Belajar Dari Rumah, Sijil Bertaraf Dunia: University of London Lancar Program Mikro-Kelayakan Buat Rakyat Malaysia
Peluang baharu untuk upskill.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
University of London hari ini (8 April) mengumumkan pelancaran mikro-kelayakan pascasiswazah dalam talian baharu untuk pelajar di Malaysia, yang menawarkan laluan pembelajaran fleksibel dan boleh disusun (stackable).
Ia direka untuk menyokong pembelajaran sepanjang hayat tanpa perlu hadir secara fizikal.
Program ini ditawarkan pada harga pengenalan, sekaligus membuka peluang pengajian peringkat pascasiswazah yang lebih mampu milik daripada UK.
Sepenuhnya Online!
Mikro-kelayakan ini disampaikan sepenuhnya secara dalam talian melalui Global Digital Campus milik University of London, ia membolehkan pelajar di Malaysia memulakan pengajian pada bila-bila masa, belajar dari mana-mana sahaja dan mengikut rentak sendiri.
Ia membuka peluang yang lebih luas kepada golongan profesional dan berkerjaya yang perlu mengimbangi komitmen kerja serta peribadi melanjutkan pengajian ke peringkat pasca-siswazah.

Direka bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin berkembang, mikro-kelayakan ini bersifat modular dan mudah alih.
Ia membolehkan pelajar mengumpul kredit akademik yang boleh disusun untuk melayakkan mereka mengikuti program pasca-siswazah diiktiraf atau dipindahkan ke program ijazah University of London daripada program di mana mikro-kelayakan itu diperolehi.
Direka Khas Untuk Memberikan Fleksibiliti Buat Pelajar Di Malaysia
Timbalan Naib Canselor University of London, Profesor David Latchman CBE berkata, “Mikro-kelayakan dalam talian kami direka bagi membolehkan pelajar mengawal pendidikan mereka sendiri, sekali gus memberi fleksibiliti untuk mempelajari apa yang perlu, pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.
“Bagi pelajar di Malaysia, ini bermakna akses kepada pembelajaran pasca-siswazah bertaraf dunia dengan bimbingan akademik daripada universiti yang diiktiraf global, termasuk UCL dan City St George’s, tanpa kekangan geografi, jadual tetap atau syarat kemasukan tradisional.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi di peringkat global.”
Sesuai Buat Anda Yang Ingin Upskill

Pendekatan fleksibel ini selari dengan penekanan Malaysia terhadap usaha meningkatkan kemahiran secara berterusan, pendidikan digital dan kesiapsiagaan tenaga kerja.
Ia juga selari dengan pelan tindakan ekonomi digital negara, MyDIGITAL, memandangkan semakin ramai profesional mencari pilihan pembelajaran jangka pendek dan bersasar yang dapat memberikan nilai akademik dan kerjaya sebenar.
Sebanyak lapan mikro-kelayakan ditawarkan pada ketika ini.
Tiga program memberi fokus kepada pengurusan kewangan di bawah bimbingan akademik UCL, manakala lima lagi tertumpu kepada pengurusan rantaian bekalan global dengan penyeliaan City St George’s.
Setiap mikro-kelayakan membawa 15 kredit pascasiswazah, menawarkan laluan kemasukan yang lebih mudah ke pengajian tinggi UK tanpa perlu mengikuti tempoh pengajian yang panjang, berpindah, atau membayar yuran yang tinggi.
Pelajar boleh memulakan pengajian dengan segera tanpa proses permohonan yang rumit, pengambilan berasaskan kohort, atau kalendar akademik tetap, memberikan lebih fleksibiliti kepada profesional berkerjaya.
Sistem penilaiannya juga direka supaya mesra profesional bekerjaya dan pelajar sepanjang hayat, dengan pelaksanaan secara atas permintaan berbanding jadual tetap.
Pendekatan ini membolehkan pelajar mengimbangi pengajian dengan tuntutan kerjaya, keluarga dan tanggungjawab lain.
University of London Beri Akses Kepada Kandungan Akademik Menerusi Platform Digital Bersepadu

Dengan sejarah yang kukuh di Malaysia, University of London mempunyai lebih 16,000 alumni di negara ini, serta lebih 3,000 pelajar yang sedang mengikuti pengajian secara dalam talian atau melalui Pusat Pengajaran Diiktiraf.
Pelajar dari lebih 190 negara turut mengikuti pengajian di universiti ini di peringkat global, mencerminkan kepimpinannya dalam bidang pembelajaran jarak jauh dan digital antarabangsa.
Bagi pelajar di Malaysia, ini bermakna akses kepada kandungan akademik berasaskan penyelidikan daripada universiti terkemuka dunia disampaikan melalui sebuah platform digital bersepadu.
Siapa Yang Sesuai Ambil Pengajian Pascasiswazah Ini?
Secara ringkas, pascasiswazah adalah jika anda ingin sambung belajar selepas ijazah sarjana muda (degree).
Biasanya sesuai untuk:
- Individu yang sudah ada degree
- Nak mendalami bidang tertentu dengan lebih spesifik
- Mahu naik taraf kerjaya atau ke posisi lebih tinggi
- Nak tukar bidang pada tahap lebih advanced
Contoh program:
- Sarjana (Master) dalam Perniagaan (MBA)
- Sarjana Sains Data
- PhD (penyelidikan)
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program mikro-kelayakan pascasiswazah yang baru dilancarkan ini, anda boleh KLIK SINI.
Tentang University of London
Ditubuhkan melalui Piagam Diraja pada tahun 1858, University of London merupakan antara penyedia terbesar pembelajaran jarak jauh dan dalam talian di UK, selain berperanan sebagai peneraju kepada sebuah rangkaian yang merangkumi 17 institusi ahli.
Kesemua ahli ini terdiri daripada universiti yang berpangkalan di London dengan sebahagian besarnya tersenarai sebagai antara institusi terkemuka dunia.
Program dalam talian dan pembelajaran jarak jauh ditawarkan melalui kerjasama rapat bersama institusi-institusi ini.
Pendekatan kolaboratif ini bukan sahaja memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti, malah membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan penyelidik di UK serta di seluruh dunia.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
I enjoy writing and eating at the same time. I sit at my work desk for hours every day. Oh! I like cafe hopping, though I don't drink coffee. I'm, uh.. indecisive. I see eight sides of everything. Currently leading Bahasa desk for The Rakyat Post as the Head Writer & Assistant Editor.