[Video] Bahaya Isi Minyak Dalam Tong Di But Kereta, Pakcik Shell Kongsi Sebabnya
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila dua orang individu dilaporkan mengisi petrol RON95 lebih 20 liter dalam tong di but kereta tanpa permit sah dari KPDN.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kini, dunia sedang berdepan dengan krisis minyak global susulan peperangan yang berlaku di antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Antara yang paling terkesan adalah kekurangan pengeluaran minyak.
Banyak negara yang sudah mula mengambil langkah berjimat-cermat. Namun dalam masa sama, ramai golongan masyarakat yang mula bimbang dan panik tentang perkara itu sehingga menyebabkan mereka membuat stok petrol seperti di negara jiran Thailand dan Vientiane, Laos.
Di Malaysia pula, kecoh mengenai kes dua orang individu yang mengisi petrol RON95 pada sebuah tong yang terletak di but kereta bernombor pendaftaran negeri Johor.
Difahamkan, mereka mengisi petrol bersubsidi itu melebihi 71 liter dengan bayaran melebihi RM230. Oleh kerana sudah melanggar undang-undang, Kementerian Kewangan bertindak menyekat kad pengenalan serta akses pemilik untuk terus menikmati subsidi BUDI95.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tular Isi Petrol RON95 Dalam Tong: MOF Sekat MyKad Individu
Baca Artikel Berkaitan: Perang Asia Barat: RON95 Bersubsidi Kekal RM1.99 Seliter Walau Berdepan Krisis Global
Baca Artikel Berkaitan: AS & Israel Serang Iran, Ini Apa Yang Kita Perlu Tahu
Elektrik Statik Yang Terkumpul Dalam Tong Boleh Menyebabkan Kebakaran
Baru-baru ini, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya ada mengulas tentang kes tersebut.
Jelasnya yang lebih mesra dipanggil sebagai Pakcik Shell, perbuatan mengisi minyak petrol di dalam tong pada but kereta adalah berbahaya dan perlu dielakkan orang ramai. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kebakaran di stesen minyak.
Kebakaran boleh terjadi apabila tenaga elektrik statik yang terkumpul dalam tong bergesel dengan pergerakan lain sebagai contoh aksi individu yang melompat berdekatan dengan elektrik statik berkenaan.
Walaupun pernah ditegur sebelum ini, namun mungkin masih ada segelintir yang belum peka tentang hal terbabit.
Dalam perkongsian sama, Pakcik Shell turut berkongsi klip kejadian terdahulu yang menunjukkan sebuah kereta terbakar di stesen minyak Shell akibat mengisi minyak petrol dalam minyak pada but kereta.

Cara Selamat Isi Petrol Ke Dalam Tong
Sebagai langkah berjaga-jaga, Pakcik Shell berkongsi cara-cara dan alat diperlukan untuk mengisi petrol ke dalam tong dengan selamat.
- Letakkan tong yang mempunyai kelulusan di atas lantai bersimen di stesen minyak atau tanah.
- Letakkan corong besi dan klip sekali dengan wayar bonding.
- Ambil nozel minyak dan mula isi ke dalam tong.

PERINGATAN: Jangan sesekali isi minyak petrol ketika sedang duduk di dalam kereta kerana sebarang geseran boleh menghasilkan statik kemudiannya menyebabkan kebakaran.
View on Threads
Ramai Baru Tahu Cara Betul Isi Minyak Petrol Dalam Tong
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata orang ramai baru tahu tentang ilmu tersebut selain berkata mereka akan mempraktikkan langkah dikongsi Pakcik Shell selepas ini.
“Terima kasih pakcik untuk ilmu ni. Saya selalu beli minyak sikit-sikit untuk kegunaan mesin rumput,” kata seorang lelaki.
“Terima kasih untuk penjelasan yang praktikal ni,” tambah seorang lagi netizen.




Isi Petrol Lebih 20 Liter Dalam Tong Perlu Ada Permit Sah Dari KPDN
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa langkah-langkah ini hanya boleh diguna pakai buat mereka yang mempunyai permit sah bagi pembelian bahan api mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta tertakluk kepada had kuota ditetapkan.
Untuk info, sebarang pembelian melebihi 20 liter ke dalam tong hendaklah mendapatkan permit khas barang kawalan berjadual daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Penjualan bahan api ke dalam bekas selain daripada tangki asal kenderaan yang melebihi daripada 20 liter tanpa permit sah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika disabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi syarikat pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.
Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi saluran rasmi untuk memastikan tindakan dan siasatan dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Berikut adalah saluran untuk membuat aduan kepada KPDN:
- WhatsApp: 019 848 8000
- Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my
- Call centre: 1800-886-800
- Aplikasi telefon pintar: ezAdu KPDN
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Isi Minyak Dalam Tong Plastik Ada Permit Sah & Patuhi Peraturan
Baca Artikel Berkaitan: “Wajib Guna IC Isi Minyak” – Majikan Didakwa Arah Pekerja Guna BUDI95 Untuk Syarikat
Baca Artikel Berkaitan: Tular Kereta Singapura Isi Minyak RON95 Awal Pagi, KPDN Jalankan Siasatan [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



