‘Let Me Go’ Teroka Pilihan Antara Cita-Cita & Keluarga [Review]
Pementasan ‘Let Me Go’ merupakan sebahagian daripada Praktikum Produksi Ijazah Konservatori Seni Persembahan, Taylor’s University & The Actors Studio (TUTAS).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap daripada kita pasti memasang impian dan cita-cita sendiri, sama ada untuk menjadi seorang profesional, pekerja kolar biru ataupun aktivis dalam bidang seni dan sosial.
Namun kadangkala, apa yang kita impikan tidak semestinya mendapat persetujuan ibu ayah atas pelbagai alasan termasuklah demi memikirkan keselamatan diri kita.
Mungkin ada yang boleh menerima hakikat itu, tetapi ada juga yang tetap berkeras kepala mempertahankan apa yang diingini.
TUTAS Mempersembahkan ‘Let Me Go’ Di KLPAC
Itulah yang dipertontonkan kepada para hadirin menerusi pementasan teater ‘Let Me Go’ yang berlangsung pada 11 hingga 13 Julai lalu.
Pementasan yang diadakan di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) ini merupakan sebahagian daripada Praktikum Produksi Ijazah Konservatori Seni Persembahan, Taylor’s University & The Actors Studio (TUTAS).
Ditulis oleh Mark Beau de Silva dengan pelajar ijazah konservatori Dhakshayni Jegatheeswaran sebagai penulis bersama, Let Me Go menyoroti kisah seorang pelakon wanita muda dari Malaysia yang bercita-cita untuk mengembangkan sayapnya di Hollywood.
Di bawah arahan Christopher Ling, pementasan ini dibintangi Dhakshayni yang lebih dikenali sebagai Dhakshu, dengan bantuan pelakon sampingan hebat Lakshmi Ahrunagiry, Perassath dan Tania Ashwini.
Let Me Go Catat Sejarah Sebagai Pementasan India Pertama Di KLPAC
Team TRP telah dijemput ke malam pratonton pada 11 Julai lalu dan kami berpeluang menyaksikan sendiri pementasan India pertama yang diadakan di KLPAC.
Tirai dibuka dengan watak utama, Nira, yang mempersembahan satu tarian tradisional India.
Aksi ini memberi peluang kepada para hadirin untuk menghargai budaya itu, sekaligus meningkatkan rasa keterujaan dengan kisah yang bakal dipentaskan.
Kemudian, ahli keluarga Nira iaitu ibu, ayah dan ibu saudaranya segera diperkenalkan dalam pementasan terbabit, sebelum konflik segera timbul.
Walaupun pengenalan konflik awal pada permulaan cerita, namun ianya penting sebagai asas kepada keseluruhan kisah ini.

Pementasan Bawa Isu Warna Kulit Dalam Produksi Filem Ke Hadapan
Konflik timbul apabila ibu saudaranya tidak membenarkan Nira berhijrah ke AS demi mencapai cita-citanya dalam bidang lakonan kerana merisaukan keselamatannya. Perkara ini kemudiannya turut dipersetujui oleh ibunya.
Penting untuk tahu bahawa Nira memilih jalan itu kerana tidak mendapat peluang yang secukupnya di negara sendiri.
Satu isu penting yang diangkat oleh Let Me Go adalah bagaimana produksi filem gemar memilih pelakon berdasarkan kepada warna kulit dan bukannya dengan menilai kebolehan mereka.
Ini banyak terjadi dalam dunia sebenar apabila produksi turut mengutamakan pelakon dengan wajah yang dikatakan lebih ‘laku’.
Dhakshu yang memainkan watak Nira turut berdepan sendiri stigma tentang seorang bangsa India berkulit gelap berbanding kulit cerah dalam produksi filem dan iklan.
“Sesetengah iklan tertulis ‘India berkulit cerah’, dan sesetengahnya tidak mahu India sama sekali. Sebaliknya mereka mahu Caucasia dan Pan-Asia walaupun iklan tersebut adalah untuk pasaran Malaysia,” katanya dalam satu temu bual bersama TRP.

Let Me Go Paparkan Konflik Antara Anak & Ibu
Rasa sayang dan cintanya seorang ibu terhadap seorang anak turut diserlahkan dalam pementasan ini apabila Nira dihalang oleh ibunya daripada berhijrah ke AS atas dasar keselamatan.
Namun secara tidak sedar, niat untuk melindungi anaknya itu menyebabkan Nira berasa terkongkong dan semakin menjauhi ibunya.
Pengarah berjaya menunjukkan garisan pemisah antara ibu dan anak apabila Nira ingin menaiki kapal terbang ke AS tanpa pengetahuan ibunya, yang dikiaskan menerusi larian di sekeliling pentas.

Let Me Go Beri ‘Homage’ Pada Michelle Yeoh
Lakonan yang ditonjolkan oleh barisan pelakon sememangnya memaut hati para penonton, apatah lagi apabila mereka semua mempunyai keserasian antara satu sama lain.
Ibu, ayah dan ibu saudara Nira beraksi betul-betul seperti ahli keluarga dalam kebanyakan keluarga biasa.
Dalam masa sama, mereka juga hebat dalam memainkan watak-watak kecil lain dan tidak kekok dalam transisi mereka. Siap boleh tukar baju dengan cepat!
Pementasan ini juga boleh dikatakan separa muzikal apabila beberapa muzik dengan skor original turut disertakan, sekaligus memberi feel yang lebih santai dalam kalangan penonton.
Walaupun isu yang diangkat sebenarnya agak berat dan mendalam, namun pengarah tidak lupa untuk mencuit hati para penonton dengan saat-saat yang kelakar.
Let Me Go turut memberi penghormatan kepada pelakon antarabangsa terkenal Tan Sri Michelle Yeoh yang menjadi pelakon pertama dari Asia memenangi anugerah Oscars.

Baca Artikel Berkaitan: Michelle Yeoh Jadi Rakyat Malaysia Pertama Menang Oscars. Tahniah!
Dari segi set dan props, pelakon menggunakan sepenuhnya susunan dan hiasan yang disediakan di atas pentas.
Malah pelakon turut terlibat dalam susun atur apabila mengosongkan pentas pada akhir pementasan bagi memberi fokus kepada watak utama ketika itu.
Pada akhirnya, bagasi Nira yang ditinggalkan di tengah pentas seolah menjadi simbol bahawa segalanya boleh dimuatkan di dalam satu beg apabila seseorang memilih untuk berhijrah.

Let Me Go Kisah Yang Dekat Dengan Pelakon Utama
Bercakap kepada TRP, Dhakshu berkata Let Me Go merupakan kisah yang dekat dengan dirinya sendiri yang sememangnya bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon.
Walaupun barisan pelakon dibintangi oleh empat bakat berbangsa India, Dhakshu berkata pementasan itu bukanlah kisah masyarakat India semata-mata, sebaliknya satu kisah yang dipentaskan untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Orang tanya jika kami akan memakai sari dan baju punjabi dalam pementasan ini. Kami kata tidak, kerana kami tidak memakai begitu di rumah,” katanya.
Dhakshu juga mendedahkan bahawa dia belajar untuk menerima dan menghargai dirinya menerusi pementasan Let Me Go.
“Saya juga berterima kasih kepada barisan pelakon yang membantu saya sedar bahawa tiada masalah untuk menikmati kehidupan sementara berusaha untuk mencapai cita-cita,” katanya.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



