Krisis Tenaga Asia Semakin Nyata & Malaysia Masih Stabil—Persoalannya, Sampai Bila?
Malaysia tidak terkecuali daripada gangguan global. Tetapi buat masa ini, bekalan minyak masih berjalan lancar, jalan raya masih sibuk, dan negara dilihat masih tenang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sekarang ini, anda pasti sudah melihat tajuk-tajuk berita di mana konflik di Timur Tengah sedang memberi kesan besar kepada sistem tenaga global, menekan ekonomi hingga ke tahap kritikal dan memaksa kerajaan masuk ke mod pengurusan krisis.
Di seluruh Asia, negara-negara kini giat mendapatkan bekalan bahan api, memeterai perjanjian strategik dan memastikan ekonomi terus bergerak—dan situasi ini sudah mula memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian di rantau ini.
Negara Jiran Terdekat Kita Sudah Mula Terasa Bahangnya
Di Filipina, kerajaan telah mengisytiharkan darurat tenaga negara. Harga bahan api dan elektrik melonjak ke paras tertinggi, mencetuskan protes di seluruh negara.
Orang ramai turun ‘padang’ bagi menuntut kawalan harga, pengurangan cukai bahan api, dan peraturan yang lebih ketat. Malah, pasar raya kini dipenuhi dengan orang ramai yang membeli barangan keperluan dalam kuantiti banyak.
Thailand pula tidak jauh ketinggalan. Harga petrol dan diesel telah mencecah tahap tertinggi dalam sejarah, dan pihak berkuasa sedang bersiap sedia untuk kemungkinan catuan bahan api.
Kerajaan telah memperkenalkan langkah agresif untuk mengurangkan tekanan, termasuk pemantauan harga dan kempen seluruh negara yang menawarkan diskaun sehingga 50% untuk barangan keperluan.
Indonesia mengambil pendekatan yang lebih tersusun. Pembelian bahan api kini dihadkan, di mana pemilik kenderaan persendirian hanya boleh membeli sehingga 50 liter sehari. Penjawat awam pula diarahkan bekerja dari rumah setiap hari Jumaat untuk menjimatkan tenaga.
Di Brunei, kenderaan asing kini perlu memasuki negara itu dengan sekurang-kurangnya tiga perempat tangki minyak. Ini adalah langkah awal untuk melindungi rizab bahan api negara mereka.
Dan kemudian, Malaysia… di mana keadaan masih kelihatan seperti biasa. Kedai kopi masih meriah, meja mamak masih penuh, orang masih ke pejabat, dan kesesakan lalu lintas masih seperti biasa.
Jadi, Adakah Kita Sebenarnya Okay?
Tidak sepenuhnya “okay”, tetapi “stabil” adalah perkataan yang boleh digunakan sekarang.
Kerajaan mengumumkan bahawa bekalan petrol Malaysia masih terkawal dan mencukupi, sekurang-kurangnya sehingga hujung bulan Mei, sambil usaha mencari alternatif dan mengurus tekanan harga sedang dijalankan. Namun begitu, kos di tempat lain sudah mula meningkat.
Kadar elektrik telah diselaraskan, jadi rakyat Malaysia boleh menjangkakan bil elektrik akan meningkat, walaupun kebanyakan isi rumah yang menggunakan 600kWh dan ke bawah tidak akan terasa kesannya secara langsung.
BACA JUGA: Electricity Bill Is Going Up Again For Some, And Yes, Global Drama Is Partly To Blame
Harga makanan juga dijangka meningkat.
Pakar memberi amaran bahawa kebergantungan Malaysia terhadap import untuk barangan penting seperti baja, produk tenusu, daging lembu, dan makanan ternakan menjadikan kita lebih terdedah kepada situasi ini. Malah, ada anggaran yang menyatakan harga makanan boleh meningkat sehingga 50%.
BACA JUGA: Heads Up, Malaysia! Here’s Why Your Groceries May Cost More Soon
Kenaikan kos bahan mentah dan pengangkutan juga memberi tekanan kepada perniagaan, terutamanya perniagaan kecil. Jadi, jangan terkejut jika kedai roti canai dan nasi lemak kegemaran anda mula menaikkan harga.
Kenapa Malaysia Belum Masuk Mod Krisis Sepenuhnya?
Sebahagian besarnya adalah disebabkan dasar dan pengurusan.

Pembaharuan terkini memberi lebih fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengawal kenaikan kos. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa langkah khusus telah diperkenalkan untuk mengurangkan kesan krisis semasa. Tetapi buat masa ini, kita fokus kepada apa yang baru sahaja dilakukan kerajaan.
Kerajaan telah membuat perubahan pada subsidi bahan api untuk mengurus kenaikan kos dengan lebih baik dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.
Subsidi RON95 kini dihadkan kepada 200 liter seorang setiap bulan. Walaupun nampak seperti pengurangan besar, bagi kebanyakan rakyat Malaysia (sekitar 90%), jumlah ini sebenarnya lebih daripada mencukupi. Ini kerana kajian kerajaan mendapati penggunaan purata rakyat Malaysia tidak setinggi itu.
BACA JUGA: Confirmed: BUDI95 Quota Drops To 200 Litres In April, WFH Option Offered As Relief
Jika penggunaan anda hanya untuk ulang-alik harian, urusan hujung minggu, dan sekali-sekala balik kampung, anda mungkin tidak akan mencapai had tersebut. Had ini lebih kepada mengelakkan penyalahgunaan sambil memastikan bahan api kekal mampu milik.
Bagi pekerja gig dan pemandu e-hailing, hadnya lebih tinggi iaitu 800 liter sebulan, mengambil kira peranan penting mereka dalam kehidupan harian dan ekonomi.
Stesen minyak juga kini menguatkuasakan peraturan lebih ketat. Kenderaan asing dan kad pembayaran asing tidak lagi boleh membeli RON95 bersubsidi, bagi memastikan subsidi memberi manfaat kepada rakyat tempatan terlebih dahulu.
Untuk membantu golongan yang memerlukan, terdapat dua program utama yang sedang dilaksanakan.
Program Budi Individu memberi bantuan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang berpendapatan sehingga RM100,000 setahun. Manakala program Budi Agri-Komoditi pula disasarkan kepada petani kecil dan pengeluar komoditi yang bergantung kepada jentera berkuasa diesel.
Jadi, sama ada anda memandu untuk kerja atau mengusahakan tanah, ada bantuan yang disediakan untuk meringankan beban.
Sementara itu, PETRONAS turut menyatakan bahawa permintaan tempatan bagi petrol dan diesel kini melebihi kapasiti pengeluaran dalam negara. Namun, syarikat itu sedang aktif mendapatkan bekalan tambahan melalui rangkaian global bagi memastikan kestabilan berterusan dan mengelakkan kekurangan bekalan.
Apa Yang Patut Kita Buat Sekarang?
Anda mungkin sudah kerap mendengar nasihat daripada menteri, ahli politik, dan pakar yang menyuruh kita “Bertenang” atau “Gunakan bahan api secara bijak”, dan ya, ia mungkin kedengaran berulang.

Tetapi hakikatnya, dalam keadaan global yang tidak menentu seperti ini, perubahan kecil dalam gaya hidup memang memberi kesan. Kekal berinformasi, bertenang, dan membuat keputusan yang bijak boleh membantu kita menghadapi situasi ini.
Jadi, apa yang rakyat biasa seperti kita boleh lakukan untuk melindungi diri daripada kesan paling teruk?
1. Beli apa yang perlu sahaja
Kita sudah melalui ini semasa COVID. Kita semua ingat almari penuh beras yang tidak habis dan makanan dalam tin yang luput sebelum dibuka. Bersedia itu bagus, tetapi jangan berlebihan.
Beli secara sederhana, dan jangan jadi individu yang mengisi minyak ke dalam botol plastik sehingga mencetuskan kekurangan yang belum berlaku.
2. Pantau perbelanjaan barang dapur
Bahan api mungkin masih stabil, tetapi inflasi makanan adalah ancaman senyap. Perhatikan apa yang anda beli. Mungkin anggur import boleh ditangguhkan, atau tukar kepada alternatif tempatan. Perubahan kecil boleh memberi kesan besar.
3. Sokong perniagaan tempatan
Kedai mamak, gerai penjaja, dan kedai runcit beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil. Dengan kos yang meningkat, pengguna juga mungkin akan kurang berbelanja. Jadi, jika mampu, teruskan menyokong mereka untuk memastikan komuniti setempat terus hidup.
4. Pertimbangkan pengangkutan awam
Kita tahu memandu sudah jadi kebiasaan rakyat Malaysia. Dan ya, pengangkutan awam di luar kawasan seperti KL dan Pulau Pinang masih ada kekurangannya.
Tetapi jika bas, LRT atau MRT sesuai dengan laluan anda, cubalah.
Ia mengurangkan penggunaan bahan api dan tekanan kepada sistem dan anda juga boleh berehat tanpa perlu menghadapi kesesakan jalan raya.
5. Tangguhkan perbelanjaan besar
Cuba elakkan membuat keputusan kewangan besar buat masa ini. Walaupun kenderaan elektrik nampak menarik, sekarang mungkin bukan masa terbaik untuk berbelanja besar seperti membeli kereta baharu, mengadakan majlis perkahwinan mewah, atau pembelian besar lain.
Rancang kewangan anda dengan teliti, okay?
Malaysia memang tidak terkecuali daripada krisis global ini. Subsidi semakin mahal, rantaian bekalan semakin tertekan, dan semua orang—daripada keluarga hingga peniaga kecil—sedang berkira-kira saat ini.
Tapi sekarang bekalan masih berjalan, kehidupan masih bergerak seperti biasa, dan negara masih tenang. Harap kita dapat terus mengekalkannya begitu.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
I enjoy writing and eating at the same time. I sit at my work desk for hours every day. Oh! I like cafe hopping, though I don't drink coffee. I'm, uh.. indecisive. I see eight sides of everything. Currently leading Bahasa desk for The Rakyat Post as the Head Writer & Assistant Editor.