Now Reading
FELDA Hasilkan Bahan Api B100 Guna Minyak Kelapa Sawit, Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Biodiesel

FELDA Hasilkan Bahan Api B100 Guna Minyak Kelapa Sawit, Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Biodiesel

FELDA sebelum ini telah menjalankan projek rintis penggunaan biodiesel B100 yang melibatkan kenderaan penumpang selama 15 bulan dan merangkumi lebih 50,000km jarak perjalanan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Konflik yang berlaku di Asia Barat sememangnya memberi kesan kepada ekonomi Malaysia apabila rantaian perdagangan minyak global terganggu susulan penutupan Selat Hormuz.

Keadaan ini menyebabkan lonjakan yang tinggi bagi harga minyak di dalam negara, dengan RON95 tanpa subsidi mencecah RM3.87, RON97 RM4.95 dan Diesel RM6.02 sehingga hari ini (8 April).

Kenaikan harga ini sudah tentu akan memberi kesan jangka panjang terhadap ekonomi negara.

Baca Artikel Berkaitan: Harga Bahan Api Tertinggi Dalam Sejarah, Batik Air Malaysia Tawar Cuti Tanpa Gaji & Kurangkan Penerbangan

Baca Artikel Berkaitan: Perang Asia Barat: RON95 Bersubsidi Kekal RM1.99 Seliter Walau Berdepan Krisis Global

FELDA Perkenal Biodiesel B100, Dibuat Sepenuhnya Guna Minyak Kelapa Sawit

Namun, ketika dunia sedang berdepan ketidaktentuan bekalan minyak, Malaysia tampil dengan satu alternatif apabila Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings memperkenalkan biodiesel B100.

Tidak seperti diesel lain, B100 ini dihasilkan sepenuhnya (100%) daripada minyak kelapa sawit sebagai sumber alternatif bagi mengurangkan kos bahan api di dalam negara.

Memetik BFM, difahamkan B100 adalah antara bahan api biodiesel pertama di dunia yang dihasilkan tanpa sebarang campuran bahan api fosil.

Kos Penghasilan B100 Lebih Rendah Berbanding Harga Diesel Ketika Ini

Sebelum ini, kos penghasilan B100 iaitu sekitar RM4.40 per liter, yang lebih tinggi berbanding harga diesel konvensional ketika itu, menyebabkan ia tidak diterima secara meluas.

Namun dengan kenaikan harga pasaran diesel ketika ini, biodiesel B100 boleh menjadi saingannya dan lebih berdaya maju dalam berdepan krisis global.

Menurut FELDA, sekitar 20 juta tan minyak sawit mentah (CPO) dihasilkan di Malaysia setiap tahun.

Walaupun angka ini mencukupi untuk memenuhi permintaan diesel tempatan secara teorinya, namun ia berdepan kekangan dari segi kemampuan pemprosesan yang terhad dan permintaan rendah.

Kerajaan Diminta Pertimbang Lebihkan Campuran Biodiesel Di Stesen Minyak

Disebabkan oleh permintaan rendah, kebanyakan kilang beroperasi di bawah kapasiti, namun penghasilan boleh dipertingkatkan sekiranya terdapat sokongan dasar yang jelas.

Dalam masa sama, FELDA turut memberi cadangan agar kerajaan mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar campuran biodiesel di stesen minyak dari B10 ke tahap lebih tinggi seperti B20, secara beransur-ansur.

Sebagai info, diesel B10 bermakna terdapat 10% campuran biodesel di dalam bahan api tersebut.

FELDA Akan Guna B100 Dalam Operasi Selepas Projek Rintis Selama 15 Bulan

Biodiesel B100 akan digunakan oleh FELDA dalam operasinya selepas projek rintis penggunaannya yang melibatkan kenderaan penumpang dijalankan sekitar 15 bulan dan merangkumi lebih 50,000km jarak perjalanan.

Menurut Pengerusi FELDA, Ahmad Shabery Cheek, pelaksanaan B100 ketika ini masih di peringkat dasar dan akan dimulakan dengan penggunaan dalam ekosistem tanah rancangan itu terlebih dahulu.

“Saya telah mengemukakan perkara ini (pelaksanaan B100) kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Pada masa ini, kita memerlukan satu dasar kerajaan (yang jelas), kerana jika dilaksanakan serta-merta, bekalan (minyak sawit mentah) mungkin tidak mencukupi,” katanya dipetik FMT.

Shabery berkata harga B100 di peringkat kilang bergantung kepada harga minyak sawit mentah dan dianggarkan sekitar RM4.50 seliter buat masa ini.

Biodiesel Sumber Bahan Api Boleh Perbaharui, Lebih Bersih Berbanding Diesel Konvensional

Memandangkan biodiesel merupakan sumber bahan api boleh diperbaharui, penghasilan B100 turut memberi tumpuan terhadap pengurangan pelepasan karbon.

Malah dalam situasi ketidaktentuan geopolitik pada masa kini, FELDA berkata ia turut menjadi langkah strategik dalam meneroka sumber tenaga domestik yang mampan.

Sebagai info, biodiesel boleh dihasilkan daripada minyak sayur-sayuran, minyak masak yang telah digunakan dan lemak haiwan, serta dapat digunakan sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui dalam enjin diesel sedia ada.

Terdapat tiga generasi biodiesel iaitu:

  • Generasi pertama dihasilkan daripada biojisim boleh makan.
  • Generasi kedua dihasilkan daripada biojisim tidak boleh makan.
  • Generasi ketiga dihasilkan menggunakan substrat seperti rumpai laut dan mikroalga.

Ia merupakan sumber tenaga yang lebih bersih dan menghasilkan gas rumah hijau yang kurang berbanding diesel konvensional.

Di Malaysia, penggunaan biodiesel B100 dilihat selari dengan komitmen negara di bawah Perjanjian Paris dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, kata Suara Merdeka.

Baca Artikel Berkaitan: Kurangkan Kuota BUDI95, Inisiatif BDR Antara Langkah Kerajaan Dalam Berdepan Krisis Tenaga

Baca Artikel Berkaitan: “Kerajaan Tak Dapat Tanggung Subsidi Selamanya” – Prof Jomo Kwame Kongsi Impak Krisis Iran-AS


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd