Now Reading
Kini Jadi Trend, Ini Hukum Muslim Pakai Perhiasan Daun Clover

Kini Jadi Trend, Ini Hukum Muslim Pakai Perhiasan Daun Clover

Daun clover berkelopak tiga yang dikenali sebagai Shamrock telah digunakan oleh St. Patrick bagi menerangkan kepada masyarakat pagan Ireland mengenai konsep Trinity dalam agama Kristian.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Perhiasan emas merupakan salah satu barang kemas yang menjadi pilihan ramai wanita kerana nilainya yang tinggi.

Antara reka bentuk yang menjadi trend perhiasan emas pada masa kini ialah daun clover yang diinspirasikan daripada jenama perhiasan mewah, Van Cleef & Arpels.

Pun begitu, timbul syak wasangka dalam kalangan orang ramai tentang hukum memakai perhiasan berbentuk daun clover memandangkan ia terdapat kaitan dengan agama Kristian.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Plan Asal Main Tukar Hadiah, Warga Emas Buat Kejutan Bagi 8 Anak Barang Kemas Sendiri

Baca Artikel Berkaitan: “Nak Kasi Mama Pakai” – 2 Anak Lelaki Tukar Duit Raya Kepada Cincin Emas Raih Pujian

Baca Artikel Berkaitan: “Beli Dulu RM5,569” – Wanita Jual Gelang Emas Dibeli 7 Tahun Lalu Raih RM13,888!

Kaitan Daun Clover Dengan Agama Kristian

Perkara ini telah dijelaskan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sejak tahun 2020 lagi.

Katanya, sememangnya terdapat sejarah tentang penggunaan daun clover bagi agama Kristian, terutamanya bagi masyarakat Kristian di Ireland.

Ini merujuk kepada penggunaan daun clover berkelopak tiga yang dikenali sebagai Shamrock oleh St. Patrick bagi menerangkan kepada masyarakat pagan Ireland mengenai konsep Trinity dalam agama Kristian.

Selain itu, daun clover yang mempunyai empat kelopak pula dan jarang ditemui dianggap sebagai membawa nasib baik.

Daun clover berkelopak empat jarang ditemui.

Daun Clover Bukan Simbol Kristian Yang Digunakan Meluas, Dibolehkan Memakainya

Memandangkan daun clover itu boleh dikaitkan dengan agama Krisitian, timbul persoalan sama ada memakai perhiasan sedemikian dianggap menyerupai agama lain.

Bagi menjelaskan isu ini, Jabatan Mufti WP berkata simbol yang khusus kepada agama Kristian tanpa sebarang pertikaian adalah lambang salib.

Maka memakai sesuatu perhiasaan yang mempunyai lambang salib hukumnya haram walaupun tanpa niat menyerupai penganut agama Kristian.

Pun begitu bagi daun clover, shamrock dan seumpamanya, Jabatan Mufti WP menegaskan bahawa ia bukanlah simbol khusus agama Kristian yang digunakan secara meluas.

“Ini kerana tidak semua orang mengetahui bahawa ia merupakan salah satu simbol kepada agama Kristian seperti mana lambang salib,” katanya.

Jabatan Mufti WP berkata jika perhiasan bentuk daun clover itu sudah menjadi umum dan bukan lagi syiar khusus suatu agama, maka harus memakainya.

Perkara Haram Boleh Jadi Harus Selepas Syiar Khusus Agama Lain Terangkat

Memetik Dr Samiah Abdullah Bukhari, larangan menyerupai orang kafir adalah pada perkara yang khusus menjadi syiar mereka.

Namun jika perkara itu tidak lagi menjadi syiar, maka ia masuk dalam perkara umum yang diharuskan syarak.

Ini juga sama seperti pakaian disebut taylasan yang dahulunya menjadi syiar kaum Yahudi, tetapi kini tidak lagi dan menjadi perkara yang diharuskan syarak.

Maka sesuatu perkara itu kembali menjadi harus selepas terangkatnya sebagai syiar yang khusus agama atau kaum lain (‘illah). Ini seperti yang disebut kaedah fekah:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَ عَدَمًا

Maksudnya: “Keberadaan hukum itu bergantung kepada ‘illahnya, sama ada ia wujud atau tidak.”

Memakai Perhiasan Yang Dianggap Sebagai Simbol Agama Lain Boleh Menjadi Makruh

Tambah Jabatan Mufti WP lagi, walaupun barang perhiasan seperti daun clover dianggap sebagai simbol agama Kristian sekalipun, hukum memakainya boleh menjadi makruh.

Ini adalah berdasarkan sudut tahap kejelekan menyerupai kaum lain sama ada ketara atau tidak. Hal ini disebutkan oleh Ibn Solah:

والتشبه بالكفار قد يكون مَكْرُوها وَقد يكون حَرَامًا وَذَلِكَ على حسب الْفُحْش فِيهِ قلَّة وَكَثْرَة وَالله أعلم

Maksudnya: “Hukum menyerupai (tasyabbuh) orang kafir boleh jadi makruh dan boleh juga haram berdasarkan kejelekan padanya sama ada sedikit atau banyak. WaAllahu a’lam.”

Dalam hal ini, memakai perhiasan daun clover tidak seburuk memakai lambang salib dan hukum memakainya ialah makruh. 

“Ia disebabkan mempunyai prasangka (wahm) bahawa ia merupakan lambang bagi agama tertentu, dan ia termasuk dalam perkara syubhah,” jelasnya.

Elakkan Memakai Perhiasan Daun Clover Jika Tak Yakin

Namun jika timbul perasaan wasangka, perlulah dielakkan daripada memakai barang perhiasan berbentuk daun clover itu, seperti sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ، ومَنْ وقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.”

Hadis Riwayat Tirmizi

Namun ditegaskan sekali lagi jika memakai daun clover dengan niat untuk menyerupai agama lain dan menganggapnya sebagai simbol Kristian, hukumnya jatuh haram dan berdosa.

Baca Artikel Berkaitan: Apakah Hukum Orang Islam Pakai Jersi Bola Sepak Ada Logo Syarikat Judi & Arak? Ini Penjelasannya

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Hadiahkan Loket Emas Kepada Setiap Nurse Sebagai Tanda Penghargaan Kerana Jaga Isteri & Bayinya

Baca Artikel Berkaitan: “Untung Kau Cing” – Wanita Hadiahkan Si Bulus Rantai Emas Habib Jewels Curi Perhatian


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd