Mungkin Ramai Tak Tahu, Tapi Rambut Jenazah Wanita Yang Panjang Sunat Dianyam
Bagi jenazah wanita yang berambut pendek, ia sekadar dirapikan sahaja sama seperti jenazah lelaki.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila seorang umat Islam meninggalkan dunia ini, jenazahnya wajiblah dimandikan terlebih dahulu sebelum dikafan, disolatkan dan dikebumikan.
Malah memandikan jenazah menjadi fardu kifayah yang bermakna wajib terdapat segolongan individu di dalam masyarakat yang boleh melakukan perkara tersebut.
Ketika jenazah dimandikan, terdapat perkara yang wajib dilakukan dan ada juga yang sunat hukumnya.
Baca Artikel Berkaitan: “Bukan Tanda Pengakhiran Buruk” – Ustaz Adnin Jelaskan Tentang Meninggal Dunia Dalam Keadaan Hadas Besar
Sunat Dandan Rambut Jenazah Wanita Yang Panjang
Mungkin ramai yang tidak tahu, namun cara menguruskan rambut jenazah wanita yang panjang juga mempunyai sunnahnya, iaitu menganyam rambut kepada tiga bahagian.
Menurut penceramah bebas, Ustaz Rafie Zainal, perkara ini dilakukan selepas jenazah selesai dimandikan dan sebelum dikafan.
Dalam bahasa mudahnya, rambut jenazah wanita yang panjang sunat didandan sebelum dikafankan.
Ini adalah berdasarkan kepada hadis oleh Ummu ‘Atiyyah R.A ketika memandikan jenazah puteri Rasulullah SAW, iaitu Zainab R.A:
قَالَتۡ أُمُّ عَطِيَّةَ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهَا: فَضَفَرۡنَا شَعَرَهَا ثَلَاثَةَ قُرُونٖ، فَأَلۡقَيۡنَاهَا خَلۡفَهَا
Maksudnya: “Kami menganyam rambutnya menjadi tiga bahagian, kemudian kami meletakkannya ke belakang.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Para ulama membuat huraian bahawa tiga bahagian yang dimaksudkan ialah tiga tocang yang dianyam bersama. Pembahagian rambut tersebut biasanya seperti berikut:
- Satu bahagian tengah (ubun-ubun)
- Satu bahagian kiri
- Satu bahagian kanan
“Ini dijelaskan dalam syarah hadis oleh ulama seperti Imam al-Nawawi dan fuqaha Syafi‘iyyah bahawa ia adalah bentuk pengurusan rambut yang paling sempurna dan kemas,” kata Ustaz Rafie.
Amalan ini menjadi sesuatu yang sunat dalam mazhab Syafie dan Hanbali, dan bertujuan untuk:
- Menjaga kekemasan rambut.
- Mengelakkan rambut terurai ketika dikafan.
- Memelihara maruah dan kehormatan jenazah wanita.
Cara Mendandan Rambut Jenazah Wanita
Menganyam rambut jenazah wanita sebelum dikafankan adalah sama seperti mendandan rambut.
#1. Sikatkan Rambut Dahulu
Pertama, sikatkan rambut secara lembut untuk mengelakkannya daripada gugur.
#2. Bahagi Rambut Kepada Tiga & Dandankan
Bahagikan rambut kepada tiga bahagian. Kemudian anyam ketiga-tiga bahagian itu seperti biasa.
Menurut Ustaz Rafie, bahagian hujung rambut tidak perlu diikat menggunakan getah.
#3. Letakkan Dandan Di Belakang
Akhirnya, letakkan hasil anyaman di bahagian belakang kepala atau badan. Ini adalah seperti mengikut sunnah yang dijelaskan dalam hadis di atas.
Namun bagaimana pula bagi jenazah wanita yang berambut pendek? Ustaz Rafie berkata tidak perlu dipaksa agar rambutnya dianyam juga, sebaliknya cukup sekadar merapikannya sahaja.
Rambut Yang Gugur Perlu Dimasukkan Dalam Kain Kafan Sekali
Diingatkan bahawa amalan menganyam rambut ini hanya khusus bagi jenazah wanita. Sebaliknya bagi jenazah lelaki, memadai rambutnya dirapikan sahaja.
Merujuk Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, rambut perlu dibasuh terlebih dahulu ketika jenazah dimandikan.
Kemudian rambut jenazah akan disisir menggunakan sikat yang jarang agar tidak gugur. Namun jika terdapat juga rambut yang gugur, ia perlulah diletakkan bersama di dalam kain kafan.
Rambut Jenazah Boleh Dipotong Sekiranya Terdapat Sesuatu Yang Menghalang Air
Sebagai info, makruh untuk memotong kukus, menggunting misai, mencukur bulu ari-ari atau memotong rambut jenzah.
Ini kerana jenazah perlu dibiarkan dalam keadaan asal dan setiap bahagian badannya dianggap sesuatu yang mulia.
Namun bagi rambut yang diwarna menggunakan bahan yang menghalang air dan tidak dapat ditanggalkan, terdapat pandangan bahawa ia perlu dicukur agar air dapat sampai ke kepala.
Ini adalah seperti disebut di dalam kitab al-Manhaj al-Qawim Bi Syarh Masail al-Ta’lim:
نعم لو لبّد شعره بنحو صمغ ولم يصل الماء إلى أصوله إلّا بها, وجبت إزالته.
Maksudnya: “Ya, jika disaluti rambut dengan sesuatu yang melekat dan air tidak sampai ke asalnya (rambut) kecuali dengan mencukurnya, maka wajib untuk mencukurnya.”
Perkara ini juga dijelaskan oleh penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, yang berkata jika terdapat sesuatu yang melekat pada rambut hingga air tidak dapat diratakan, maka rambut tersebut boleh dipotong.
Baca Artikel Berkaitan: Apa Jadi Kepada Aset Digital Selepas Anda Meninggal Dunia
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.