Now Reading
[Review] Siri Adolescence Jadi Tamparan Hebat Buat Ibu Ayah, Tonjolkan Bahaya Sub Budaya ‘Manosphere’

[Review] Siri Adolescence Jadi Tamparan Hebat Buat Ibu Ayah, Tonjolkan Bahaya Sub Budaya ‘Manosphere’

Siri terhad Adolescence yang ditayangkan di Netflix mengikuti kisah seorang suspek kanak-kanak lelaki yang ditahan kerana didakwa membunuh rakan perempuan sekelasnya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, sesetengah individu telah memilih untuk melihat dan menganalisis satu kes di dalam negara dari sudut kerangka ‘femicide’.

Malah ada di antara mereka yang mengaitkan kes-kes tersebut dengan isu-isu yang diangkat di dalam satu siri Netflix, Adolescence.

Situasi ini sekaligus mengingatkan kembali sesetengah masyarakat khususnya yang mengikuti perkembangan filem antarabangsa kepada satu siri Netflix, Adolescence.

Adolescence mengikuti kisah seorang suspek kanak-kanak lelaki, Jamie (Owen Cooper), yang ditahan kerana didakwa melakukan pembunuhan.

Suspek yang berusia 14 tahun dipercayai telah membunuh rakan perempuan sekelasnya namun menafikan perbuatan itu sekeras-kerasnya.

SPOILER ALERT!

Adolescence: Tingkah Laku Jamie Buatkan Penonton Percaya Dia Tidak Bersalah

Apabila mengikuti kisah itu, kami percaya sebahagian besar penonton juga pasti terpedaya dengan ‘lakonannya’ yang cukup menyakinkan, sama seperti ayahnya.

Walaupun dengan bukti yang kelihatan jelas, tingkah laku kanak-kanak lelaki itu membuatkan ramai tertunggu-tunggu dengan ‘plot twist’ yang bakal didedahkan.

Mungkin orang lain yang menyamar sebagai dia? Mungkin dia dibuli dan dipaksa melakukannya?

Melihat sifatnya yang pendiam, ‘timid’ dan manja bersama keluarga, mustahil dia dapat melaksanakan sesuatu yang sungguh kejam.

Sementara itu, bapanya Eddie Miller lakonan Stephen Graham, saling tidak ubah seperti kebanyakan ayah yang ingin melindungi anaknya walaupun setelah ditunjukkan bukti yang ketara.

Sumber: Netflix

Adolescence Bawa Penonton Fahami Prosedur Undang-Undang

Adolescence juga mendedahkan prosedur yang dijalankan berlandaskan undang-undang bagi kes jenayah melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Walaupun para detektif benar-benar yakin bahawa Jamie telah melakukan jenayah itu, namun mereka masih memastikan haknya sebagai kanak-kanak yang dituduh dilindungi.

Di samping itu, tanggungjawab pakar psikologi bagi kes jenayah oleh kanak-kanak bawah umur turut diketengahkan di dalam siri tersebut.

Kepentingan ini tidak diketepikan sama sekali apabila memaparkan babak di mana pakar psikologi kanak-kanak Briony (Erin Doherty) cuba mendedahkan kebenaran dan sisi gelap Jamie yang mungkin tidak disedari oleh dirinya sendiri.

Segalanya mula terungkai apabila antagonis itu mula bertindak secara kasar dan biadap terhadap Briony. Kanak-kanak itu juga menegaskan bahawa dia tidak akan mengikut arahan sesiapa.

Babak ini seolah-olah menunjukkan bahawa Jamie mempunyai naluri untuk berasa berkuasa terhadap seseorang. Dia juga pernah menyatakan bahawa dia berharap untuk menghampiri mangsa yang kelihatan lemah akibat pernah dibuli.

Namun Jamie menerusi panggilan telefon akhirnya memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia akan mengaku bersalah, membuatkan bapanya berasa amat terkejut.

Sumber: Netflix

Bukan Hanya Ibu Ayah Pelaku, Penonton Perlu Bersama Muhasabah Didikan Buat Anak

Menghampiri babak terakhir, ibu ayah Jamie dilihat bersama-sama muhasabah tentang cara didikan mereka yang mungkin membuatkan kanak-kanak lelaki itu bertindak sedemikian.

Satu titik utama yang menjadi perhatian adalah apabila ibu Jamie, Manda, berkata mereka sepatutnya mengawasi penggunaan komputer kanak-kanak lelaki itu.

Dalam masa sama, Eddie turut mendedahkan bagaimana sewaktu kecil dia kerap dipukul dan dikasari oleh bapanya sendiri. Sejarah hidupnya itu membuatkan dia tidak sanggup untuk memukul anak-anaknya.

Namun timbul satu persoalan yang membelenggu bukan sahaja Eddie, tetapi juga dalam kalangan penonton.

Bagaimana individu dibesarkan oleh ayah yang kejam menjadi seorang yang baik, manakala anaknya yang ditatang bagai minyak yang penuh bertindak sehingga membunuh anak perempuan orang lain?

“Saya minta maaf anak. Saya patut buat lebih baik,” kata-kata terakhir Eddie yang diucapkan ketika babak terakhir di bilik Jamie sememangnya menjadi satu tamparan kepada penonton.

Sumber: Netflix

Adolescence Ketengahkan Bahawa Pelaku Juga Boleh Menjadi Mangsa

Siri Adolescence memberi tumpuan dalam merungkai sebab mengapa seorang kanak-kanak lelaki boleh bertindak di luar kawalan sehingga membunuh seorang kanak-kanak perempuan.

Ini bukanlah kes mudah di mana keganasan dilakukan atas sebab pergaduhan atau secara rawak, sebaliknya mengetengahkan tentang masalah sosio yang berlaku lebih-lebih lagi disebabkan oleh pendedahan kepada sub budaya tertentu di media sosial.

Namun dalam masa sama, kisah ini juga tidak mengetepikan bagaimana seorang kanak-kanak yang bertindak sedemikian boleh menjadi seorang mangsa sendiri, dengan kebiasaannya orang terdekat sebagai pelaku.

Seperti dalam satu babak, detektif telah merujuk kepada kes yang berbeza di mana seorang kanak-kanak lelaki yang ditahan akhirnya didapati telah dianiaya oleh bapanya sendiri.

Sumber: Netflix

Jurang Antara Ibu Bapa & Anak, Setiap Emoji Di Media Sosial Ada Maksud Tertentu

Satu babak di dalam siri ini turut mendedahkan jurang yang wujud antara ibu ayah dan generasi muda, salah satunya menerusi penggunaan emoji di media sosial.

Detektif yang mengendalikan kes itu sendiri hanya memahami maksud sebenar di sebalik emoji yang ditinggalkan oleh mangsa di ruangan komen di Instagram Jamie selepas diterangkan oleh anak lelakinya.

Antara emoji tersebut adalah ‘red pill’ (💊). Seperti dalam filem ‘The Matrix’ ia bermakna mereka melihat kebenaran dan memanggil golongan lelaki agar bertindak segera sebagai sebahagian daripada manosphere.

Emoji red pill yang digabungkan bersama letupan (💥) pula secara jelas mengatakan bahawa seseorang itu merupakan incel (involuntary celibate) iaitu tidak mampu menarik perhatian wanita.

Di samping itu, emoji ‘100’ (💯) merujuk kepada ‘peraturan 80/20’ yang bermaksud 80% wanita tertarik kepada hanya 20% lelaki. Kebiasaannya golongan incel turut bersikap ganas terhadap 20% lelaki yang mendapat perhatian wanita ini.

Sumber: Netflix

Baca Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak Lelaki Semakin Agresif, Pakar Dedah Bahaya Ideologi ‘Red Pill’

Rakaman ‘One Shot’ Buatkan Penonton Rasa Emosi Pelakon Lebih Jelas

Bagi para peminat filem, aspek teknikal menjadi salah satu tarikan apabila setiap babak dalam satu episod dirakam secara ‘one shot’. Ini bermakna tiada sebarang potongan antara babak (cut scene) dengan rakaman kamera bersambungan dari satu watak ke watak yang lain.

Namun perubahan babak jelas kelihatan menerusi peralihan latar belakang dan watak lakonan.

Rakaman one shot ini juga mengingatkan kita kepada pementasan teater, di mana para pelakon tidak boleh melakukan kesalahan dengan emosi ‘raw’ yang ditunjukkan lebih menyakinkan penonton.

Kehebatan Adolescence ini tidak dapat dinafikan lagi apabila berjaya meraih lapan anugerah di Anugerah Emmy 2025 iaitu:

  • Outstanding Limited or Anthology Series
  • Outstanding Lead Actor in a Limited or Anthology Series or Movie (Stephen Graham)
  • Outstanding Supporting Actor in a Limited or Anthology Series or Movie (Owen Cooper)
  • Outstanding Supporting Actress in a Limited or Anthology Series or Movie (Erin Doherty)
  • Outstanding Directing for a Limited or Anthology Series or Movie (Philip Barantini)
  • Outstanding Writing for a Limited or Anthology Series or Movie (Jack Thorne dan Stephen Graham)
  • Outstanding Casting for a Limited or Anthology Series or Movie (Shaheen Baig)
  • Outstanding Cinematography for a Limited or Anthology Series or Movie (Matthew Lewis)

Sub Budaya Diangkat Oleh Adolescence Turut Terjadi Dalam Negara

Kisah Adolescence sememangnya tidak terhenti di sebalik skrin sahaja dan telah menyentuh perasaan para penonton terutamanya mereka yang bergelar ibu ayah.

Isu yang diangkatkan juga amat berkait dengan keadaan sosio di dalam negara yang rata-ratanya masih bersifat membenci wanita atau dalam kata mudahnya, misogyny.

Ideologi sub budaya manosphere yang kerap kali dilontarkan dalam siri itu seperti incel dan red pill, seakan menjadi ingatan buat ibu ayah untuk kerap memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka, terutamanya lelaki.

Buat pengikut ideologi sedemikian, mereka menganggap perempuan atau wanita yang menolak luahan hati mereka layak diserang, malah dibunuh.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd