Now Reading
JKKN Perak Pentaskan ‘Alang Rentak Seribu’, Kekal Relevan Walau Lebih 50 Tahun

JKKN Perak Pentaskan ‘Alang Rentak Seribu’, Kekal Relevan Walau Lebih 50 Tahun

‘Alang Rentak Seribu’ merupakan sebuah Karya Agung oleh Seniman Negara, Allahyarham Datuk Syed Alwi Bin Syed Hassan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara yang menjadi pertembungan pelbagai budaya yang datang dari lain-lain bangsa dan agama.

Di samping itu, wujud juga budaya dan nilai yang berbeza antara mereka yang menetap di luar bandar dan di tengahnya.

Inilah yang digarapkan dalam sebuah Karya Agung ‘Alang Rentak Seribu’ oleh Seniman Negara, Allahyarham Datuk Syed Alwi Bin Syed Hassan.

Kini, skrip ini telah diolah kembali dan bakal dipentaskan semula di negeri Perak walaupun setelah lebih 50 tahun diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 1973. Para peminat teater dan budaya pasti tidak mahu melepaskan peluang ini untuk menontonnya!


‘Alang Rentak Seribu’ Angkat Isu Pertembungan Budaya

Team TRP telah dijemput untuk menghadiri preview media teater Karya Agung ‘Alang Rentak Seribu’ malam semalam (4 November) di Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Perak.

Diolah dan diarahkan oleh Ard Omar, pementasan ini menampilkan pelakon hebat Azizah Mahzan, Rosli Rahman Adam, Faris Jamhari, Pak Chu Raja Lawak dan ramai lagi.

Karya ini mengisahkan tentang pertembungan nilai dan pendapat yang berlaku apabila krew filem dari Kuala Lumpur datang ke kampung untuk tujuan penggambaran filem yang mengisahkan kehidupan di kampung pada ketiga itu.

Namun, seorang pemuda digelar Alang yang dilantik sebagai Penolong Pengarah bijak mengawal segala permasalahan yang timbul.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

‘Alang Rentak Seribu’ Tampilkan Budaya Perak

Pementasan ‘Alang Rentak Seribu’ di Perak dilihat bersesuaian dengan asal-usul penulis skrip asalnya iaitu dari Taiping.

Boleh dikatakan teater itu menjadi satu ‘platform’ bagi menampilkan pelbagai budaya di Perak yang termasuk dialek pelbagai daerahnya serta muzik dan tarian Zapin Gambus Padang Changkat.

Para peminat budaya Nusantara serta masyarakat umum dapat menyaksikan sendiri keunikan yang ada di negeri Perak melalui pementasan teater ini.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Majoriti Barisan Produksi Ialah Anak Negeri Perak

Menurut Pengarah JKKN Perak, Abd Rashid Bin Abdullah, teater ‘Alang Rentak Seribu’ merupakan sebahagian daripada pementasan Karya Agung yang sedang berlangsung di seluruh negara.

Dia berkata pemilihan skrip dibuat memandangkan idea yang ingin disampaikan pada ketika itu masih boleh dikaitkan sehingga kini.

Juga merupakan Penerbit Bersama ‘Alang Rentak Seribu’, Rashid berkata majoriti barisan produksi teater tersebut merupakan anak jati negeri Perak.

Tambahnya, perkara ini mencapai misi dalam menyediakan peluang kepada penggiat seni, khususnya golongan belia, untuk terlibat dalam sebuah produksi Teater Karya Agung.

Di samping itu, pihak JKKN turut bermatlamat untuk mencipta pelancongan domestik dalam bidang teater. Kata Rashid, Perak tidak pernah ketandusan idea untuk pementasan teater dengan banyak siri pementasan yang telah dirancang.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Watak Ecah Semiotik Tempoh Waktu Pementasan

Pengarah Ard Omar menjelaskan pementasan Alang Rentak Seribu kali ini telah diolah sebanyak 40% berbanding skrip asal yang boleh mencecah lebih tiga jam jika dipentaskan.

Bercakap dari segi falsafahnya, watak Ecah yang dibawa oleh satu-satunya pelakon cilik, Nur Adriana Anissa, menjadi semiotik kepada waktu di dalam pementasan itu.

Pada awal pementasan, dapat dilihat Ecah tidak mahu ke sekolah pada waktu pagi (sekitar 7.15am). Kemudian di akhir penceritaan, dia kembali pulang ke rumah pada waktu rehat sekolah (10.30am) yang menandakan segala yang berlaku di kampung itu terjadi dalam lingkungan masa kira-kira tiga jam tersebut.

Ard juga menegaskan bahawa walaupun skrip diolah, namun tiada sebarang dialog atau pelakuan lain yang ditambah.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

“Jurang Terjadi Akibat Keegoan & Ketaksuban” – Ard Omar

Apabila ditanya, Ard berkata skrip tersebut masih relevan dipentaskan kerana dapat menjadi didikan dan teladan kepada masyarakat berkenaan pertembungan budaya bandar dan luar bandar.

Bagi pengarah itu, walaupun pertembungan ini tidak begitu ketara di Malaysia, namun masih berlaku akibat keegoan dan ketaksuban kepada sesuatu perkara yang membentuk jurang antara kedua-dua kelompok itu.

Oleh itu, orang ramai di sekitar bandar Ipoh tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menyaksikan dan mendalami sendiri makna di sebalik Karya Agung ini.

Bertempat di Auditorium JKKN Perak, pementasan ‘Alang Rentak Seribu’ akan berlangsung pada 8 dan 9 November (Jumaat dan Sabtu), jam 8.30 malam.

Tiket boleh didapatkan pada harga RM20, namun hanya mereka yang berumur 15 tahun ke atas dibenarkan untuk menonton teater tersebut.

Pementasan akan turut dimeriahkan dengan aktiviti pada sebelah siang yang merangkumi pertandingan mewarna, kelas gasing dan klinik teater kanak-kanak.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd