Now Reading
Ini Golongan Ibu Yang Diberi Kelonggaran Untuk Tak Berpuasa Atau Buka Puasa Awal, Jangan Judge!

Ini Golongan Ibu Yang Diberi Kelonggaran Untuk Tak Berpuasa Atau Buka Puasa Awal, Jangan Judge!

Keringanan atau rukhsah untuk tidak berpuasa diberikan kepada individu yang berisiko berdepan kemudaratan sekiranya meneruskan puasanya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri, umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan.

Namun setiap kali tibanya kita di bulan suci ini, pasti timbul isu terdapat individu yang tidak berpuasa disebabkan oleh alasan-alasan tertentu.

Pun begitu, Islam sebagai sememangnya agama yang penuh rahmah dan telah memberi rukhsah (keringanan) kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk tidak meneruskan puasa mereka.

Baca Artikel Berkaitan: Wanita ‘Judge’ Ibu Baru Bersalin Minum Air Di Klinik Ketika Bulan Ramadan Terima Kritikan Ramai

Baca Artikel Berkaitan: Ini 4 Situasi Kritikal Yang Mewajibkan Seseorang Batalkan Puasa

Golongan Ibu Yang Diberi Rukhsah Berpuasa

Secara umumnya, seorang wanita yang tidak didatangi darah haid atau nifas serta bukan dalam kesakitan diwajibkan agar berpuasa di bulan Ramadan.

Namun begitu, kelonggaran atau rukhsah diberikan kepada kaum hawa yang bergelar mak sekiranya dalam keadaan tidak mampu untuk menunaikan kewajipan berpuasa.

Di sini kami kongsikan dua golongan ibu yang diberi rukhsah dikecualikan daripada berpuasa pada bulan Ramadan.

#1 Ibu Hamil

Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, walaupun seorang wanita yang sedang hamil diwajibkan berpuasa, namun syarak memberi keringanan dia boleh berbuka puasa dengan sebab-sebab tertentu.

Ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT memberi keringanan puasa dan separuh solat bagi orang yang musafir serta meringankan puasa bagi wanita yang hamil atau menyusukan anak.”

Riwayat al-Tirmizi

Ruksah ini diberikan kepada wanita hamil yang:

  • Takut berlaku mudarat ke atas dirinya atau ke atas anaknya dan dirinya (Wajib ganti puasa)
  • Takut berlaku mudarat ke atas anaknya sahaja (Wajib ganti puasa dan membayar fidyah)

Menurut artikel keluaran Universiti Putra Malaysia (UPM), ibu hamil kebiasaannya dinasihati agar tidak berpuasa pada trimester pertama jika mengalami gejala kehamilan serius termasuk muntah, kurang selera makan, kepenatan atau rasa pening dan pitam.

Selain itu, para ibu hamil yang mengalami sebarang masalah kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi diingatkan agar mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum cuba berpuasa.

Dalam masa sama, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI) mengingatkan bahawa bukan semua wanita hamil diberi rukhsah ini. Sekiranya mampu, mereka wajib meneruskan puasa.

#2 Ibu Menyusukan Bayi

Seperti dalam hadis di atas, selain wanita hamil, rukhsah berpuasa juga diberikan kepada golongan ibu yang masih menyusukan bayinya.

UAI berkata ibu menyusukan bayi masih diwajibkan berpuasa, namun sekiranya dia mengalami masalah kekurangan susu badan jika berpuasa, dia diberi keringanan untuk berbuka dan tidak berpuasa.

Memetik Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, rukhsah ini tetap diberikan kepada wanita yang menyusukan anak yang tidak bergantung sepenuhnya kepada susu ibu sebagai sumber makanan.

Dalam erti kata lain, walaupun bayi tersebut mempunyai ibu susuan lain ataupun sudah mengambil sumber makanan lain, ibu yang menyusukannya masih boleh menikmati rukhsah berbuka puasa sekiranya terdapat kemudaratan.

Tambahnya lagi, sesetengah ibu yang menyusukan bayi mungkin diwajibkan berbuka puasa sekiranya terdapat kebimbangan serius berdasarkan kepada pengalaman sendiri, nasihat perubatan atau tanda-tanda jelas bahawa kesihatan dirinya atau kualiti penyusuan akan terjejas ketika puasa sehingga memudaratkan bayi.

Berbanding golongan ibu yang mendapat rukhsah untuk tidak berpuasa, ada juga golongan wanita yang diharamkan berpuasa iaitu:

  • Datang haid
  • Keluar nifas selepas bersalin atau keguguran

Namun mereka diwajibkan menggantikan puasa itu kemudian selagi tidak masuk bulan Ramadan yang seterusnya.

Dalam masa sama, para wanita yang tidak boleh berpuasa atau diberi rukhsah ini diingatkan agar mengelakkan daripada makan dan minum di khalayak ramai sebagai menghormati bulan Ramadan.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Buat Ibu Untuk Banyakkan Susu Badan

Baca Artikel Berkaitan: Sering Alami Gastrik? Ini 4 Tips Yang Anda Boleh Amalkan Ketika Puasa


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd