Maher Zain Buat Comeback Selepas 6 Tahun, Harga Konsert Di Malaysia Bermula RM158!
Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 Maher Zain ini akan diadakan selama dua hari di Malaysia iaitu pada 16 Ogos (Kuala Lumpur) dan 23 Ogos (Kota Kinabalu).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Selepas dikejutkan dengan konsert Inteam, rakyat Malaysia kini berasa teruja dengan pengumuman Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 oleh penyanyi nasyid antarabangsa terkenal, Maher Zain pula!
Sebut sahaja namanya, pasti anda akan terngiang-ngiang lirik lagu, “Barakallah hu lakuma, Wa baraka ‘alikuma, Wa jama’a baina kuma fii khair~”
Kalau anda nak tahu, ini merupakan kemunculan semulanya di Malaysia selepas enam tahun mengadakan konsert di negara ini. Ia juga merupakan persembahan pertamanya di sini selepas pandemik Covid-19.

Nasyid Hit Maher Zain Bakal Bergema Di KL & KK
Menerusi hantaran di laman TikTok miliknya, jelajah konsert ini akan diadakan di dua negara sahaja iaitu Malaysia dan Singapura.
Lebih istimewa lagi, penyanyi itu akan membuat persembahan di dua lokasi di negara ini iaitu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan dan Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu.
Menurut Maher, dia berasa sangat teruja untuk berada di Malaysia bagi menjayakan konsert istimewa itu sekaligus menghiburkan peminat yang sudah lama merindukan kemunculannya.

“Salam semua! Lama tak jumpa. Rindu sangat. Harap korang semua sihat. Dah terlalu lama (tidak jumpa), tetapi Ogos ni saya akan kembali ke Asia Tenggara, insya-Allah.
“Tak sabar nak kembali ke tempat yang sentiasa buat saya rasa macam dekat rumah sendiri. Jangan lupa tanda tarikh tu dalam kalendar!” katanya.
Tarikh jelajah konsert ini adalah seperti berikut:
📍 Kuala Lumpur (16 Ogos 2025): Stadium Hoki Nasional
📍 Singapura (21 Ogos 2025): Star Theatre
📍 Sabah (23 Ogos 2025): UMS

“Sudah enam tahun saya tidak berkunjung ke Malaysia dan syukur Alhamdulillah, akan datang semula pada Ogos nanti untuk menjayakan Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 ini.
“Saya gembira dan teruja menghiburkan peminat di Malaysia dan Singapura dengan lagu-lagu saya yang mungkin masih diingati ramai. Terima kasih kepada semua peminat,” katanya dalam satu sidang media semalam (11 Jun).

Malaysia Beri Impak Besar Dalam Kerjaya Maher Zain
Berbicara tentang karya seninya, Maher memberi kredit kepada peminat Malaysia yang tidak henti menyokong sehingga kini.
“Malaysia merupakan bab yang sangat penting dalam kerjaya saya. Mungkin lebih signifikan berbanding mana-mana negara lain di dunia.
“Hanya segelintir artis yang boleh menyatakan bahawa sesebuah negara telah memainkan peranan sebesar ini dalam membentuk permulaan kerjaya nyanyian mereka,” luah Maher.

Harga Tiket Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025, Maher Zain
Dianjurkan oleh Yayasan Tengku Abdullah (YTA), jualan tiket awam akan dibuka bermula esok (13 Jun) jam 12 tengahari bagi konsert di Kuala Lumpur dan juga Kota Kinabalu.
Berikut adalah senaraikan kategori tiket bersama harganya.
Stadium Hoki Nasional, Kuala Lumpur:
- VIP SOFA: RM988
- VIP: RM508
- GOLD: RM308
- CAT 1: RM408
- CAT 2: RM348
- CAT 3: RM298
- CAT 4: RM248
- CAT 5: RM198
- CAT 6: RM158

Dewan Canselor UMS, Kota Kinabalu:
- VVIP: RM498
- VIP: RM458
- DIAMOND: RM398
- PLATINUM: RM358
- GOLD: RM258

Untuk pembelian tiket, anda boleh layari laman web [DI SINI].
Para Peminat Tak Sabar Nak Serbu Konsert Maher Zain Ogos Ini
Menerusi tinjauan kami, para peminat dilihat teruja dengan pengumuman konsert ini.
“Saya dah tunggu ni lama sangat dah! Akhirnya ada jugak, harga tiket tolonglah murah. Nak pergi ni,” kata seorang pengguna TikTok.
“Ni kali ke-2 akan pergi. Pernah hadir konsert Maher Zain di UMS. Macam mimpi dapat jumpa depan-depan,” ujar seorang lagi wanita.
Malah ramai juga cemburu dengan pelajar-pelajar UMS kerana penganjuran konsert yang begitu dekat bersama mereka.
Sementara itu, ramai individu yang terlepas merebut tiket Inteam dilihat bersemangat untuk ke konsert Maher Zain.
“Konsert Inteam dah kalah battle. Yang ni tolonglah (dapat),” kata seorang lelaki.






Lagu & Nasyid Hit Maher Zain Sejak Debut
Buat para peminat semua, anda boleh menjangkakan beberapa persembahan beberapa lagu popular Maher Zain pada hari konsert dianjurkan. Antaranya:
#1. Insha Allah [2009]
#2. Baraka Allahu Lakuma [2009]
#3. Thank You Allah [2009]
Buat mereka yang sudah terlupa di sini kami kongsikan juga beberapa lagu dan nasyid hit Maher Zain lain yang membuatkan anda lebih berasa dekat dengan ajaran dan dakwah Islam.
- Ya Nabi Salam Alayka [2009]
- Assalamu Alayka [2012]
- Ramadan [2013]
- One [2016]
- Mawlaya [2019]
- Nour Ala Nour [2021]
- Rahmatun Lil’Alameen [2022]
Biografi Ringkas Maher Zain Dalam Industri Nasyid
Maher Zain yang kini berumur 43 dikenali ramai dengan lagu-lagu Islamiknya. Maher dilahirkan di Tripoli, Lubnan sebelum berpindah ke Sweden seawal usia 8 tahun.
Kalau anda nak tahu, penyanyi ini mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa dari sebuah universiti di tempat membesarnya.

Sebelum bergelar penyanyi nasyid, Maher Zain bekerja sebagai penerbit muzik di industri muzik barat. Dia juga pernah bekerjasama dengan RedOne, penerbit lagu terkenal buat Akon dan Lady Gaga.
Namun selepas mendalami ilmu agama, Maher meninggalkan dunia hiburan mainstream dan mula menghasilkan muzik berunsur Islamik dan lebih positif.
Seperti yang kita tahu, ramai di kalangan rakyat Malaysia membesar mendengar lagu-lagunya terutamanya yang dipasang ketika majlis perkahwinan, sambutan Aidilfitri dan saat-saat renungan harian.

Untuk info, lagu Insha Allah yang menarik perhatian rakyat Malaysia hingga kini merupakan lagu debutnya.
Selain fokus dalam industri tersebut, dia juga giat menyertai kerja-kerja amal dan kemanusiaan.
Baca Artikel Berkaitan: Maher Zain Coming Down To SEA In Comeback Concert
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.Â