut negeri tempat kerja)
- Hari Pekerja (1 Mei)
- Hari Malaysia (16 September)
Bagi enam (6) hari cuti umum yang tidak wajib, majikan boleh membuat pilihan cuti tambahan, antaranya:
- Hari Raya Aidilfitri (2 Hari)
- Tahun Baru Cina (2 Hari)
- Hari Deepavali
- Hari Krismas
- Hari Thaipusam
- Hari Wesak
- Hari Raya Haji
- Maulidur Rasul
Baca Artikel Berkaitan: Aidilfitri 2026: KESUMA Galak Majikan Beri Cuti Tambahan Untuk Pekerja
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



