Now Reading
Tiket Tayangan Perdana Kudrat 1968: High Council Habis Terjual Dalam Lima Minit, Berjaya Raih RM3 Juta

Tiket Tayangan Perdana Kudrat 1968: High Council Habis Terjual Dalam Lima Minit, Berjaya Raih RM3 Juta

Kudrat 1968: High Council merupakan prekuel kepada Project: High Council dan Kahar: Kapla High Council.

In Brief
  • Tiket tayangan khas peminat Kudrat 1968: High Council habis dijual dalam masa lima minit, manakala jualan tiket awal mencecah RM3 juta.
  • Pengarah Zulaikha Zakaria mempertahankan paparan buli dalam filem, menegaskan setiap babak menunjukkan akibat keganasan, bukan memujanya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Filem Kudrat 1968: High Council dilaporkan telah memperoleh hasil jualan tiket awal mencecah RM3 juta sebelum tayangan perdananya di seluruh negara esok (29 Oktober).

Pencapaian itu diumumkan oleh Astro Shaw menerusi platform media sosial rasminya semalam (27 Oktober) berikutan permintaan tinggi terhadap tayangan istimewa filem tersebut.

Malah, tiket bagi tayangan khas turut dilaporkan habis dalam masa singkat.

Tiket Tayangan Khas Peminat Habis Dijual Dalam Lima Minit

Barisan pelakon Kudrat 1968: High Council. (Foto: GSC)

Menurut Malay Mail, tiket bagi tayangan perdana gala Malam Manifesto Kudrat 1968 pada 26 Oktober habis dijual dalam tempoh kurang sejam.

Malah, tiket tayangan khas peminat pada 31 Oktober turut habis dijual dalam masa hanya lima minit setelah dibuka untuk pembelian.

Selain itu, siri Kudrat 1968: High Council turut berjaya menjana satu bilion tontonan video merentasi platform digital.

Walau bagaimanapun, masih belum pasti sama ada populariti penstriman itu dapat diterjemahkan kepada kejayaan di pawagam.

Dalam masa sama, peminat turut meraikan pencapaian RM3 juta tersebut di Instagram dengan sebahagiannya bergurau tentang sumbangan mereka kepada jualan tiket.

Seorang peminat berkata, “Saya antara orang menyumbang kepada RM3 juta itu.”

“Tiket habis dengan sangat cepat, dan saya bertuah menjadi antara yang berjaya mendapatkannya.” tulis seorang peminat lain.

Kudrat 1968: High Council Ialah Prekuel Kepada Project: High Council

Amierul Aiman sebagai Tengku Uda / Kuda. (Foto: Netflix)

Untuk info, Kudrat 1968: High Council ialah prekuel kepada siri Project: High Council yang mula diperkenalkan pada 2023 dan francais tersebut diperluaskan dengan filem Kahar: Kapla High Council.

Projek ini menggunakan pendekatan penceritaan dua format, iaitu empat episod yang boleh ditonton menerusi Netflix. Manakala, filemnya pula menjadi penutup kepada keseluruhan siri ini.

Karya bergenre misteri itu mengisahkan watak Abbas yang pulang semula ke Kudrat setelah tamat cuti sekolah mendapati ia ditutup oleh pihak berkuasa selepas kematian seorang pelajar dirahsiakan.

Ketegangan antara pelajar elit dan penerima biasiswa yang semakin memuncak turut mengancam keseimbangan kuasa yang rapuh di Kudrat.

Antara barisan pelakonnya adalah seperti berikut:

  • Zarif Ghazzi (Abbas)
  • Mierul Aiman (Kuda)
  • Akmal Asyraf (Piji)
  • Dai Fuad (Pa)
  • Evertts Gomes (Ghafar)
  • Chech Harith (Mazli)

Kudrat 1968: High Council diarahkan oleh Zulaikha Zakaria dan Khairi Aysraff bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada esok (29 Oktober).

Pengarah Pertahankan Paparan Buli Dan Keganasan Dalam Filem

Pengarah Zulaikha Zakaria. (Foto: Astro Shaw)

Filem ini turut berdepan kritikan di media sosial yang mendakwa francais High Council boleh menggalakkan gejala buli dalam kalangan pelajar berlaku.

Pengarah Zulaikha Zakaria mempertahankan paparan buli dan keganasan dalam filemnya sambil menegaskan niatnya adalah untuk menunjukkan akibat sesuatu perbuatan, bukan memuja-mujinya.

“Orang di luar sana menganggap kami mempromosikan buli, tetapi setiap episod sebenarnya menunjukkan kesan serta-merta.

“Kami tunjukkan apa yang berlaku apabila kita bertindak begini dan akibat yang menyusul,” katanya pada majlis gala filem itu di TGV Suria KLCC kelmarin (26 Oktober).

“Kesan ini dipaparkan dengan pantas, dan setiap babak mempunyai pengajarannya tersendiri.

“Kami tidak memaparkan tragedi tanpa tujuan. Kami mahu penonton menyedari bahawa keganasan bukan jalan penyelesaian,” jelasnya.

Selain itu, Zulaikha turut berkongsi bahawa produksi filem tersebut turut melalui beberapa cabaran.

Antaranya termasuk jadual masa yang ketat, sumber terhad dan penggunaan imej janaan komputer (CGI) dan kesan visual bagi babak pergaduhan.

Memastikan peralihan jalan cerita daripada siri kepada filem berlaku dengan lancar turut jadi satu cabaran bagi Zulaikha.

Walaupun begitu, Zulaikha akui bahawa dia berpuas hati dengan usaha seluruh pasukan dalam merealisasikan projek tersebut.

Pendekatan Dua Format Dilihat Berpotensi Bakal Diteruskan

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyentuh bab pendekatan dua format digunakan itu dengan berkata ia berjaya dilaksanakan dengan baik untuk Kudrat 1968.

Kaedah tersebut mempunyai potensi untuk dipertimbangkan bagi projek akan datang, bergantung kepada keperluan penceritaan dan produksi masing-masing.

Malah, Raja Jastina turut menyatakan pendekatan itu tidak terhad kepada Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU) sahaja, sebaliknya terbuka untuk diaplikasikan dalam produksi lain.

ASCU yang diperkenalkan pada 2024 menghimpunkan pelbagai cerita di bawah Astro Shaw menerusi naratif berkait seperti crossover, termasuklah francais Project: High Council.

Keseluruhannya, sambutan awal yang diterima oleh Kudrat 1968: High Council mencerminkan minat semakin meningkat terhadap karya tempatan.

Baca Artikel Berkaitan: Filem Malaysia Rekod 7.5 Juta Penonton Di Pawagam Dari Januari Hingga Julai, Atasi Filem Hollywood | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd