Langgar Rindu: Surau Kayu Unik Lahir Daripada Sebuah Mimpi
Negeri Terengganu terkenal dengan seni warisan pertukangan kayu seperti ukiran khat, rumah kampung dan bot nelayan.
- Langgar Rindu, sebuah surau kayu unik di Merang, Terengganu, lahir daripada mimpi Abdul Karim Embong dan dibina tanpa sebarang pelan lakaran.
- Surau ini menggunakan kayu cengal dan tembesu berusia lebih 300 tahun, menjadi simbol warisan seni bina Melayu dan pertukangan kayu Terengganu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tersembunyi dalam Kampung Rhu Tapai, Merang, Kuala Terengganu, berdiri megah sebuah surau yang kelihatan sangat unik.
Surau bernama Langgar Rindu yang telah dibina menggunakan kayu cengal dan tembesu mempunyai seni bina tersendiri.
Bukan sahaja menjadi ruang ibadat, surau ini umpama sebuah karya seni hidup untuk memberi ketenangan kepada tetamu yang menjejakkan kaki ke dalamnya.
Sebuah Konsep Yang Lahir Daripada Sebuah Mimpi

Menurut Discovery Terengganu, kisah pembinaan Langgar Rindu bermula dengan seorang lelaki bernama Abdul Karim Embong, atau nama penanya Arif Karimi.
Embong yang berusia 67 tahun mengatakan Langgar Rindu bukanlah sebuah projek seni yang dirancang seperti seorang arkitek profesional bersama kertas pelan.
Sebaliknya, ia muncul dalam mimpinya sendiri.
“Mimpi itu hadir seperti sebuah lukisan yang tidak bersuara, hanya gambaran.”
Memetik Dewan Bahasa Pustaka (DBP) Paksu Arif menganggap surau tersebut adalah karya seni yang dibina untuk menghargai allahyarham orang tuanya.
Bahan Pembinaan Dikumpul Sedikit Demi Sedikit Sejak 2014

Bermula daripada mimpi itu Embong atau mesra dengan gelaran Paksu Arif mula mengumpulkan kayu secara sedikit demi sedikit sejak Mac 2014.
Pembinaannya hanya dimulakan empat tahun seterusnya pada Julai 2018.
Menariknya, surau seluas 1,064 kaki persegi itu telah dibina tanpa sebarang pelan lakaran.
Ia hanya dipasak dan disambung mencerminkan kemahiran serta dedikasi yang luar biasa.
Dalam masa sama, keseluruhan surau tersebut telah disiapkan dengan usaha dan tenaganya sendiri.
Kayu Berusia 300 Tahun Menjadi Nadi Utamanya
Keunikan Langgar Rindu terletak pada bahan binaannya kerana ia menggunakan kayu tembesu dan cengal yang dipercayai sudah berusia lebih 300 tahun.
Sebahagian kayu ini telah diperoleh daripada kawasan hutan di Terengganu. Manakala, selebihnya merupakan kayu yang ditolak kilang (sawmill reject) dan sumbangan orang ramai.
Menerusi bahan-bahan itu, Embong berjaya membuktikan bahawa kecantikan tidak semestinya datang daripada kesempurnaan.
Malah, dinding kayu yang berlubang-lubang secara semula jadi memberikan nilai estetika organik jarang ditemui.
Selain itu, lubang itu turut mempunyai fungsinya sendiri kerana menjadi sumber udara dan cahaya mencipta suasana tenang.
“Ini adalah sebuah karya jiwa,” tambah Embong.
Ukiran Khat Yang Dihasilkan Menggunakan Gaya Sendiri

Walaupun tidak mempunyai latar belakang sebagai tukang kayu profesional, Embong mampu menghasilkan ukiran yang cantik.
Dia telah mengukir setiap tulisan khat yang dapat dilihat di Langgar Rindu seperti kalimah syahadah dan ayat suci menggunakan gaya tersendiri.
Gaya tulisan itu digelar Arab Kuno oleh pakar tulisan khat.
Bagi Embong, ia terhasil daripada imaginasi kreatifnya sendiri.
Kenapa Nama Langgar Rindu Dipilih?

Untuk info, Langgar dalam konteks ini merujuk kepada surau atau madrasah.
Perkataan Rindu pula melambangkan perasaan kerinduan kepada rumah Allah SWT.
Ia turut membawa maksud rindu untuk beramal, membaca Al-Quran dan melakukan kebaikan.
Seterusnya, Langgar Rindu turut menjadi simbol keunikan seni bina Melayu dan seni pertukangan kayu Terengganu yang sudah terkenal.
Ia bukan sahaja menarik perhatian penduduk di Kampung Rhu Tapai.
Tetapi pengunjung dari seluruh negara yang datang untuk melihat sendiri kecantikan surau tersebut.
Langgar Rindu juga berfungsi sebagai tempat persinggahan solat bagi musafir yang sedang berada dalam perjalanan.
Sebuah Warisan Yang Wajar Dipelihara Untuk Generasi Hadapan
Langgar Rindu bukanlah hanya sebuah rumah ibadat ataupun bangunan.
Ia wajar dijadikan sebuah warisan, pusat komuniti dan saksi kepada kecantikan seni dan rohani.
Semuanya terhasil menerusi usaha dedikasi dan rasa cinta terhadap seni bina kayu tradisional.
Tambahan pula, Embong juga telah membina sebuah pusat pengajian Islam berhampiran, iaitu Madrasah Al-Insan Saka Iman.
Madrasah tersebut bakal menempatkan pelajar untuk mendalami ilmu agama.
Usaha itu jelas menunjukkan komitmen Embong terhadap pemeliharaan warisan budaya.
Satu Permata Yang Perlu Dilihat Depan Mata
Ukiran kayu yang halus, seni bina unik dan peranannya dalam kehidupan masyarakat menjadikan Langgar Rindu sangat istimewa.
Bagi pencinta seni dan warisan budaya, ambil masa untuk menyinggah Langgar Rindu ketika di Terengganu.
Ia merupakan salah satu permata yang perlu dilihat depan mata.
Baca Artikel Berkaitan: Keropok Lekor: Kisah Sebalik Makanan Kegemaran Orang Pantai Timur
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.