Now Reading
Ini Turutan Solat Sunat Yang Boleh Dilakukan Ketika Qiamullail Sepanjang 10 Malam Terakhir Ramadan

Ini Turutan Solat Sunat Yang Boleh Dilakukan Ketika Qiamullail Sepanjang 10 Malam Terakhir Ramadan

Terdapat tiga solat sunat yang dianjurkan ketika qiamullail iaitu Solat Sunat Taubat, Solat Sunat Tahajud dan Solat Sunat Hajat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umat Islam kini sudah berada di 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan dan pasti ramai sudah mula memperbanyakkan ibadah di saat-saat akhir bulan mulia ini.

Ramai yang mengambil peluang untuk bertarawih secara berjemaah di masjid dan ada juga yang terus beriktikaf di rumah Allah SWT.

Tidak dilupakan juga segelintir individu yang membuat keputusan untuk menjalankan ibadah qiamullail di kediaman masing-masing.

Buat mereka yang pertama kali mahu melakukan qiamullail iaitu solat di malam akhir, mungkin agak bingung tentang tertib atau susunan solat sunat yang perlu dilakukan.

Baca Artikel Berkaitan: 7 Amalan Yang Boleh Dilakukan Menjelang 10 Hari Terakhir Di Bulan Ramadan

Baca Artikel Berkaitan: Tips Mudah Khatam Al-Quran 30 Juzuk Selama 30 Hari Di Bulan Ramadan

Tertib Solat Sunat Ketika Qiamullail

Menerusi hantaran di Threads (@dyanaxhmd) seorang wanita telah berkongsi semula penerangan oleh penceramah Ustaz Hafiz Kamal mengenai qiamullail sebelum ini.

Jom kita tengok, solat apa yang harus dibuat terlebih dahulu.

#1 Solat Sunat Taubat

Ibadah di waktu tengah malam elok dimulakan dengan menunaikan Solat Taubat bagi memohon keampunan kepada Allah SWT atas segala dosa yang telah dilakukan.

Solat Taubat dilakukan sebanyak dua rakaat, dengan niat:

أُصَلِّي سُنَّةَ التَّوْبَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli sunnatat taubati rak’ataini lillahi ta’ala

Maksud: “Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lakukan solat dua rakaat seperti biasa dan perbanyakkan istighfar setelah memberi salam, walaupun sekadar menyebut “Astaghfirullahal ‘azim”.

Sebaiknya, ulang lafaz istighfar berikut berulang-ulang kali:

أَسْتَغْفِرُ ٱللَّهَ ٱلْعَظِيمَ ٱلَّذِي لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَيُّ ٱلْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
Astagfirullah Hal ‘Azim Allazi Laa ilaaHa illa Hu alHayyul-Qoyyum Wa AtuuBu ilaih

Maksudnya: “Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung, yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, dan aku bertaubat kepadaNya.”

Boleh juga teruskan dengan membaca Doa Taubat:

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْلِي مِنْ عِندِكَ مَغْفِرَةً، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Allahumma innī ẓalamtu nafsī ẓulman kathīran, wa lā yaghfiru dh-dzunūba illā Anta, faghfir lī min ‘indika maghfirah; innaka Anta al-Ghafūru ar-Raḥīm.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Foto: Pexels
#2 Solat Sunat Tahajud

Merupakan antara solat sunat yang sangat dituntut, Solat Tahajud adalah solat utama yang dilakukan pada waktu satu pertiga malam terakhir dan selepas bangun dari tidur.

Solat Tahajud boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat dengan niat:

أُصَلِّي سُنَّةَ التَّهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli sunnatat tahajjudi rak’ataini lillahi ta’ala

Maksud: “Sahaja aku solat sunat tahajud dua rakaat kerana Allah Taala.”

Walaupun tiada bacaan zikir dan wirid khas selepas Solat Tahajud, anda boleh mengucapkan wirid al-Qusyasyiyyah yang biasa dibaca selepas solat.

#3 Solat Sunat Hajat

Qiamullail diteruskan lagi dengan Solat Hajat sebanyak dua rakaat, iaitu solat sunat yang ditunaikan bagi memohon sesuatu kepada Allah SWT. Niatnya:

أُصَلِّي سُنَّةَ الْحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli sunnatal hajati rak’ataini lillahi ta’ala

Maksud: “Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala.”

Solat Hajat dilakukan seperti solat sunat biasa, tetapi memanjangkan waktu sujud terakhir dengan membaca doa Nabi Yunus AS sebanyak 40 kali:

لَا إِلٰـهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Laa ilaaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin

Kemudian masih dalam keadaan bersujud, mintalah apa yang dihajati kepada Allah SWT dengan cara berniat di dalam hati.

Foto: Pexels

Selepas memberi salam, teruskan dengan beristighfar sebanyak 10 kali, bertasbih, bertahmid dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Kemudian, baca doa di bawah:

#4 Zikir & Berdoa

Selepas selesai ketiga-tiga solat sunat di atas, teruskan dengan memperbanyakkan zikir dan doa kepada Allah SWT.

Selain itu, boleh juga lakukan Solat Witir sebagai penutup solat malam dengan jumlah rakaat yang ganjil kebiasaannya satu atau tiga rakaat.

Di 10 malam terakhir Ramadan ini, selitkan juga doa malam Lailatul Qadar:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku.”

Semoga dengan usaha ini, kita semua diberi rezeki untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar yang mempunyai kebaikan lebih daripada 1,000 bulan pada Ramadan ini.

Baca Artikel Berkaitan: “Lebih Mulia Daripada 1,000 Bulan” – Baca Doa Ini Untuk Bertemu Malam Lailatul Qadar

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ustaz Kongsi Cara Nak Khatam Al-Quran Setiap Malam Di Bulan Ramadan

Baca Artikel Berkaitan: Rugi Besar Jika Tinggalkan Solat Ba’diyah Isyak, Ini Sebabnya [Video]


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd