Now Reading
Miyu Yamashita Cipta Sejarah, Muncul Juara Maybank Championship Buat Kali Kedua

Miyu Yamashita Cipta Sejarah, Muncul Juara Maybank Championship Buat Kali Kedua

In Brief
  • Miyu Yamashita mencipta sejarah sebagai pemain pertama yang menjuarai Maybank Championship dua kali, tamat dengan 22 di bawah par.
  • Yan Liu menamatkan saingan di tempat kedua dengan 20 di bawah par, pencapaian terbaik kariernya dalam Jelajah LPGA.
  • Pemain amatur Thailand, Marisa Tojai, muncul pemain ASEAN Qualifier terbaik, berkongsi tempat ketiga dengan 19 di bawah par.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Maybank Championship melakar sejarah apabila Miyu Yamashita muncul sebagai pemain pertama yang berjaya menjuarai kejohanan itu sebanyak dua kali selepas menamatkan saingan dengan catatan 22 di bawah par, iaitu 266 pukulan secara keseluruhan.

Pemain berusia 25 tahun dari Jepun itu mencatatkan keputusan 65, 66, 67 dan 68 pukulan dalam empat pusingan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).

Kemenangan dengan kelebihan dua pukulan di West Course yang mencabar itu menyaksikan Yamashita membawa pulang Trofi Tiger buat kali kedua, selepas kejayaan pertamanya pada 2025.

Kejayaan tersebut turut menjadi kemenangan kelima sepanjang kariernya dalam Jelajah LPGA.

Yamashita menerima hadiah wang tunai USD450,000 daripada jumlah keseluruhan hadiah bernilai USD3 juta, selain memperoleh 500 mata Race to CME Globe.

Keputusan itu membolehkannya melonjak dua anak tangga ke kedudukan kedua dalam carta keseluruhan ketika musim kejohanan memasuki fasa terakhir.

Lebih menarik, Yamashita berjaya mencatatkan kurang daripada 70 pukulan dalam keempat-empat pusingan dan mula mendahului saingan selepas pusingan kedua.

Beliau mengekalkan kelebihan dua pukulan menjelang hari terakhir sebelum menamatkan saingan dengan empat di bawah par, iaitu 68 pukulan, sekali gus mengetepikan cabaran pemain China, Yan Liu.

“Saya sangat gembira kerana berjaya memenangi kejuaraan ini. Sejujurnya, saya tidak menjangkakan mampu menjuarai kejohanan ini dua tahun berturut-turut.

“Saya hanya fokus untuk bermain sepanjang empat hari kejohanan dan pusingan hari ini merupakan antara yang paling sukar buat saya.

“Yan Liu bermain dengan baik dan berjaya melakukan birdie sejak awal pusingan. Namun, saya bersyukur kerana dapat mengekalkan fokus serta mengawal tekanan sepanjang permainan.

“Saya juga gembira melihat ramai pemain Jepun menunjukkan prestasi cemerlang sekali lagi tahun ini. Ia menjadi motivasi buat saya dan saya tidak sabar untuk kembali bertanding di sini tahun depan,” katanya.

Kemenangan itu hadir dalam saingan yang menghimpunkan barisan pemain berprofil tinggi, termasuk enam daripada 10 pemain terbaik dalam ranking Race to CME Globe.

Turut mengambil bahagian ialah bekas juara Maybank Championship, Céline Boutier dan Ruoning Yin, serta juara Olimpik yang masih aktif, Lydia Ko.

Sementara itu, Yan Liu menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 20 di bawah par selepas mencatatkan 68 pukulan pada pusingan terakhir.

Keputusan itu menjadi pencapaian terbaik sepanjang kariernya dalam Jelajah LPGA.

Beliau turut mencatatkan sembilan di bawah par, iaitu 63 pukulan pada pusingan ketiga, sekali gus menyamai rekod skor terendah Maybank Championship 2026 yang sebelum ini dilakukan Carlota Ciganda pada pusingan kedua.

Pemain amatur Thailand yang semakin mendapat perhatian, Marisa Tojai turut membuktikan keupayaannya apabila menamatkan pusingan terakhir dengan 67 pukulan.

Beliau berkongsi kedudukan ketiga dengan pemain Perancis, Pauline Roussin-Bouchard, yang mendahului saingan selepas pusingan pembukaan. Kedua-duanya menamatkan kejohanan dengan catatan 19 di bawah par.

Prestasi Tojai turut melayakkannya muncul sebagai pemain ASEAN terbaik menerusi kategori ASEAN Qualifier bagi edisi tahun ini, selain menjadi pemain ASEAN Qualifier dengan kedudukan penamat tertinggi dalam sejarah kejohanan tersebut.

Rakan senegaranya yang juga pemain profesional, Achiraya Sriwong, turut mencuri perhatian apabila menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan 16 di bawah par.

Pemain Australia, Robyn Choi pula menduduki tempat kelima dengan 17 di bawah par, diikuti A Lim Kim dari Korea Selatan di tempat ketujuh dengan 15 di bawah par.

Weiwei Zhang dari China menamatkan saingan di kedudukan kelapan dengan 14 di bawah par.

Seramai 11 pemain berkongsi kedudukan kesembilan dengan catatan 13 di bawah par, termasuk juara Maybank Championship 2023, Céline Boutier dari Perancis, Charley Hull dari England dan Hye-Jin Choi dari Korea Selatan.

Hye-Jin sebelum ini muncul naib juara edisi tahun lalu selepas tewas dalam penentuan playoff tiga penjuru.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Dato’ Sri Khairussaleh Ramli berkata, kejayaan Yamashita mencipta sejarah menjadi juara dua kali pertama Maybank Championship merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

“Tahniah kepada Miyu Yamashita atas prestasi cemerlangnya dan kejayaan menjadi pemain pertama yang memenangi Maybank Championship sebanyak dua kali.

“Setiap edisi Maybank Championship membawa satu lagi kisah menarik dalam perkembangan sukan golf wanita di Malaysia dan rantau ini.

“Kehadiran barisan pemain bertaraf dunia menjadikan Maybank Championship antara acara penting dalam kalendar Jelajah LPGA di Asia, dan kami berbangga kerana dapat menganjurkan kejohanan golf berprestij ini di Malaysia.

“Semangat dan keterujaan yang ditunjukkan sepanjang minggu kejohanan turut mengukuhkan komitmen kami untuk mengembangkan sukan ini serta memberi inspirasi kepada generasi pemain golf seterusnya,” katanya.

Penyertaan Pemain ASEAN

Kejohanan di KLGCC minggu ini turut menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada rantau Asia Tenggara dengan 14 pemain mewakili negara masing-masing.

Thailand mencatatkan penyertaan paling ramai dalam kalangan pemain Jelajah LPGA apabila menghantar lima pemain untuk merebut kejuaraan.

Selain itu, Maybank Championship ASEAN Qualifier yang berlangsung di lokasi sama pada Ogos lalu membuka peluang kepada lima lagi pemain berbakat dari rantau ini untuk beraksi dalam kejohanan utama.

Antara yang berjaya melayakkan diri ialah pemain Malaysia, Liyana Durisic, yang memperoleh slot kelima dan terakhir.

Beliau menyertai empat pemain Thailand iaitu Achiraya Sriwong, Marisa Tojai, Pimnipa Panthong dan Sarisa Pojanalai.

Sementara itu, empat pemain Malaysia iaitu Natasha Andrea Oon, Mirabel Ting, Genevieve Ling dan Kelly Tan turut beraksi menerusi jemputan khas penaja (Sponsor’s Invitations).

Kejohanan kali ini turut membawa detik bermakna buat Kelly Tan apabila beliau mengumumkan persaraan daripada golf kompetitif selepas menyerahkan kad skornya.

Dengan sokongan padu penyokong tempatan, Mirabel Ting muncul sebagai pemain Malaysia terbaik buat tahun ketiga berturut-turut apabila berkongsi kedudukan ke-48 dengan catatan lima di bawah par.

Pemain berusia 21 tahun itu sebelum ini mencatatkan pencapaian terbaik pemain Malaysia dalam sejarah kejohanan apabila menduduki kedudukan ke-12 pada edisi 2024 ketika masih berstatus amatur.

Ting bakal menyertai Jelajah LPGA pada 2027 selepas mencatatkan musim pertama yang cemerlang dalam Epson Tour.

Beliau berjaya meraih dua kemenangan dan menduduki tangga teratas dalam ranking Race for the Card, sekali gus memperoleh peluang untuk beraksi dalam Jelajah LPGA.

Maybank Championship terus menarik kehadiran peminat, keluarga dan komuniti dari seluruh Malaysia serta rantau ini menerusi aksi pemain bertaraf antarabangsa, suasana meriah dan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.

Selaras dengan komitmen Maybank menerusi prinsip Harnessing Collective Power, semangat yang ditunjukkan pemain, peminat dan rakan kerjasama sepanjang kejohanan mencerminkan perpaduan yang terus mengukuhkan perkembangan sukan golf wanita di rantau ini.

Di luar padang golf, Maybank Village turut memeriahkan suasana menerusi sambutan budaya dan komuniti ASEAN.

Inisiatif itu mencerminkan kepercayaan bahawa kemajuan sukan golf dapat dicapai menerusi cita-cita bersama dan kerjasama pelbagai pihak.

Dengan berakhirnya Maybank Championship 2026, kejohanan itu sekali lagi menjadi manifestasi kepada matlamat Maybank dalam memperkasa sukan golf menerusi semangat Harnessing Collective Power, selain memberi inspirasi kepada lebih ramai bakat baharu di seluruh ASEAN.

Untuk maklumat lanjut mengenai Maybank Championship, layari www.maybank.com/golf.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd