Pementasan ‘Betisnya Bunting Padi’ Di Universiti Malaya Bawa Konsep Hitam & Putih Ke Pentas Teater
Pementasan Betisnya Bunting Padi sebagai teater hitam-putih dilihat berjaya menerusi teknik tatarias, pilihan busana dan pencahayaan yang bersesuaian.
- Pementasan Betisnya Bunting Padi di Universiti Malaya menggunakan konsep hitam putih yang unik, seolah-olah menonton filem klasik era P. Ramlee.
- Naskhah ini mengangkat isu konflik rumah tangga akibat salah faham, menyampaikan mesej penting tentang komunikasi dan kepercayaan dalam perkahwinan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bila bercakap tentang filem hitam putih, fikiran kita segera akan mengingati cerita-cerita klasik seperti karya arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang sering dimainkan di televisyen.
Mungkin ramai yang tidak tahu, konsep visual monokrom juga ada digunakan dalam pementasan teater.
Itulah yang dipaparkan dalam pementasan naskah Betisnya Bunting Padi karya Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang, di Universiti Malaya semalam (7 Julai).
Naskah Betisnya Bunting Padi Angkat Isu Konflik Rumah Tangga
Naskah Betisnya Bunting Padi merupakan karya Allahyarham Usman Awang yang pasti dikenali oleh penggiat dan pencinta teater tempatan.
Di bawah arahan Lion Chong, pementasan teater Betisnya Bunting Padi oleh Sokati Production merupakan Projek Tahun Akhir Jabatan Drama, Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya.
Seramai empat pelajar yang dinilai mengambil bahagian dalam produksi teater ini iaitu Aisy Ezmi dan Asri Zamri sebagai Pelakon Utama, Lion Chong sebagai Pengarah, serta Han Xuan selaku Pengurus Produksi.

Bercakap kepada TRP, Chong berkata naskah itu mengangkat konflik rumah tangga serta dinamika kasih sayang antara sepasang suami isteri sebagai ‘isu klasik’ yang kekal relevan sehingga kini.
Mengulas tentang pemilihan visual konsep hitam-putih, Pengurus Produksi Han Xuan berkata ia merupakan suatu pendekatan segar yang bertujuan untuk membawa penonton merasai pengalaman seolah-olah sedang menyaksikan filem klasik era P. Ramlee dipentaskan secara langsung.
Penggunaan muzik dan dialek klasik serta set dan props retro turut menambahkan lagi ‘rencah’ kepada pementasan itu.
Karya Tonjolkan Bagaimana Salah Faham Boleh Jadi Punca Hubungan Suami Isteri Goyah
Betisnya Bunting Padi mengisahkan tentang sepasang suami isteri, Kamal dan Aziah, yang mengalami masalah rumah tangga akibat salah faham kecil yang berlaku.
Kamal yang dimainkan oleh Asri Zamri merupakan seorang pelukis manakala isterinya, Aziah lakonan Aisy Ezmi ialah seorang pelakon drama radio.
Sebelum babak konflik diperkenalkan, kemesraan antara pasangan suami isteri itu jelas kelihatan. Dengan muzik klasikal yang mengisi segenap ruang, keserasian antara kedua-dua pelakon Asri dan Aisy mewujudkan rasa tenang dan romantis.
Konflik antara mereka mula tercetus apabila Kamal membuat keputusan untuk melukis potret berjudul “Betis” berdasarkan kepada seorang model bernama ‘Ani’.
Timbulnya perasaan cemburu dalam kalangan mereka berdua, ditambah pula Aziah yang cuba mewujudkan rasa iri hati kepada suaminya dengan menunjukkan sifat manja terhadap rakan sekerjanya, Husin (lakonan Adli Shinichi).

Dalam masa sama, karya ini juga mengangkat sifat pengkarya seni yang diketahui ramai, iaitu suka bereksperimentasi malah sehingga digelar ‘pelik’ oleh sesetengah orang.
Di akhir pementasan, barulah audiens akhirnya dikejutkan dengan gerangan sebenar ‘Ani’ yang dimaksudkan oleh Kamal.
Rupa-rupanya ‘Ani’ merupakan seorang pemain bola sepak yang bernama Zul Ghani (lakonan Achu Zul). Dan ya, Ani ialah seorang lelaki!
Ketegangan antara Kamal dan Aziah mulai bertukar menjadi babak komedi yang pastinya mencuit hati ramai dan mungkin turut dialami oleh pasangan suami isteri lain sendiri.

Pementasan Berjaya Bawa Konsep Hitam Putih, Seolah-Olah Menonton Filem Klasik
Pementasan Betisnya Bunting Padi sebagai teater hitam-putih dilihat berjaya menerusi teknik tatarias, pilihan busana dan pencahayaan yang bersesuaian.
Namun penggunaan cahaya berwarna di bahagian luar rumah pasangan itu bagi menunjukkan perubahan waktu agak mengganggu konsep hitam-putih yang ingin dibawa.
Pun begitu, pementasan ini tetap berjaya menonjolkan konsep monokrom dalam persembahan teater dan pastinya sesuatu yang unik berbanding rata-rata teater tempatan yang pernah dipentaskan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Chong berkata konsep visual tersebut dipilih bagi memberi penekanan terhadap dunia perkahwinan dalam konteks hitam putih, iaitu akan sentiasa wujud kontras yang ketara antara pasangan suami isteri.
“Melalui konsep ini, penonton dibawa untuk menilai semula makna sebenar di sebalik sebuah cinta dan melihat sendiri betapa rapuhnya sebuah hubungan sesama manusia,” ujarnya.
Para Pelakon Harap Penonton Bawa Pulang Mesej Penting Dari Pementasan ‘Betisnya Bunting Padi’
Buat pelakon Aisy Ezmi, antara cabaran terbesar yang dilalui olehnya sepanjang persediaan bagi Projek Tahun Akhir ini adalah membayangkan pengalaman sebagai wanita hamil dan mempraktikkan dialek era P. Ramlee.
Mengulas ringkas, dia berkata naskah Betisnya Bunting Padi bukan sekadar menghiburkan hati, namun turut menonjolkan mesej tentang kepentingan komunikasi yang baik dalam sesebuah rumah tangga.
Pelakon Azri Zamri pula berpendapat konflik salah faham yang berlaku dalam pementasan itu merupakan satu pengajaran buat para penonton agar tidak mudah membuat andaian sebelum mengetahui perkara yang sebenar.
“Saya percaya naskhah ini memberi nilai tambah kepada penonton kerana mesejnya masih relevan hingga hari ini. Konflik yang dipaparkan dekat dengan kehidupan masyarakat.
“Penonton bukan sahaja terhibur, malah dapat mengambil pengajaran tentang kasih sayang, kepercayaan dan pentingnya memahami perspektif orang lain sebelum membuat penilaian,” katanya.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.