F1 Sepang 2026: Keuntungan Sebanyak RM950 Juta Telah Berjaya Disuntik Ke Ekonomi Negara – Parlimen
Max Verstappen telah menjuarai perlumbaan di Sepang tahun ini, diikuti Kimi Antonelli dan Lewis Hamilton di tempat ketiga.
- Perlumbaan F1 di Sepang pada Oktober lalu berjaya menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara.
- Seramai 261,000 penonton hadir sepanjang hujung minggu, manakala 50,000 pelancong antarabangsa tiba di Malaysia.
- Perdana Menteri telah membuka ruang perbincangan dengan pihak F1, namun keputusan muktamad masih di peringkat awal.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kemarau selama sembilan tahun telah tamat apabila perlumbaan Formula 1 (F1) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 4 Oktober lalu berjaya menarik ramai penonton.
Populariti perlumbaan tersebut mendatangkan hasil hampir RM950 juta (AS$ 298 juta) kepada ekonomi negara berdasarkan kenyataan daripada Kementerian Belia dan Sukan.
Kejayaan perlumbaan tersebut membuka semula persoalan yang sering ditanya oleh para peminat, iaitu adakah kita mampu kembalikan semula Sepang dalam kalendar F1.
F1 Sepang Berjaya Jana Keuntungan Banyak Kepada Negara

“Berdasarkan maklumat daripada Formula 1 Management (FOM), perlumbaan ini berjaya menjana impak ekonomi hampir RM950 juta,” kata Kementerian Belia dan Sukan.
Acara perlumbaan yang telah berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu turut mencatatkan beberapa angka positif seperti 261,000 penonton sepanjang hujung minggu, termasuk 103,000 orang pada hari Ahad.
Selain itu, 827 juta penonton telah menyaksikan perlumbaan itu di seluruh dunia. 97,000 tiket berjaya dijual dan 50,000 pelancong tiba di Malaysia sempena perlumbaan tersebut.
Kemasukan Pelancong Memberi Manfaat kepada Pelbagai Sektor Negara
Kemasukan pelancong telah membawa kesan positif kepada banyak pihak.
“Kemasukan pelancong antarabangsa memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, penerbangan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.”
Dalam masa sama, perlumbaan ini turut mengukuhkan profil Malaysia sebagai destinasi sukan dan pelaburan bertaraf antarabangsa.
Tambahan pula, kita sedia maklum bahawa penganjuran perlumbaan F1 kali ini berbeza kerana Bahrain telah menanggung yuran menerusi kerjasamanya dengan SIC.
Ramai Bertanya Adakah Sepang Bakal Kekal Dalam Kalendar F1?

Berdasarkan peningkatan positif itu, ramai rakyat Malaysia kini mula bertanyakan soalan yang sama.
Mampukah F1 dibawa pulang semula ke Sepang pada musim hadapan dan bolehkah ia menjana keuntungan sama dengan tetap?
Persoalan itu telah dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Beliau menyuarakan pandangan itu selepas lawatannya ke Grand Prix Singapura pada 11 Oktober lalu.
Menurut Tengku Zafrul, sebarang usaha pada masa hadapan perlu melihat lebih jauh daripada sekadar aksi di litar.
Kita perlu menilai sama ada pulangan ekonomi mampu menampung kos penganjuran atau tidak.
Bekas menteri kewangan itu turut memuji cara Singapura menguruskan perlumbaan tersebut.
“Singapura sangat luar biasa dalam menjadikan F1 bukan sekadar perlumbaan, tetapi satu pengalaman yang lengkap,” katanya.
Daripada aspek hospitaliti dan hiburan sehinggalah suasana sekitar perlumbaan, semuanya bertaraf dunia.
“Mereka turut menganjurkan persidangan dan acara perniagaan di sisi F1, menjadikannya platform untuk membina hubungan dan membuka peluang ekonomi.”
Beliau turut merasakan Malaysia sebenarnya mempunyai kelebihan dari segi reka bentuk litar.
“Ramai pemandu dan peminat F1 masih menganggap Sepang antara litar paling mencabar di dunia F1,” tambahnya.
Selekoh berkelajuan tinggi, cuaca yang sukar dijangka dan reka bentuk menguji kemahiran pemandu menjadikan SIC sangat istimewa.
Beliau turut menegaskan negara kita sudah pun memiliki litar bertaraf dunia.
“Namun untuk membawa pulang F1, kita perlu berfikir melangkaui perlumbaan. Bagaimana kita menarik pelancong, menjana pendapatan, dan memastikan pulangan berbaloi dengan kos penganjuran?” ujarnya.
Perdana Menteri Turut Membuka Ruang Perbincangan Bersama Pihak F1
Seterusnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memulakan perbincangan mengenai kemungkinan Malaysia menganjurkan F1 semula pada 4 Oktober lalu.
Ruang untuk membincangkan penganjuran acara motorsport berprestij itu sudah dibuka.
Perbincangan lanjut dijangka diadakan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.
Namun, Anwar berkata perkara itu masih di peringkat awal.
“Kita sedang berbincang dengan Presiden mereka, Stefano. Tetapi masih terlalu awal. Beliau telah membuka ruang untuk perbincangan dan kita perlu berbincang,” tambahnya.
Menurut Perdana Menteri, sebarang keputusan untuk membawa pulang perlumbaan itu memerlukan penilaian yang teliti.
Ini termasuk menimbang kepentingannya kepada negara serta implikasi kos yang terlibat.
Faktor Kewangan Dijangka Menjadi Cabaran Terbesar Buat Sepang

Menurut ESPN, berdasarkan perjanjian F1 yang sedia ada, tempoh paling awal Sepang boleh kembali ke kalendar ialah pada tahun 2030.
Namun, cabaran paling besar dijangka datang daripada faktor kewangan.
Bahrain dilaporkan menanggung sebahagian besar kos operasi dan yuran penganjurannya sahaja berjumlah kira-kira US$50 juta bagi perlumbaan tahun ini.
Malah, SIC telah digugurkan daripada kalendar selepas tahun 2017 kerana tidak mampu menampung yuran F1 ketika itu.
Tambahan pula, kemasukan banyak litar baharu selepas era pandemik telah meningkatkan harga purata yuran tersebut.
F1 Semakin Popular Di Malaysia Berbanding 9 Tahun Lalu
Satu perkara jelas kelihatan ialah semakin ramai orang tempatan mempunyai minat terhadap sukan ini.
Isu kekurangan sokongan dari peminat tempatan pada 2017 menjadi antara faktor kenapa F1 digugurkan dari SIC.
Sebaliknya, permintaan itu kembali semula.
Keadaan ini mungkin dapat membantu SIC dalam usaha mencari sokongan kewangan yang diperlukan.
Baca Artikel Berkaitan: Tahukah Anda, Shah Alam Pernah Ada Litar Lumba Sebelum Sepang Wujud? | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Ketahui Sejarah Litar Antarabangsa Sepang, Litar F1 Paling Ikonik & Kebanggaan Malaysia | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.