Nak Buat Aduan Tentang Isu Di Tempat Kerja? Ini Beza JTK & JPP
Pekerja boleh melaporkan masalah di tempat kerja kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atau Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) berdasarkan kepada isu yang dihadapi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidak dapat dinafikan, walaupun terdapat undang-undang yang ditetapkan bagi melindungi hak pekerja, namun masih ada majikan yang tidak bertanggungjawab seperti gagal membayar gaji atau memecat pekerja secara tidak adil.
Apabila berdepan perkara sedemikian, pekerja tidak sepatutnya mendiamkan diri sahaja dan membiarkan diri menjadi mangsa keadaan.
Sebaliknya, pekerja boleh melakukan aduan terhadap pihak tertentu tentang masalah yang dihadapi di tempat kerja.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Majikan Tak Boleh Ganti OT Dengan Cuti, Wajib Bayar Pada Pekerja
Baca Artikel Berkaitan: Pekerja Gaji RM1,700 Kerja 12 Jam Tapi OT Tak Dibayar, JTK Panggil Majikan [Video]
Lapor Pada JTK & JPP Ikut Jenis Kes Di Tempat Kerja
Secara amnya, masalah di tempat kerja boleh dilaporkan kepada dua jabatan yang terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia iaitu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP).
Namun mungkin ramai yang masih bingung sama ada aduan perlu dibuat kepada pihak JTK ataupun JPP.
Ini sebenarnya bergantung kepada jenis kes yang ingin dilaporkan.
JTK Urus Isu Berkaitan Gaji Pekerja
Juga dikenali sebagai Pejabat Buruh atau Mahkamah Buruh, JTK secara umumnya menguruskan isu berkaitan gaji atau elaun yang tidak dibayar kepada pekerja di bawah Akta Kerja 1955.
Menurut MySyarikat, antara aduan yang banyak dibuat ke JTK membabitkan:
- Tunggakan gaji.
- Tunggakan komisen.
- Elaun cuti bersalin.
- Bayaran kerja lebih masa.
- Bayaran ganti rugi notis.
- Pampasan pemberhentian kerja.
Bagi bayaran ganti rugi notis, ia khas bagi mereka yang bergaji kurang daripada RM4,000 untuk membuat tuntutan berikut:
- Bayaran kerja lebih masa.
- Bayaran kerja hari rehat.
- Bayaran kerja pada cuti am.
- Elaun kerja shift.
- Faedah penamatan kerja.
Selain itu, pekerja juga boleh melaporkan kepada JTK jika majikan melanggar hak cuti ataupun terdapat masalah pembulian yang berlaku di tempat kerja dan tidak dapat diselesaikan oleh majikan.
Cara Lakukan Aduan Kepada JTK & Maklumat Diperlukan
Untuk membuat aduan kepada JTK, pekerja boleh menggunakan pelbagai saluran termasuk melalui surat, e-mel, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Aplikasi Working for Workers (WFW) atau hadir ke Pejabat Tenaga Kerja yang berdekatan.
Maklumat yang diperlukan untuk membuat aduan adalah seperti berikut:
- Butiran lengkap pengadu.
- Butiran lengkap pihak yang diadu.
- Isu-isu aduan.
- Salinan dokumen sokongan seperti surat lantikan atau kontrak perkhidmatan dan penyata gaji terkini.
JPP Urus Kes Berkaitan Pembuangan Kerja
Sebaliknya JPP pula menguruskan hal berkenaan pembuangan kerja secara tidak adil tanpa mengambil kira tahap gaji seorang pekerja mengikut Akta Perhubungan Perusahaan 1972.
Antara contoh isu yang boleh dilaporkan kepada JPP termasuklah:
- Pembuangan kerja disebabkan tindakan disiplin.
- Pembuangan kerja atas alasan prestasi kerja.
- Retrenchment.
- Force resignation.
- Constructive dismissal.
Menurut Career Cube, ini termasuk juga pekerja dalam tempoh percubaan yang dibuang kerja atas alasan prestasi tidak bagus.
Lakukan Aduan Dalam Tempoh 60 Hari Selepas Dibuang Kerja Menerusi iRIS
Namun aduan ini perlulah dilakukan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembuangan kerja menerusi representasi secara bertulis kepada Ketua Pengarah.
Aduan boleh dibuat menerusi portal Industrial Relation Information System (iRIS) [DI SINI].
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Soal Sama Ada Gaji RM5,000 Cukup Nak ‘Survive’ Di KL Undang Pelbagai Reaksi
Baca Artikel Berkaitan: Gaji Kerja Waktu Pejabat Tak Cukup, Rakyat Terpaksa Jana Pendapatan ‘Extra’ Untuk Sara Diri
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.