Now Reading
[EKSKLUSIF] Flag Football: Sukan Dari Amerika Semakin Popular Di Malaysia

[EKSKLUSIF] Flag Football: Sukan Dari Amerika Semakin Popular Di Malaysia

Flag Football bakal muncul sebagai salah satu acara utama di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 kerana popularitinya yang meningkat.

In Brief
  • Flag Football, a safer alternative to American Football, is growing in popularity in Malaysia with six active teams currently competing.
  • Malaysia Flag Football National Team faces funding challenges but remains confident the sport can compete on the world stage.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


American football terkenal sebagai satu sukan yang memerlukan kekuatan, taktik dan kepantasan untuk menang perlawanannya.

Sukan yang sangat popular di Amerika Syarikat itu turut menghasilkan versi alternatif lebih selamat dikenali sebagai Flag Football.

Menariknya, Flag Football kini dilihat sebagai salah satu sukan baharu yang semakin popular dalam kalangan orang Malaysia.

Bagaimana Flag Football Boleh Wujud?

Flag Football. (Foto: NFL Play)

Menurut Under Armour, flag football mengekalkan hampir semua konsep American football, cuma pemain tidak dibenarkan untuk tackle atau bersentuhan secara disengajakan.

Permainan akan berhenti sebaik seorang defender berjaya menarik bendera yang disangkutkan pada tali pinggang pembawa bola (ball carrier).

Ia masih mengekalkan elemen seperti berlari, passing, menyepak dan menghalang pihak lawan.

Sukan ini diperkenalkan sebagai pilihan lebih selamat kerana majoriti pemain American Football kerap mengalami kecederaan kerana sifatnya yang kasar.

Flag Football Bakal Muncul Di Olimpik 2028

Menurut International Federation of American Football (IFAF), Flag Football kini dinikmati oleh 20 juta pemain di 200 buah negara.

Malah, popularitinya juga bakal melepasi American Football tidak lama lagi.

Flag Football juga bakal muncul sebagai salah satu acara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Pantas, eksplosif dan dinamik, format tanpa sentuhan American football ini akan membawa tenaga baharu yang menarik ke Sukan Olimpik menerusi kemunculan debutnya pada 2028,” kata pihak Olimpik.

Sukan Yang Semakin Popular Di Malaysia

Flag Football di Malaysia. (Foto: @mffnt.malaysia / Instagram)

Menurut The Malaysia Voice, Flag Football semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Walaupun masih di peringkat awal berbanding sukan kegemaran lain seperti bola sepak dan badminton, perkembangannya dilihat memberangsangkan.

Daya tarikan sukan ini bukan sekadar pada aspek keselamatan, tetapi juga sifatnya yang terbuka kepada semua.

TRP berpeluang menemu bual Shazwan dari Malaysia Flag Football National Team (MFFNT) dan seorang pemain bernama Sania.

Shazwan Shihab (kiri) dan Sania Nazira (kanan). (Foto: @shazwanshihab / Instagram, @sanianazira / Threads)

Bagi Shazwan, apa yang mula menarik perhatiannya ialah konsep Flag Football tersebut.

“Semakin lama saya bermain Flag Football. Semakin saya sedar betapa rapatnya hubungan terhasil bersama rakan sepasukan.

Ini kerana kita perlu bersedia sebelum setiap perlawanan, seolah-olah sedang mengulang kaji untuk peperiksaan. Sukan ini memerlukan IQ tinggi untuk menang dan segala aspek itu akan merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain,” katanya.

Manakala itu, Sania pula mempunyai tanggapan berbeza.

“Sukan ini sering dimainkan oleh lelaki dan saya mempunyai tanggapan bahawa ia kasar dan menakutkan.

“Setelah mencubanya, saya mendapati ia sangat seronok dan mempunyai banyak strategi menarik boleh digunakan.”

Shazwan mula mengenali Flag Football pada tahun 2023 selepas mengambil keputusan untuk berehat seketika di universiti.

Asalnya dia memilih untuk bermain ragbi semula. Namun, dia menyedari bahawa dirinya hilang keupayaan untuk melakukan tackle.

“Rakan saya mencadangkan saya mencuba flag football, yang digambarkannya sebagai sukan tanpa sentuhan, bersama kelab tempatannya, Nighthawks di USJ. Saya mencubanya dan terus jatuh cinta sejak itu,” katanya kepada TRP.

Seterusnya, dia menyertai pasukan kebangsaan selepas pulang dari United Kingdom, setelah menyaksikan sendiri perkembangan pesat sukan itu di sana.

Menurutnya, program kebangsaan ketika itu sedang melalui penstrukturan semula sehingga hampir tiada pasukan, lalu dia menawarkan diri untuk menguruskannya.

“Mewakili negara dalam sukan yang kita minat ialah impian ramai sejak kecil dan saya sendiri masih tidak percaya dengan peluang tersebut.

