Now Reading
Kolaborasi Astro Shaw x Wonda Coffee Lancar Kopi Edisi Kluang, Perkenal Sut Keluang Man

Kolaborasi Astro Shaw x Wonda Coffee Lancar Kopi Edisi Kluang, Perkenal Sut Keluang Man

Sewaktu pelancaran, Nas-T turut tampil memakai sut rasmi baru Keluang Man itu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak pengumuman filem Keluang Man tempoh hari, orang ramai terutamanya para peminat sudah tentu menanti-nantikan bagaimana rupa sut wira kegemaran rakyat Malaysia ini.

Hari ini (23 Ogos), penerbit filem Astro Shaw bersama jenama kopi sedia untuk diminum (RTD), Wonda Coffee julung kali telah melancarkan sut rasmi Keluang Man.

Sut Keluang Man yang direka bentuk dengan sentuhan dramatik, mewakili transformasi berani dalam sejarah watak tersebut.

Dalam pelancaran itu juga, aktor utama bagi filem tersebut yang membawa watak Keluang Man, Nas Muammar Zar atau lebih mesra dikenali sebagai Nas-T turut tampil memakai sut lengkap itu.

Sumber: Nur Hazwani/TRP

Nas-T Sanggup Berdiet Demi Jayakan Watak

Dalam satu temubual bersama pelakon itu, Nas-T berkata dia amat teruja kerana berpeluang berkongsi rupa sut gah ini kepada orang ramai. Walaupun terdapat pelbagai cabaran melakukan aksi penggambaran sambil memakai sut itu, namun dia gembira dengan rupa sut rasmi Keluang Man ini.

Sepanjang proses mereka bentuk sut berkenaan, dia berkata pihak Keluang Man telah menghasilkan empat prototaip bagi mendapatkan sut sempurna yang selesa dan sesuai dengan tubuh badannya.

Menurut Nas, bahagian sut kegemarannya adalah topeng muka. Bagi mendapatkan penampilan terbaik memakai topeng itu, Nas-T berkata dia mula menjaga diet pemakanan dan tidak mengambil hidangan nasi demi menjayakan watak.

Sumber: Nur Hazwani/TRP

Nas dalam masa sama berkata dia telah lama menantikan saat ini kerana watak untuk menjadi adiwira Keluang Man adalah impiannya.

Malah dia sendiri mengakui telah pergi ke uji bakat bagi mendapatkan watak animasi kegemaran ramai ini.


Keluang Man x Wonda Coffee

Sesi pelancaran ini juga menyaksikan kerjasama dinamik antara dua jenama ikonik tempatan iaitu Wonda Coffee dan juga Keluang Man.

Wonda Coffee bersama Astro Shaw dengan bangganya melancarkan ‘Wonda Kopi Edisi Kluang’. Kopi ala Kluang pertama yang disajikan dalam pakej RTD kini tersedia di seluruh negara.

Sumber: Nur Hazwani/TRP

Kerjasama strategik antara Astro Shaw dan Wonda Coffee menandakan satu detik penting bagi peminat yang tidak sabar menantikan tayangan filem Keluang Man pada tahun 2025.

Pelancaran ‘Wonda Kopi Edisi Kluang’ turut menampilkan wira ikonik pada tinnya untuk meraikan gabungan harmoni warisan tempatan dengan inovasi moden.


‘Wonda Kopi Edisi Kluang’ Kaya Dengan Tongkat Ali

‘Wonda Kopi Edisi Kluang’ adalah pengiktirafan kepada budaya kopi Kluang yang terkenal, menawarkan kelazatan aroma kopi yang kuat dan mencerminkan tradisi kopi bersejarah di kawasan ini.

Diperkaya dengan sifat menyegarkan Tongkat Ali, kopi ini bukan sahaja mencerminkan watak kukuh Keluang Man tetapi juga menggambarkan kekuatan dan vitaliti superhero Malaysia.

Sumber: Nur Hazwani/TRP

“Kami sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada pelancaran sut baharu Keluang Man, yang melambangkan bab baru yang berani bagi watak legenda ini.

“Sama seperti sut yang menghubungkan tradisi dengan modeniti, Wonda Kopi Edisi Kluang kami menggabungkan rasa kaya budaya kopi Malaysia dengan sentuhan inovasi, menangkap intipati ertinya menjadi benar-benar Malaysia,” kata Naib Presiden Pemasaran di Etika Sdn Bhd, Amy Gan.


Nantikan Tayangan Filem Keluang Man Pada 2025

Filem aksi superhero ikonik yang paling dinantikan di Malaysia, Keluang Man secara rasmi telah memulakan penggambaran pada 4 Mei 2024.

Filem ini diarahkan oleh Anwari Ashraf dengan barisan pelakon tempatan terkenal termasuk Nas-T, Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin, dan ramai lagi.

Peminat setia dan penonton baru boleh menonton siri animasi popular dari musim pertama hingga ketiga [DI SINI] sambil menantikan tayangan filemnya di pawagam pada tahun 2025.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd