Now Reading
Betul Ke Ada Solat Sunat Yang Boleh Diqada? Ini Penjelasan Jabatan Mufti

Betul Ke Ada Solat Sunat Yang Boleh Diqada? Ini Penjelasan Jabatan Mufti

Mengikut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, solat sunat boleh dibahagikan kepada dua iaitu yang terikat dengan waktu dan yang ditunaikan sempena kejadian tertentu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umat Islam diwajibkan agar menunaikan solat fardu sebanyak lima kali sehari yang merupakan rukun iman kedua selepas mengucapkan dua kalimah syahadah.

Namun selain solat fardu, para muslimin dan muslimat turut dituntut untuk menjalankan solat sunat.

Salah satu solat sunat amat digalakkan ialah Solat Sunat Rawatib yang ditunaikan bagi mengiringi solat fardu dan dijalankan pada waktu yang tetap.

Malah sebelum ini, pihak Masjid Kampung Nakhoda menekankan bahawa lebih afdal menunaikan solat rawatib selepas isyak berbanding solat tarawih.

Baca Artikel Berkaitan: Rugi Besar Jika Tinggalkan Solat Ba’diyah Isyak, Ini Sebabnya [Video]

Solat Sunat Rawatib Dibahagi Kepada Sebelum Atau Selepas Solat Fardu

Untuk info, Solat Sunat Rawatib boleh dibahagikan kepada dua iaitu yang dilakukan sebelum (Qabliyyah) atau selepas (Ba’diyyah) solat fardu ditunaikan.

Solat Sunat Qabliyyah boleh dilakukan sebelum setiap solat fardu, manakala Solat Sunat Ba’diyyah dikecualikan bagi solat Subuh dan solat Asar.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial berkata bahawa Solat Sunat Qabliyyah Subuh merupakan satu-satunya solat sunat yang boleh diganti sekiranya ditinggalkan.

View on Threads

Solat Sunat Yang Terikat Dengan Waktu Sunat Diqada

Menerusi carian kami, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pernah menjawab pertanyaan sama ada solat sunat yang ditinggalkan boleh diqada ataupun tidak.

Katanya, Imam al-Nawawi membahagikan solat sunat kepada dua, iaitu:

  • Yang tidak terikat dengan waktu dan dilakukan sempena kejadian dan keadaan tertentu, seperti gerhana, meminta hujan dan tahiyyatul masjid.
  • Yang terikat dengan waktu, contohnya solat sunat dua hari raya dan solat sunat rawatib.

Menurutnya, solat sunat yang tidak terikat dengan waktu tidak boleh diqada.

Namun bagi solat sunat yang terikat dengan waktu, pandangan paling tepat adalah sunat qada sekiranya tertinggal.

Hukum qada solat sunat ini adalah berdasarkan kepada beberapa hadis, termasuk riwayat daripada Ummu Salamah R.A yang berkata:

شُغِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْعَصْرِ فَصَلاَّهُمَا بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Nabi SAW disibukkan akan suatu urusan hingga tertinggal solat sunat dua rakaat sebelum Asar, maka Baginda SAW menggantikannya selepas Asar.”

Sunan al-Nasa’ie (587)

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُصَلِّ رَكْعَتَىِ الْفَجْرِ فَلْيُصَلِّهِمَا بَعْدَ مَا تَطْلُعُ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Siapa yang tidak solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia menggantikannya setelah matahari terbit.”

Sunan Tirmizi (423)

Begitu juga hadith riwayat Aisyah R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا لَمْ يُصَلِّ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ صَلاَّهُنَّ بَعْدَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW jika tidak sempat solat sunat empat rakaat sebelum Zohor, maka Baginda SAW akan menggantikannya selepas solat Zohor.”

Sunan Tirmizi (426)

Ini bermakna solat sunat rawatib boleh digantikan sekiranya tidak sempat dilakukan dalam waktunya.

Hanya Mazhab Syafie Benarkan Qada Solat Rawatib Pada Bila-Bila Masa

Namun hukum ini mempunyai perbezaan antara berlainan mazhab. Menurut pengarang buku agama, Yazid Hamka, hanya mazhab Syafie yang membenarkan solat rawatib diqada pada bila-bila masa.

Sebaliknya bagi mazhab Hanbali, qada solat rawatib tidak boleh dilakukan ketika lima waktu yang diharamkan solat.

Bagi mazhab Hanafi dan Maliki pula, hanya solat sunat rawatib sebelum Subuh yang boleh diqada.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] UAI Jelaskan Hukum Qada Solat Dalam Waktu Yang Dilarang Solat

View on Threads

Solat Witir & Solat Hari Raya Juga Sunat Diqada Jika Tertinggal

Bukan itu sahaja, malah solat witir yang seringkali dilakukan sebagai penutup solat pada waktu malam juga boleh diqada.

Ini adalah seperti riwayat oleh Abu Sa’id al-Khudri:

مَنْ نَامَ عَنِ الْوِتْرِ أَوْ نَسِيَهُ فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَ وَإِذَا اسْتَيْقَظَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tertidur sebelum sempat solat witir atau terlupa, hendaklah dia solat apabila dia teringat atau apabila dia terjaga daripada tidur.”

Sunan Tirmizi (465)

Selain itu, Jabatan Mufti juga menyatakan bahawa solat sunat bagi Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha juga sunat digantikan jika tertinggal kerana merupakan solat yang terikat dengan waktu.

Solat Sunat Rawatib Terbahagi Kepada Muakkad & Ghairu Muakkad

Memetik laman sesawang pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Solat Sunat Rawatib terbahagi kepada muakkad (ditekankan) dan ghairu muakad (tidak ditekankan).

Solat-solat sunat rawatib muakkad adalah:

  • Dua rakaat sebelum Subuh
  • Dua atau empat rakaat sebelum Zohor
  • Dua rakaat (dari empat rakaat) selepas Zohor
  • Dua rakaat selepas Maghrib
  • Dua rakaat selepas Isyak

Manakala solat sunat rawatib ghairu muakkad:

  • Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) sebelum Zohor
  • Dua rakaat terakhir (dari empat rakaat) selepas Zohor
  • Empat rakaat sebelum Asar
  • Dua rakaat sebelum Maghrib
  • Dua rakaat sebelum Isyak

Baca Artikel Berkaitan: Ini Panduan Qada’ Solat Fardu Yang Pernah Ditinggalkan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd