Now Reading
Perlu Ke Gandakan Sujud Sahwi Jika Ada Banyak Kesilapan Waktu Solat? Ini Penjelasan Ustazah Asma’ Harun

Perlu Ke Gandakan Sujud Sahwi Jika Ada Banyak Kesilapan Waktu Solat? Ini Penjelasan Ustazah Asma’ Harun

Kadangkala ada individu yang melakukan lebih dari satu kesilapan semasa solat sehingga mencetuskan kekeliruan sama ada mereka perlu mendirikan sujud sahwi mengikut bilangan kesalahan itu ataupun tidak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Terlupa tentang sesuatu hal adalah lumrah dan sifat seorang manusia. Malah ia juga boleh berlaku ketika sedang menunaikan solat.

Untuk para Muslim, anda boleh melakukan sujud sahwi iaitu sujud dua kali yang dilakukan di akhir solat bagi menampung kekurangan atau kesilapan yang berlaku kerana terlupa.

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, Rasulullah SAW juga pernah mendirikan sujud sahwi kerana tertinggal tahiyat awal pada rakaat kedua sewaktu mendirikan solat Zohor.

Memetik laman Al-Bakri milik bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri, tujuan sujud sahwi adalah untuk melengkapkan kekurangan atau penambahan dalam solat selain ia juga adalah satu penghinaan kepada syaitan yang cuba merosakkan solat seseorang hamba Allah.

Tetapi bagaimana pula dengan situasi seseorang terlupa beberapa pergerakan atau bacaan dalam solat? Adakah perlu dia menggandakan sujud sahwi mengikut jumlah kesilapan yang dilakukannya?

Baca Artikel Berkaitan: Apa Perlu Buat Kalau Terlupa Bilangan Rakaat Solat?

Baca Artikel Berkaitan: Sah Ke Solat Jika Terlupa Tahiyat Awal? Ini Penjelasannya [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Imam Jelaskan Sebab & Cara Melakukan Sujud Sahwi [Video]

Ramai Masih Keliru, Perlu Ke Tambah Sujud Sahwi Ikut Bilangan Kesilapan Dalam Solat?

Baru-baru ini, pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya ada mengulas tentang topik menunaikan sujud sahwi.

Jelas beliau, ada juga situasi di mana seorang individu melakukan beberapa kesilapan semasa solat sebagai contoh melafazkan bacaan yang salah ketika iktidal dan dalam masa sama terlupa bilangan rakaat yang sudah didirikan.

Jika berdepan dalam situasi ini, adakah kita perlu menggandakan (mengulangi) sujud sahwi mengikut bilangan kesalahan yang sudah dilakukan?

Menurut Ustazah Asma’, dalam mazhab al-Syafi’i ada menyebut bahawa disunatkan melakukan sujud sahwi sekiranya:

  • Meninggalkan sunat abadh (seperti tahiyat awal atau qunut)
  • Berlaku keraguan bilangan rakaat
  • Berlaku penambahan atau kekurangan dalam solat kerana terlupa

Baca Artikel Berkaitan: Ragu-ragu Dah Baca Al-Fatihah Atau Belum? Ini Perkara Yang Perlu Dilakukan [Video]

Jadi perlukah menggandakan sujud sahwi mengikut bilangan kesilapan ketika solat? Jawapannya adalah tidak perlu.

“Walaupun seseorang terlupa sehingga meninggalkan doa qunut, bilangan rakaat atau melakukan beberapa kesilapan lain dalam sunat abadh. Maka semua kesilapan itu ditampung dengan satu kali sujud sahwi (dua sujud sahaja),” ulas pendakwah itu.

Imam al-Khatib al-Syarbini berkata:

وَسُجُودُ السَّهْوِ وَإِنْ كَثُرَ السَّهْوُ سَجْدَتَانِ

Maksudnya: “Sujud sahwi itu, walaupun banyak sebabnya, tetap hanya dua sujud sahaja.”

Sumber: Freepik

Perlu Ke Sujud Sahwi Jika Tersalah Lafaz Ketika Solat?

Bagaimana pula kalau seseorang itu tersilap lafaz bacaan semasa menunaikan rukun solat? Sebagai contoh melafazkan “الله أكبر” semasa iktidal.

Jelas Ustazah Asma’ tidak perlu melakukan sujud sahwi disebabkan kesilapan tersebut. Hal ini kerana lafaz “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” (bacaan iktidal) termasuk dalam kategori sunat haiat, bukannya sunat abadh.

Perbezaan penting yang harus anda tahu adalah:

  • Sunat abadh: Disunatkan sujud sahwi jika tinggal
  • Sunat haiat: Tidak disunatkan sujud sahwi jika tinggal

Perlu diingatkan juga, jika seseorang tetap melakukan sujud sahwi sedangkan tahu ia tidak disunatkan (perkara yang jatuh kategori sunat haiat), maka ia boleh menyebabkan solat terbatal, kerana menambah pergerakan dalam solat tanpa sebab yang disyariatkan.

Amalan Boleh Dipraktikkan Untuk Elak Terlupa Ketika Dalam Solat

Di ruangan komen, Ustazah Asma’ turus menegaskan bahawa khusyuk dalam solat merupakan kunci kejayaan untuk orang yang beriman.

Meskipun terlupa dalam solat adalah sifat manusia, namun ia boleh dikurangkan dengan beberapa amalan, antaranya:

Gambar sekadar hiasan.
Sumber: Facebook Masjid Sri Sendayan
  1. Fokus sebelum takbiratul ihram dan membaca Surah an-Nas. Niatkan dalam hati bahawa berdiri di hadapan Allah, bukan sekadar mahu cepat-cepat habis solat.
  2. Fahami setiap bacaan dalam solat untuk kurangkan lalai.
  3. Elak solat dalam keadaan tergesa-gesa dan tenang (ṭumaninah).
  4. Jauhkan gangguan sebelum solat sebagai contoh bermain telefon atau berbual kosong.
  5. Jangan solat dalam keadaan sedang menahan hajat (mahu buang air kecil atau besar).

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd