Volvo Padel Open 2026 Kembali 23 Oktober, Tawar Hadiah Bernilai RM105,000
Dengan tumpuan kepada komuniti dan pembangunan bakat tempatan, Volvo Padel Open 2026 dijangka menjadi satu lagi platform untuk mengembangkan minat terhadap sukan padel di Malaysia.
- Volvo Padel Open 2026 akan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober, menawarkan ganjaran terkumpul bernilai sehingga RM105,000.
- Lapan komuniti kelab padel tempatan akan berentap dalam lima kategori kemahiran untuk divisyen lelaki dan wanita.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sukan padel semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia, bukan sahaja sebagai aktiviti rekreasi, malah sebagai sukan kompetitif yang menghimpunkan komuniti dengan minat yang sama.
Bagi memeriahkan lagi perkembangan sukan ini, Volvo Car Malaysia kembali menganjurkan Volvo Padel Open 2026 untuk edisi ketiganya dengan format pertandingan baharu yang lebih berfokus pada komuniti kelab tempatan.
Berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026, kejohanan ini akan diadakan di Joy Division Padel dan Joy Division Padel 2, dengan ganjaran terkumpul bernilai sehingga RM105,000 untuk dipertandingkan.
Berbeza daripada kejohanan yang memberi tumpuan kepada pemain secara individu, edisi kali ini mengetengahkan semangat berpasukan dan persaingan antara komuniti kelab padel tempatan.
8 Kelab Bakal Berentap Di Gelanggang
Sebanyak lapan komuniti kelab padel bakal menghantar wakil masing-masing untuk merebut gelaran juara serta ganjaran yang ditawarkan.
Antara kelab yang mengambil bahagian ialah:
- All’Bout Padel
- Baby Buaya Posse
- Jerung Padel Club
- Kelab Padel Pop x ABBT
- Padé x LGK
- Padel Hood
- Padel Pushers x APC
- Wolfpack Padel
Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw, penganjuran edisi ketiga ini meneruskan matlamat asal kejohanan yang diperkenalkan pada 2023, iaitu membantu mengembangkan sukan padel di Malaysia.
Tahun ini, tumpuan diberikan kepada komuniti akar umbi yang memainkan peranan penting dalam mempopularkan sukan tersebut, daripada perlawanan santai bersama rakan hinggalah penyertaan dalam pertandingan kompetitif.
Sukan Padel Malaysia Semakin Berkembang
Perkembangan padel di Malaysia turut mendapat perhatian susulan kejayaan pemain negara di pentas antarabangsa.
Presiden Selangor Padel Association, Shafique Iqbal, berkata kejayaan meraih pingat perak di Sukan Asia di Nagoya menjadi antara pencapaian yang menunjukkan potensi sukan ini di Malaysia.
Menurutnya, kejohanan seperti Volvo Padel Open penting untuk menyediakan ruang persaingan kepada pemain pelbagai peringkat, selain membantu mengenal pasti bakat baharu yang boleh diketengahkan pada masa hadapan.
Volvo Padel Open 2026 turut mendapat pengiktirafan rasmi daripada Selangor Padel Association dan dianjurkan bersama beberapa rakan kerjasama, termasuk Invictus Blue, redONE dan Tactical Padel.
Antara jenama lain yang turut menyokong acara ini ialah Dox Digital, SKINTIFIC, NESCAFÉ GOLD, Padé Langkawi dan Directors Think Tank.
Kerjasama ini turut membawa elemen gaya hidup ke dalam kejohanan, merangkumi aspek kesalinghubungan, penjagaan kulit, kopi dan peralatan sukan.
Lima Kategori Lelaki & Wanita Dipertandingkan
Bagi memastikan pertandingan berlangsung mengikut tahap kemahiran pemain, Volvo Padel Open 2026 menawarkan lima kategori untuk divisyen lelaki dan wanita.
Kategori yang dipertandingkan ialah:
- Low Bronze – Lelaki dan wanita
- High Bronze – Lelaki dan wanita
- Low Silver – Lelaki dan wanita
- Mid Silver – Lelaki dan wanita
- Gold – Lelaki dan wanita
Yuran penyertaan ditetapkan pada RM200 bagi setiap pemain atau RM400 bagi setiap pasukan, untuk semua kategori.
Setiap kategori melibatkan lapan kelab terpilih yang mempertaruhkan barisan pemain masing-masing.
Peserta kategori Silver dan Gold didaftarkan oleh kelab, manakala pemain kategori Bronze perlu melalui pusingan kelayakan komuniti untuk mendapatkan tempat dalam kejohanan.
Format ini memberi peluang kepada pemain mengikut tahap kemahiran masing-masing untuk merasai pengalaman bertanding dalam suasana yang lebih kompetitif.
Volvo Padel Open 2026
Bagi yang ingin mengikuti perkembangan kejohanan ini, berikut ialah maklumat penting:
- Tarikh: 23 hingga 25 Oktober 2026
- Lokasi: Joy Division Padel dan Joy Division Padel 2
- Penganjur: Volvo Car Malaysia
- Jumlah ganjaran terkumpul: Sehingga RM105,000
- Kategori: Lima kategori kemahiran untuk lelaki dan wanita
- Yuran penyertaan: RM200 seorang atau RM400 setiap pasukan
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Volvo Car Malaysia atau mengikuti perkembangan jenama itu menerusi Facebook dan Instagram.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.