Now Reading
Ada Sekolah Berhantu Di “Screamfest 3” Lost World Of Tambun?!

Ada Sekolah Berhantu Di “Screamfest 3” Lost World Of Tambun?!

Antara tarikan di Screamfest 3 ialah ‘Blok Histeria’ yang menggabungkan beberapa kawasan sekolah seperti kelas dan kantin, serta ‘Gua Demerit’ di mana anda perlu menjawab soalan peperiksaan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Jika Sunway Lagoon terkenal dengan acara Nights of Fright yang dijalankan sepanjang bulan Oktober, Sunway Lost World of Tambun di Ipoh pula terkenal dengan Screamfest.

Menjadi antara acara yang dinanti-nantikan setiap kali tiba musim Halloween, Screamfest menghidangkan ketakutan bagi para pengunjung sehingga kering tekak kerana menjerit.

Tahun ini merupakan edisi ketiga Screamfest ini yang kembali dengan tema ‘School of Horror’.


Idea Screamfest 3 Timbul Dari Keinginan Rapatkan Jurang Generasi Keluarga

Screamfest 3: The School Of Horror tampil lain daripada yang lain apabila menggabungkan legenda tempatan dengan persekitaran sekolah.

Berbeza dengan Nights of Fright di Sunway Lagoon, Screamfest bersifat lebih mesra keluarga, dengan kanak-kanak boleh sama-sama menyertai beberapa tarikan yang bersesuaian.

Pengurus Besar Kanan Sunway Theme Parks, Nurul Nuzairi, berkata inspirasi tema bagi Screamfest kali ini timbul daripada keinginannya untuk merapatkan jurang antara berlainan generasi.

Katanya, dia melihat tema ‘hantu’ sebagai satu titik persamaan yang dapat menghubungkan antara lain-lain generasi. Walaupun berpuluh tahun telah berlalu, kisah-kisah seram di sekolah masih wujud dan kekal sama.

“Bila bercakap dengan anak-anak, kalau tentang IT mungkin ibu bapa tidak faham. Tetapi tentang hantu di sekolah, ia merupakan titik persamaan. Itulah inspirasi saya yang dapati daripada anak saya sendiri,” jelasnya.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Bawa Kelainan Dengan ‘Padang Sekolah’

Dengan lapan daya tarikan di Screamfest, setiapnya merupakan sebahagian daripada koleksi kisah-kisah seram di sekolah. Salah satu tarikan yang membawa sedikit kelainan adalah acara sukan di padang sekolah.

Bagi Nurul yang sebelum ini sering terlibat dalam sukan, dia merasakan pengunjung boleh ‘show-off’ kehebatan mereka di padang sekolah itu. Pengunjung boleh hadir ke sana dan bersaing dengan watak hantu dalam acara sukan balapan, hoki serta bola keranjang.

Tambah Nurul lagi, pemilihan sukan itu sendiri adalah berdasarkan kepada kebiasaan di Ipoh. Hoki dipilih kerana ia terkenal di Perak, manakala pemilihan bola keranjang adalah berdasarkan kepada populasi kaum Cina yang banyak di Ipoh, yang sering dikaitkan dengan sukan tersebut.

Padang sekolah itu juga dijadikan sebagai tempat persembahan bagi Screamfest, sama seperti di kebanyakan sekolah.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Tandas Betul Diubah Suai Menjadi ‘Jamban Puaka’

Di samping itu, Nurul berkata tarikan ‘Denai Misteri’ diinspirasikan daripada perjalanan ketika ke sekolah di awal waktu pagi, terutamanya sebelum terbit matahari.

Kalau dahulu di sekolah, pasti ada kisah sebuah tandas yang menyeramkan dan tidak pernah digunakan oleh sesiapa kan? Jika anda ingin ke tandas di Screamfest, jangan terkejut apabila melihat ia dalam keadaan yang seram kerana telah diubah suai menjadi salah satu tarikan iaitu ‘Jamban Puaka’.

Menurut Nurul, tandas itu dijadikan sebagai salah satu tarikan bagi Screamfest kerana sudah kurang pengunjung yang menggunakannya walaupun pada siang hari. Kalau anda nak tahu kenapa, kenalah datang sendiri!

Tambahnya lagi, persembahan yang sering diadakan setiap malam di Luminous Forest Night Park juga akan membawa kelainan apabila bergabung dengan Screamfest.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Satu Tiket Untuk Semua Tarikan Di LWOT

Screamfest 3: The School Of Horror menyasarkan kedatangan 50,000 pengunjung serta untuk menjadi edisi yang lebih imersif dan menakutkan berbanding yang sebelumnya.

“Kami amat berhati-hati ketika merancang setiap perincian Screamfest 3: The School Of Horror dengan mengambil kira kedua-dua pengunjung tempatan dan antarabangsa. Dengan menggabungkan elemen kisah sekolah seram di Malaysia, kami menawarkan sesuatu yang bukan sahaja menakutkan, tetapi signifikan dari segi budaya” kata Nurul.

Apa yang menariknya adalah pengunjung boleh menyertai kesemua aktiviti ini dengan hanya satu tiket kemasukan ke Lost World of Tambun.

Jadi buat mereka yang berminat untuk berkunjung ke Screamfest, bolehlah mengambil kesempatan ini untuk turut bersuka-ria di taman tema dan ‘petting zoo’ pada sebelah pagi.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Ponteng Sekolah, Jawab Exam & Banyak Lagi Aktiviti Zaman Sekolah

Team kami berpeluang ke Screamfest 3 bagi merasai sendiri pengalaman berdepan dengan kisah-kisah seram di sekolah.

Ia sememangnya satu pengalaman yang mengimbau memori kerana kami dapat melihat watak memakai baju sekolah, malah pelajar bersenam di padang sekolah dan sedang berkhemah.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Selepas bersurai dari padang sekolah, kami memulakan perjalanan dengan menyertai ‘Ponteng Express’. Ingatkan boleh enjoy bila ponteng sekolah, tapi lain pula yang terjadi apabila kami dikejar hantu!

Di Denai Misteri pula, kami terpaksa berdepan dengan pelbagai watak hantu-hantu klasik termasuk cik Ponti, nenek kebayan dan pocong. Betul-betul seram!

Orang ramai pasti dapat mengingati kembali pengalaman ketika bergelar murid apabila singgah ke ‘Blok Histeria’ yang menggabungkan beberapa kawasan sekolah seperti kelas dan kantin.

Sumber gambar: Sharifah/ TRP

Malah di ‘Gua Demerit’, anda perlu berdepan semula dengan ketakutan mengambil kad laporan dan menjawab peperiksaan di sekolah. Kalau tak lulus dalam empat mata pelajaran, anda mungkin akan terperangkap di sana.

Kelima-lima tarikan permainan juga dibuka sepanjang Screamfest. Salah satu daripadanya adalah permainan roller coaster yang diubah suai sebagai ‘Rombongan Ngeri’ dan dikelilingi watak orang minyak.

Bagi mereka yang berminat, Screamfest 3: The School Of Horror akan berlangsung pada setiap Jumaat hingga Ahad, sehingga 31 Oktober ini. Yang bestnya, pengunjung juga boleh singgah ke Hot Springs & Night Park dengan tiket yang sama.

Sumber gambar: STP

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd