Bangga! Model Tempatan, Atikah Karim Debut Di Pentas Chanel Paris Fashion Week SS27
Atikah juga pernah memperagakan pakaian untuk jenama seperti Polo Ralph Lauren, Lemaire, Peter Do dan Rick Owens.
- Atikah Karim, a Malaysian model from Kota Kinabalu, Sabah, made her debut at Chanel Paris Fashion Week SS27 on 5 October.
- She was selected among 71 models to showcase Chanel's latest collection, the second under creative director Matthieu Blazy.
- Atikah's journey was tough, facing bullying, rejections abroad, and financial struggles before finally achieving stability in the modelling industry.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sekali lagi, nama anak Malaysia bergema di pentas antarabangsa.
Kali ini, giliran seorang model bernama Atikah Karim yang mencuri perhatian ramai ketika memperagakan koleksi baharu Chanel Spring/Summer 2027 di Paris Fashion Week pada 5 Oktober lalu.
Lebih membanggakan, penampilan tersebut merupakan debut pertama Atikah bersama jenama mewah dari Perancis.
Antara 71 Model Terpilih Untuk Koleksi Baharu Chanel

Kita sedia maklum bahawa Chanel merupakan antara rumah fesyen paling berpengaruh dan prestij di dunia.
Peluang untuk memperagakan koleksinya bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Menurut Chanel, Atikah disenaraikan antara 71 model untuk memperagakan koleksi baharu.
Ini merupakan koleksi kedua di bawah Matthieu Blazy.
Bermula Di Kota Kinabalu, Sabah

Menurut Lifestyle Asia, Atika mempunyai kisah tersendiri sebelum menempa nama dalam industri fesyen.
Atikah dilahirkan daripada bapa berketurunan Bajau dan ibu berketurunan Brunei serta membesar di Kota Kinabalu, Sabah.
Semasa kecil, dia aktif sebagai ahli pasukan bola jaring negeri Sabah.
Disebabkan terlalu kerap berada di bawah matahari, Atikah pernah menggambarkan dirinya sebagai seorang yang super-dark.
Malah, dia sering diejek ketika di sekolah menengah.
“Semasa di sekolah menengah, saya selalu kena ejek. Saya dipanggil tiang dan tiang hitam. Ia begitu teruk sehingga saya mahu keluar dari Sabah,” katanya.
Atikah Memilih Pelajaran Sebelum Berhijrah Ke Kuala Lumpur
Gaya kehidupan di sebuah bandar membuatkan Kuala Lumpur menjadi satu destinasi menarik di mata Atikah.
Dia mengambil keputusan berpindah ke ibu kota ketika hanya berusia 18 tahun.
Tambahan pula, dia juga pernah ditawarkan untuk menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil pada usia 16 tahun dalam sukan bola jaring.
Namun, Atika sedar bahawa dia perlu memilih antara meneruskan sukan atau menamatkan pelajarannya.
Lalu, mengambil keputusan untuk menamatkan pelajaran terlebih dahulu.
Dalam masa sama, minatnya terhadap dunia fesyen telah bermula sejak kecil lagi.
“Ibu memang selalu ada majalah fesyen dan reka bentuk dalaman. Saya sentiasa melihat kandungannya seperti rumah cantik dan model di muka depan,” ujarnya.
Kemenangan Pertama Membuka Pintu Ke Dunia Fesyen

Sebelum menjadi seorang model, Atikah turut mencuba nasib sebagai ratu cantik dan menyatakan bahawa ia kurang sesuai dengan dirinya.
“Beauty pageant bukan kegemaran saya kerana saya perlu banyak senyum dan saya tidak suka itu.
“Ketika berusia 17 tahun, terdapat satu uji bakat untuk Ford Models Supermodel of the World di Sabah. Saya antara segelintir model dari Sabah yang terpilih dan terus bersaing.”
Hasilnya? Atikah muncul sebagai pemenang.
Perjalanan Ke Luar Negara Penuh Dengan Cabaran

Namun, langkah mengejar impiannya bukanlah sesuatu yang mudah.
Perjalanan pertamanya bermula di London, namun nasib belum menyebelahinya untuk mendapat kontrak di sana.
“Selepas Milan, saya ke Singapura selama beberapa bulan sebelum ke New York dengan visa pelancong,” tambahnya.
Menurut Atikah, kira-kira dua bulan berlalu sebelum beliau berjaya memperoleh kempen pertamanya bersama Polo Ralph Lauren.
“Saya hanya mula stabil selepas dua tahun.
“Saya datang ke sini dengan hanya RM1,000! Saya menerima wang saku minimum daripada agensi, dan ketika itu Danny banyak membantu saya,” jelasnya.
Atikah turut berkongsi bahawa rejection merupakan antara perkara yang perlu dihadapi oleh setiap model dengan hati terbuka.
Inilah antara sebab kenapa ramai gagal bertahan dalam industri ini.
Malah, Atikah sendiri terpaksa menempuh pelbagai halangan sepanjang kariernya.
“Ia tidak mudah. Saya paling tertekan ketika mula menjejakkan kaki di London.
“Mungkin anda rasa sudah cukup hebat dan disanjung di tanah air, tetapi di luar sana, anda bermula dari kosong. Anda perlu bersedia dan kuat dari segi mental.”
Koleksi Chanel SS27 Meraikan Pelbagai Wajah Gabrielle Chanel

Dalam masa sama, koleksi baharu Chanel yang diperagakan oleh Atikah turut membawa konsep cukup menarik.
Di bawah kepimpinan kreatif, Matthieu Blazy sekali lagi tidak mengecewakan peminatnya.
Menurut Hypebae, Blazy meneruskan perbualannya dengan Gabrielle Chanel sambil meneroka pelbagai identiti wanita di sebalik jenama tersebut.
Koleksi bertajuk Different Faces of the Same Coin, membawa penonton menyusuri evolusi Chanel daripada seorang wanita muda sehingga menjadi ikon fesyen.
Antara inspirasi utama dalam koleksi ini seperti:
- Korset gaya Edwardian
- Pakaian malam dari tahun 1930-an
- Sentuhan daripada kerjaya Gabrielle Chanel sebagai pereka lingerie atelier
- Masculine Tailoring
Pendekatan Blazy yang sangat lembut dapat dilihat pada lapisan sutera menghasilkan siluet awan berubah mengikut pergerakan cahaya daripada pagi sehingga ke malam.
Blazy bukan sahaja berjaya menghidupkan semula sejarah Chanel.
Dia berjaya membawa penonton melihat sebuah legasi yang dipenuhi dengan kreativiti.
Baca Artikel Berkaitan: Warna Hitam Bukan Lagi Pilihan Utama? Trend Fesyen Lelaki 2026 Kini Lebih Berani
Baca Artikel Berkaitan: Ini Kisah Tracksuit Jadi Trend Fesyen Dipakai Oleh Bruce Lee, Bob Marley
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.