“Bekerjasama dengan jurulatih dan atlet hebat menjadikan pengalaman itu sangat istimewa.”

Flag Football Mudah Untuk Semua Orang Cuba

Flag Football tidak sekasar American Football. (Foto: NFL)

Sania bersependapat bahawa sukan ini sangat mudah untuk difahami walaupun mereka baru sahaja mencubanya.

“Saya gambarkannya sebagai versi ringkas tanpa sentuhan bagi National Football League (NFL) iaitu American Football.

“Ia jauh lebih mudah kerana memerlukan tidak ramai pemain, tanpa peralatan berat dan ruang padang kecil berbanding American Football.

Dalam masa sama, dia menegaskan sukan ini mempunyai strategi sangat mendalam.

“Setiap pergerakan dan strategi digunakan oleh pasukan offense dirancang dengan teliti dan tujuan.

“Pasukan defense pula ada banyak strategi untuk memastikan pihak lawan tidak dapat bawa bola kedepan selain merampasnya untuk menukar keadaan permainan,” ujar Sania.

Selain itu, seorang pemain Flag Football memerlukan koordinasi mata dan tangan yang baik, kelajuan serta ketangkasan.

Tidak lupa juga sikap ingin tahu, tekun dan mudah menyesuaikan diri turut menjadi ciri penting dalam sukan ini.

Enam Pasukan Aktif Di Malaysia

Padang diperlukan untuk Flag Football lebih kecil. (Foto: Cloob Football)

Menurut Shazwan, sukan ini kini mempunyai enam pasukan aktif di Malaysia.

“Kebanyakan perlawanan kompetitif berlangsung di peringkat kelab, dengan kelab beroperasi di USJ dan Kelana Jaya. Kami juga mempunyai sebuah akademi bernama Third Down Sports yang kerap mengadakan sesi di sekolah dan beberapa buah negeri,” katanya.

Dia turut berkongsi bahawa pasukan universiti pertama sudah mula bersaing tahun ini, iaitu dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menariknya, kebanyakan pemain Flag Football datang daripada pelbagai latar belakang dengan lingkungan usia berbeza antara 17 hingga 40 tahun. Majoritinya juga berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor.

Namun, cabaran terbesar sukan ini di Malaysia ialah kekurangan liputan media.

“Oleh sebab sukan ini tidak diliputi dengan baik di Malaysia, pemain baharu tidak berpeluang menonton dan memahaminya dengan lebih mendalam untuk minat mencuba,” tambah Shazwan.

Shazwan turut berkongsi terdapat dua inisiatif utama dilakukan bagi membangunkan bakat dan meningkatkan kesedaran.

“Malaysia Flag Football National Team bekerjasama dengan KBS mengadakan klinik pengenalan sukan ini di seluruh negeri, dan ia sudah diadakan dua tahun berturut-turut,”

Tambahan pula, program kebangsaan membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk mencuba menerusi sesi pemilihan dikenali sebagai Combine setiap awal tahun.

Shazwan turut menegaskan bahawa masih ada segelintir orang yang mempunyai tangapan salah tentang sukan ini.

“Ramai merasakan sukan ini membosankan kerana tiada aksi bersentuhan antara pemain, sedangkan perlawanannya berlaku sangat pantas disebabkan peraturannya.

“Permain akan kerap bergerak cuba untuk merebut bola.” tambahnya.

Malaysia Mampu Bersaing Di Peringkat Dunia

Shazwan juga yakin Malaysia mampu bersaing pada masa akan datang menerusi penyertaan berterusan dalam kejohanan antarabangsa.

“Satu-satunya cabaran yang kami hadapi ketika ini ialah memperoleh dana, kerana program kami dibiayai sendiri buat masa ini.”

Menurutnya, sokongan penaja akan meringankan beban atlet sekali gus membolehkan pemain terbaik dihantar untuk bertanding.

Latihan secara konsisten dan kajian mendalam tentang Flag Football akan bantu mengangkat pemain tempatan ke pentas dunia, seperti yang dibuktikan di South East Asian Flag Football Championships di Jakarta.

Shazwan juga sempat berkongsi impian terbesarnya untuk sukan ini di Malaysia.

“Saya berharap sukan ini diperkenalkan di peringkat MSS, kerana ia akan membolehkan golongan muda bermain pada tahap kompetitif, seterusnya membantu pasukan utama apabila tiba masanya.”

Bagi sesiapa yang berminat untuk mencuba Flag Football, Shazwan menyarankan mereka menghubungi beberapa buah kelab tempatan sedia ada.

“Kami ada Nighthawks, Rentap Renegades, Black Swans dan banyak lagi kelab yang sudi mengajar permainan ini dari awal.

“Jika anda biasa bermain sukan lain, kemahiran itu berkemungkinan sesuai digunakan dalam Flag Football.” tambahnya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd