“Sangka Baik Dengan Allah” – Siti Nurhaliza Kongsi Detik Manis Ceburi Bidang Seni Sejak Umur 15 Tahun
Menurut Siti atau lebih mesra dikenali sebagai Tokti, uji bakat nyanyiannya yang pertama adalah di Bintang HMI pada 1995.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bila sebut sahaja nama Datuk Siti Nurhaliza sudah tentu rata-rata rakyat Malaysia mengenali penyanyi tersohor ini.
Kalau anda nak tahu, Siti bakal mengadakan konsert Cinta Di Awan pada Sabtu ini, 10 Ogos 2024 di Resorts World Genting, Genting Highlands.
Walaupun Siti sudah mula dikenali sejak bertahun lalu, tetapi tidak semua generasi masa kini yang mengetahui kisah hidupnya sebelum bergelar penyanyi. Buat anda yang ingin mengenali Siti dengan lebih mendalam, baca artikel ini sampai habis ya!
Jadi Pegawai Polis Merupakan Cita-cita Awal Siti Nurhaliza
Baru-baru ini, Siti Nurhaliza telah tampil dalam podcast dikenali sebagai Apa Cerita? di platform YouTube dan berkongsi serba sedikit tentang kehidupannya.
Menurut Siti yang juga dikenali sebagai Mak Iti, dia merupakan anak jati Temerloh Pahang dan membesar di Kuala Lipis. Pada awalnya, dia bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai polis bagi mengikut langkah arwah ayahnya.
Namun dia bertukar fikiran selepas menyertai pelbagai pertandingan menyanyi semasa di peringkat sekolah. Jelasnya, ramai ahli keluarga dari pihak ibunya juga mempunyai bakat dan kemahiran untuk menyanyi serta membuat persembahan.
“Menyanyi tu dah jadi darah daging,” ujarnya.

Siapa sangka, penyanyi yang kelihatan lemah lembut itu juga sangat aktif di alam persekolahan di mana kebanyakan aktviti akan disertai olehnya.
“Belajar-belajar juga. Tapi Mak Iti sama ratalah. Belajar, bersukan dan masuk persatuan. Pernah juga dapat Anugerah Pelajar Keterampilan di sekolah. Mak Iti rasa itu yang bina keyakinan dan kepimpinan dalam diri,” tambahnya lagi.
Kejayaan Dalam Bidang Seni Bermula Seawal 15 Tahun
Kemunculan Tokti dalam bidang nyanyian bermula sekitar umur 15 tahun di mana dia telah menyertai uji bakat Bintang HMI pada 1995 di RTM.
Berbekalkan keberanian buat yang terbaik je lah. Mak Iti habis je uji bakat nyanyi ‘Kaulah Segalanya’. Di situlah bermulanya, masuk pertandingan mingguan, bulanan, semi-final dan akhirnya juara. Dari detik itulah orang kenal siapa Siti Nurhaliza.
Siti Nurhaliza.
Sejak bergelar juara jugalah Siti mula mendapat tawaran dari syarikat-syarikat antarabangsa sebagai contoh Sony Records.
Tokti turut ditawar menjadi seorang selebriti di bawah Suria Records (SRC). Pihak syarikat rakaman tersebut telah memberikan Siti pengalaman pertama menyanyi dalam studio dengan lagu berjudul Camar Yang Pulang.
Ujar Siti, itu merupakan pelajaran pertamanya dengan mentor tentang bidang tersebut di mana penerbit rakaman Adnan Abu Hassan mengajar tentang kaedah menyanyi dengan betul yakni menggunakan perasaan.

Pengalaman pertama Tokti berdepan dengan kamera membuatkan dia berasa gementar pada mulanya. Namun dia semakin berani selepas terbiasa dengan melakukan persembahan depan orang ramai.
Antara momen terindah yang tidak boleh dilupakan olehnya adalah guru sekolah yang rapat dengannya akan membelikan Siti set baju untuk dipakai semasa pertandingan nyanyian mingguan.
Tak Pernah Terfikir Akan Jadi Penyanyi Tersohor
Jelas penyanyi kegemaran ramai itu, dia tidak pernah terfikir akan menjadi salah seorang penyanyi terkenal.
“Mak Iti sedar akan menjadi seorang penyanyi dan fokus dengan kerjaya Mak Iti selepas terima pelawaan jadi artis rakaman. Momen itulah Mak Iti kata, inilah kerjaya yang saya dah pilih tapi sebelum-sebelum tu impian nak jadi polis dan sebagainya.
“Tak terfikir nak jadi artis. Bila tiba je detik sign kontrak dengan SRC, Mak Iti letak dalam diri, ini kerjaya yang saya pilih. Saya kena buat yang terbaik. Dari situ Mak Iti tak pandang belakang dah.

Berbicara tentang persembahan nyanyian di depan Ratu Elizabeth II bersempena Sukan Komanwel 1998, Siti menyifatkan ia sebagai satu rezeki yang datang dari Allah SWT.
Lebih mencuri perhatian adalah umur Tokti pada ketika itu hanyalah mencecah umur 19 tahun sahaja.
“Buat persembahan di Komanwel adalah satu kenangan yang tak akan boleh dilupakan sepanjang kerjaya. Sebagai anak Malaysia kita bangga sebab jadi tuan rumah masa tu. Berkobar-kobarlah,” katanya.
Arwah Ayah Minta Siti Gunakan Nama Penuh Atas Pentas
Ramai juga yang bertanya mengapa Siti tidak memilih sebarang nama ‘glamour’ untuk dijadikan sebagai nama pentas sebaliknya menggunakan nama penuhnya sahaja.
Ulasnya, penggunaan nama tersebut mengikut pilihan arwah ayahnya.
Beri Kesenangan Kepada Keluarga Antara Faktor Siti Kekal Berusaha Dalam Kerjaya Nyanyian
Sama seperti insan yang lain, sudah tentu setiap yang dilakukan oleh anda mempunyai pasang surutnya. Kata penyanyi tersebut, terdapat momen di mana dia berasa penat, stres dan mengeluh tentang kerjaya dipilih.
Namun perkara yang membuatkan dirinya terus ke hadapan adalah apabila teringkatkan keluarganya.
“Nak bagi kesenangan dekat family. Itu yang Mak Iti cakap nak jadi artis kalau ada rezeki yang melimpah ke atau luar biasa, memang nak bagi dekat keluarga dan ibu bapa je.
“Sampai sekarang alhamdulillah walaupun semua dah besar tapi Mak Iti percaya setiap rezeki Mak Iti tu, ada rezeki adik-beradik,” kata Siti.
Darjah Kebesaran Disifatkan Sebagai Simbolik Kejayaan
Untuk info pada 2017 lalu, Siti menerima darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri dari Pahang.
Perkara itu disifatkan sebagai simbolik kejayaan Tokti selama ini selain merupakan tanggungjawab buatnya untuk memastikan kerjaya digalas boleh membanggakan orang ramai.
Penggunaan Media Sosial Jadi Cabaran Utama Buat Mak Iti
Tokti turut mendedahkan cabaran yang dilaluinya sepanjang berada dalam bidang seni yang mungkin orang ramai tidak tahu.
Antara cabaran utama adalah penggunaan media sosial di mana orang ramai bertindak sesuka hati tanpa kawalan sebagai contoh penipuan, penggunaan muka dan suara AI untuk lagu, gambar untuk tujuan promosi barangan dan banyak lagi.
“Kita boleh beritahu peminat supaya jangan terpengaruh tapi kehebatan AI tu kadangkala sampai orang masih percaya lagi,” ulasnya.
Siti Nurhaliza Sentiasa Sangka Baik Dengan Allah
Mungkin ramai juga di kalangan peminat yang teringin untuk mengetahui amalan oleh Mak Iti dalam kehidupan sehariannya. Jelasnya, dia mengamalkan selawat, zikir dan baca doa setiap kali melangkah keluar dari rumah.
“Dalam industri ni Mak Iti sering terdedah dan jumpa dengan ramai orang termasuk peminat. Meet and greet ada benda tak kena je, Mak Iti minta pada Allah untuk selalu jaga kita,” kata Siti.
Sementara itu dia juga berpagang teguh dengan prinsip bersangka baik dalam sesuatu perkara. Dengan cara itu, Allah akan permudahkan segala urusannya.
Sangkaan baik terhadap Pencipta juga membuahkan hasil apabila Siti akhirnya dikurniakan cahaya mata pertama, Siti Aafiyah selepas 11 tahun berumah tangga.
“Setiap orang diberi rezeki, mungkin rezeki Mat Iti dalam bidang nyanyian semua datang lepas satu, satu. Tapi Allah uji dengan zuriat yang mana perlu sabar 11 tahun. Setiap orang Allah bagi lebih dan kurang. Tapi jangan putus berdoa dan percaya,” ujarnya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram